Tuesday 22 February 2011

TERIMA KASIH GURUKU....


 Menjadi guru memang impianku sejak kecil. Sejak azali agaknya. Kalau cikgu tanya tentang cita-citaku, tiada lain jawapannya....GURU... Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru yang pernah mengajarku dari sekolah rendah hinggalah aku tamat menengah.
    Antara guru-guru aku di sekolah rendahku iaitu SK Parit Serong yang masih ku ingat ialah Cikgu Rahman (dah pencen),Cikgu Mohd Arif (dah pencen), Cikgu Zulkifli, Cikgu Yusuf, Teacher Geraldine dan Cikgu Zaiton ( guru paling garang dan suka pakai kasut tumit tinggi). AlFatehah buat arwah Cikgu Kamsah yang telah meninggal dunia, kerana telah mengajar aku dalam bidang sukan bola jaring sehingga aku berjaya membantu sekolahku menjadi johan daerah sebanyak tiga tahun berturut-turut. Jasamu cikgu kan tetap ku kenang.
    Sekolah menengahku bermula di SMK. Tiram Burok, namun sekarang ni dah ditukar nama kepada SMK. Tiram Jaya. Di sini zaman remajaku bermula dan di sini banyak kenangan manis tercipta. Di sini aku amat aktif sekali. Banyak sekali aktivi yang aku ikuti sama ada dalam bidang persatuan atau sukan. Antara guru-guruku yang masih aku ingati di sini ialah Cikgu Muslimin (kini guru cemerlang Sejarah ), Cikgu Jamaludin, Cikgu Hasnah, Cikgu Rosli, Cikgu Shamsir, Cikgu Adnan ( kini Penolong kanan HEM di SK Sg Terap ), Cikgu Rosnah ( kini menjadi Pengetua di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam ), Cikgu Ngimron ( dah pencen ), Cikgu Hamsiah, Cikgu Mahmudin ( kini Guru Besar di SK Parit Empat ) dan ramai lagi sebenarnya. Namun jodohku di sekolah ini tidak lama kerana harus berpindah ke sekolah lain selepas SRP (Sijil Rendah Pelajaran) kerana di sekolah ini tiada aliran Sains untuk tingkatan 4. Walau aku amat menyayangi guru-guru dan sekolah disini, namun demi masa depanku, aku mesti berhijrah.
    SMK Dato' Harun jadi destinasiku seterusnya. Walau aku tidak berapa gembira di sini, tapi aku bersyukur dapat berkenalan dengan ramai kenalan dan guru-guru baru yang sedia membantu dari segi pelajaran. Antara guru-guru di sekolah ini yang masih ku ingat ialah Cikgu Rohana (mengajar Geografi Ting 4), Cikgu Rahman Suratmin (mengajar Geogragi Ting 5), Cikgu Sahabudin (mengajar Matematik Tambahan Ting 4) kini menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Cikgu Hamid  dan Cikgu Yaakob (mengajar Matematik Tambahan Ting 5 ), Cikgu Kamsah (mengajar Fizik Ting 5), Cikgu Latifah ( kini Penolong HEM di SMK Sultan Sulaiman )-mengajar
B. Melayu dan jadi guru tingkatan 5S1 tahun 1990.Seterusnya, Cikgu Aspuriah yang mengajar kimia Ting 5 ( kini menjadi Guru Penolong Kanan di SMK. Raja Muda Musa), Cikgu Suhaimi, Cikgu Ishak, Cikgu Yusuf Sipir, Cikgu Ismail Jamalus, Cikgu Masrul, Cikgu JJ, Teacher Halijah, Cikgu Norliza Nusi, Cikgu Unaizah, Cikgu Samiah dan ramai lagi cikgu-cikgu yang namanya telah hilang dari mindaku. Maafkan aku cikgu. Bukan niatku untuk melupakan kalian. Jasa dan pengorbanan kalian amat aku hargai dan menjadi sumber inspirasi kepadaku untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi dan ikhlas dalam mendidik anak bangsaku agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.


