Saturday 23 November 2013

TERINDAH DI PULAU PANGKOR ( 19- 20 NOV 2013 ) - HARI KEDUA

Alhamdulillah...pada hari kedua di Pulau Pangkor , cuaca pagi ini cerah dan bersinar walaupun semalaman hujan renyai-renyai mencurah ke bumi...Badanku terasa sengal-sengal mungkin disebabkan semalam terlalu asyik bermain dengan pelampung semasa menjaga Hilman dan Hannan + ditambah pula terpaksa terapung-apung untuk beberapa lama ketika jatuh ke dalam laut... Rasa memang tidak begitu selesa..

Namun oleh kerana kedua-dua anakku ini tidak sabar untuk bermandi-manda di laut lagi...maka aku pun terpaksa turutkan kehendak mereka. Lagipun bukan selalu kami dapat sampai ke sini. Alang-alang sudah sampai di sini...gunakanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Padahal jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi... Tenangnya aku rasakan ketika ini...Ombak yang datang ke pantai begitu lembut beralun..Angin pula sepoi-sepoi menghembus lembut dan menampar manja pipiku yang gebu ini...cewahh...cewahh.... Di sebelah kiriku pula aku melihat sepasang teruna dara yang masih melekat inai merah dijari masing-masing berjalan-jalan sambil berpegangan tangan dan bergurau senda dengan begitu manja sekali... Dedaunan di sekitarku pula meliuk lintuk ditiup sang bayu pagi...Sang enggang pula riuh berkicauan di atas ranting berdekatan sambil bangga menunjukkan kecantikan dirinya...Subhanallah....indahnya pemandangan pagiMu ini ya Allah...Betapa bersyukurnya aku kerana dapat menikmati keindahan ini....

Tanpa melengah-lengahkan masa anak-anakku pun terus saja terjun ke dalam laut. Pengalaman jatuh ke laut semalam...seakan tidak memberi makna ketakutan pada mereka berdua..alhamdulillah...rupa-rupanya mereka ini mempunyai jiwa kental yang cukup berani... cayalah anak ibu... mainlah sepuas-puasnya. Ibu akan menunggu kalian di tepi pantai ini tanpa rasa jemu....Harini rasanya aku tiada mood untuk bermandi manda...Maaf harini ibu tiada mood untuk bermandi- manda lagi... Cukup sudah rasanya pengalaman yang kulalui semalam... Tidak lama kemudian kak Sal dan Sofea menyusul untuk sama-sama mandi di laut. Paling best sebab harini aku dapat meminjam jaket keselamatan yang dah agak buruk untuk anak-anakku...Tak kisahlah...janji boleh guna lagi...Bukan apa, hanya sebagai langkah berjaga-jaga...Apapun..terima kasih ya abang bot sebab sudi meminjamkan ...





Tidak lama kemudian, geng-geng yang lain dan anak-anak didikku pun turut serta bermandi manda setelah selesai bersarapan... Sebenarnya aku dan anak-anakku belum sempat bersarapan lagi kerana nasi lemak yang aku tempah kat Kak Jat  belum sampai lagi waktu kami bertolak ke pantai...Jadinya sambil menunggu di tepian ini aku pun terpaksalah mengunyah roti sahaja dek kerana irama keroncong di dalam perutku sudah mula berbunyi...Alhamdulillah ....yang penting kenyang...
Hilman sedang bermain pasir dengan Ayus...

Bersama Kak Sal, Seri, Aisyah dan Kak Azmi...

Harini..hanya duduk di tepian pantai je...tak nak mandi lagi...
Sepagi ini aku terpaksalah bersabar sahaja menunggu kedua-dua orang anak lelakiku yang semakin rancak bermandi manda kerana semakin ramai anak-anak didikku yang turut serta mandi...Elok juga duduk-duduk saja di tepi pantai ini... seakan ianya terapi minda yang boleh menenangkan jiwa dan ragaku.... Lega rasanya...Lebih kurang pukul 11.00 pagi barulah anak-anakku rasa puas dan nak balik bilik...itupun sebab mereka telah kelaparan.... Yang pasti...kami perlu berkemas-kemas kerana pukul 12.00 tengah hari nanti, kami perlu menaiki bas untuk acara seterusnya iaitu ronda-ronda keliling pulau...




Destinasi pertama kami ialah ke kilang membuat makanan hasil laut. Adalah sikit ole-ole yang dibeli untuk anak-anak dan suami di rumah... Seterusnya kami singgah di Fu Ling Kong Temple yang rupanya ala-ala Beijing gitu...Silap-silap orang ingat mungkin kami pegi makan angin ke sana...



Kemudiannya ...kami dibawa destinasi seterusnya iaitu ke Kota Belanda. Aku hanya bersantai-santai sahaja sambil menghirup dingin air kelapa...

