Friday 18 October 2013

ERTI PENGORBANAN....

Entah kenapa...aku merasakan kesayuan yang teramat saat menjelang hari raya Aidil Adha pada tahun ini. Banyak yang aku sedihkan dan aku kenangkan... Mungkin juga kerinduan yang amat mendalam terhadap arwah bonda...mungkin juga kerinduanku yang tidak bertepi pada dua Tanah Suci... Yang pasti air mata ini sangat murah harganya hingga aku terpaksa membazirkannya ...umpama kolam takungan yang telah pecah...airnya mengalir tanpa henti....

Isytigfarku padamu ya Rabb... Ampunilah segala dosa-dosaku ini... Kesedihan ini menjadikan aku sangat lemah dan ada kalanya lalai dalam melaksanakan tanggungjawabku kepadaMu...

Walau apa yang kurasakan...Aidil Adha tetap datang menghampiri. Mengingatkan aku tentang erti pengorbanan...Tiada yang lebih hebat selain kisah ketaatan dan kepatuhan kepada Illahi sehingga sanggup mengorbankan puteranya sendiri...

Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim

Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi di mana dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.

Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, "Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur sahaja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu , maka wajiblah dituruti". Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, "Ayahku..sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih."

Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Kisah Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai ke pengetahuan orang ramai sehingga menyebabkan mereka takut. Ada di kalangan mereka yang mnyngka Nabi Ibrahim sudah gila kerana sanggup hendak menyembelih anaknya sendiri.

Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang hendak dituju berkatalah anaknya...."Wahai ayahku, aku fikir cara yang terbaik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelingkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat pada leherku.

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat Allah S. W. T.

Kisah ini telah kita pelajari sejak berkurun lamanya. Cuba menghayati pengajaran yang boleh dijadikan iktibar untuk renungan diri sendiri. Pengorbanan....bukanlah semudah kata melafazkannya. Ianya memerlukan kekuatan, kesabaran, keikhlasan jua keimanan yang tebal di dalam dada untuk melaksanakannya. Semoga kita semua dapat menjadikan kisah ini sebagai renungan agar kita lebih menghayati erti sebenar pengorbanan...

No comments:

Post a Comment