Guru adalah....
Dian menerangi
Kehidupan insani
Dengan nasihat berguni
Setiap hari......

Guru adalah.....
Obor semangat
Di mana keazaman meresap
Keyakinan tertancap
Berkat bimbingan dan nasihat
Yang akhirnya...
Memberikan rahmat...

Guru adalah...
Mawar kembang pagi
Mewangi di taman hati
Dengan kasih abadi
Memimpin insan-insani...

Guru adalah....
Serikandi pertiwi
Yang mentarbiah insani
Dengan seikhlas hati
Menuju redho Illahi....

Guru adalah....
Penyuluh harapan
Menjadi perintis jalan
Yang memandu insan
mengenal hari depan
Dengan penuh wawasan...

Terima kasih guru-guruku...
Takkan terucap segala jasamu
Takkan terbalas segala pengorbananmu
Dalam mendidikku
Dan menjadikan aku
Manusia berilmu
Seperti dirimu....

Disti,
22/02/2011

Sunday 20 February 2011

Pemergian bondaku...

Duniaku seakan terhenti..
Duniaku seakan mati...
Duniaku terasa sepi...
Duniaku tidak bermakna lagi....
Saat bondaku pergi...
Pergi yang tak akan kembali lagi...


Bondaku...
Tak terbalas segala jasamu
Tak ternilai segala kasih sayangmu
Tak tertanggung segala pengorbananmu
Dalam mengasuh dan membesarkanku
Dalam mendidik dan mendoakanku
Sehingga aku berjaya
Mencapai cita-cita akhirnya...


Di sini
Di daerah ini
Aku kan tetap tabah berdiri
Aku kan terus gagah berlari
Walau jalanan penuh onak dan duri
Walau hidupku sepi tanpa kau di sisi
Walau kau takkan lagi menemani
Hari-hariku yang seindah pelagi...


Doaku bonda...
Kau bahagia di alam sana
Walau kau telah tiada
Abadi kasihmu selama-lamanya...
Walau kita terpisah jiwa
Namun di hati terpisah tiada...


Bondaku...
Kupasti akan datang lagi
Mengunjungi kuburan sepi
Bersama siraman doa suci
Moga kau tenang bersemadi...
Moga rohmu sentiasa dicucuri..
Rahmat dan kasih Illahi...


Alfatehah untuk bondaku...


Disti,
20/02/11

Saturday 19 February 2011

CUTI GANTI TAHUN BARU CINA...

 Sabtu kedua ganti cuti tahun baru cina. Penat memang penat. Maklum tambah ekstra sehari lagi bersekolah tentu penat rasanya. Kebetulan pulak harini ganti hari Selasa...jadual amat padat. Sementelah masih ada beberapa perkara yang belum aku sampaikan pada anak muridku. So, dari pagi santak sampai masa nak balik naik kering tekak aku memberi penerangan pada anak didikku.. Minggu depan dah ujian selaras bulan Febuari.
Mau tak mau aku kenalah habiskan segala bab yang masuk periksa kali ini.
 Paling sedih, bila kita ngajar sampai suara serak-serak basah tapi ada anak murid yang buat selamba atau buat cerita sendiri kat belakang. Harini aku dah beri satu pengajaran kat kelas 2 Delima ni. Ada ke patut masa rehat sebentar sementara tunggu waktu balik ada antara mereka terjerit-jerit sebab ada seorang budak perempuan yang diorang tak suka masuk kelas sebab nak jumpa aku. Apalagi, naik tocetlah aku dibuatnya. Aku denda diorang tu balik lambat 5 minit, tunggu sampai diorang tu senyap dan tau hormat sikit pada guru. Sabarlah sikit, takkan lari rumah tu dikejar.. Niat cikgu hanya satu...hanya untuk mendidik kalian supaya menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.