Kak Jat dan gengnya di hadapan Kota Belanda...
Akhirnya bas membawa kami ke jeti Pulau Pangor...Kami diberitahu bahawa feri akan bertolak lebih kurang pukul 2.45 petang dan sekarang ini baru sahaja pukul 1.45 petang. Kami dikehendaki untuk bersiap sedia menaiki feri lebih kurang pukul 2.15 petang. tanpa melengah-lengahkan masa kami pun mengambil kesempatan ini untuk bersoalat  jamak qasar dahulu.... lega rasanya bila kewajipan yang satu itu telah dilaksanakan...

Feri yang ditunggu telah tiba...

Beratur menuju ke feri...

Sampai ketemu lagi Pulau Pangkor....
Paling best sebab kali ini feri yang kami naiki agak besar dan ada dek terbuka di tingkat atas...kesempatan ini kami gunakan untuk bersantai-santai dengan gembiranya sekali...





Perjalanan yang memakan masa hampir 30 minit tidak begitu terasa kerana keasyikan melihat panorama laut yang begitu mengasyikkan. Sesampainya di jeti Lumut, kami diberikan masa hingga jam 5.00 petang untuk berjalan-jalan sekitar Waterfront Lumut ini sambil makan-makan + membeli belah... Apalagi, kami pun tidak melepaskan peluang yang ada untuk bersantap dulu di gerai yang berhampiran...Alhamdulillah kenyang akhirnya...

Destinasi kami seterusnya ialah ke Gerai Makcik Jamilah untuk membeli makanan hasil laut yang menyediakan pakej harga yang berpatutan...Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk memborong sebanyak mungkin ole-ole untuk keluarga tersayang...

Seterusnya...bas kami bergerak menuju ke destinasi terakhir iaitu melawat Kapal Laut TLDM yang terletak berhampiran....Alhamdulillah dikesempatan ini aku dan seramai 30 orang yang lain berpeluang untuk melawat ke dalam kapal tersebut dengan harga yang istimewa iaitu hanyalah RM 5.00 seorang... Inilah yang dinamakan rezeki... Paling kelakar bilamana ada 2 orang anak didikku yang tersesat di dalam kapal gara-gara terlalu excited untuk menjelajah ke seluruh kapal yang memang agak berselirat isi dalamnya...Silap-silap memang boleh sesat dibuatnya...Punyalah payah aku menjaga 2 orang nak kecilku yang terlalu aktif ke sana ke mari...Nasib baik diorang tak sesat...Tak sia-sia aku mengeluarkan suara sopranoku untuk mengawasi mereka...Sorrylah korang ya...terpaksa menjaga telinga masing-masing bila cikgu asyik bersuara je... Apapun korang memang best sangat sebab sporting habis... Faham dengan kelincahan anak-anak cikgu...

Sebenarnya pengalaman ini adalah pengalaman pertamaku menaiki kapal yang seumpama ini. Tentunya aku sangat teruja dan kagum dengan keadaan didalamnya...

Kenangan ....berlatar belakangkan kapal laut TLDM... dalam rintik hujan...
Perjalanan kami diteruskan untuk pulang semula ke Tanjong Karang...Ya Allah lindungilah perjalanan kami ini... Semoga kami semua akan sampai ke destinasi kami dengan selamat ya Allah...Sewaktu azan Maghrib berkumandang...kami singgah berhenti untuk solat...Tidak pasti di mana lokasinya...mungkin di Lekir kot. Yang penting kewajipan solat mesti diutamakan...Alhamdulillah, kami selamat sampai ke sekolah lebih kurang pukul 9.30 malam...Lega rasanya... Aku hanya bertolak balik ke rumah setelah semua anak-anak didikku diambil oleh penjaganya masing-masing..

Percutian kali ini sesungguhnya telah menghadiahkanku pengalaman yang sungguh berharga...Aku sentiasa mensyukuri nikmatMu ya Allah yang sering menghadiahkanku pengalaman yang bermakna dalam hidupku...Semoga pengalaman ini akan lebih mendekatkan aku denganMu ya Rabb...

Thursday 21 November 2013

TERINDAH DI PULAU PANGKOR ( 19 -20 NOV 2013 ) - HARI PERTAMA

Alhamdulillah...cuti kembali lagi. Dan kesempatan yang Allah berikan untuk aku beserta 3 orang anak-anakku iaitu Aisyah, Hannan dan Hilman untuk turut serta mengikuti rombongan kelasku iaitu 2 Intan amat aku syukuri... Peluang dan ruang yang ada amat aku hargai kerana dapat kembali lagi ke pulau ini semenjak percutian keluargaku pada cuti bulan Jun yang lepas.

Pada asalnya aku hanya bercadang untuk membawa Aisyah seorang je ..namun itulah yang dinamakan rezeki anak-anak. Pada saat-saat akhir aku dapat membawa 2 orang lagi anakku kerana masih ada kerusi kosong di dalam bas..

Kami pergi dengan menaiki 2 bas sekolah. Satu bas disertai oleh murid-murid tingakatan 2 Intan dan 2 Berlian. Pada saat-saat akhir ramai yang menarik diri dan yang turut serta hanyalah 26 orang sahaja. Manakala guru pengiringnya pula agak ramai yang terdiri daripada Kak Salwati dan dua orang anaknya iaitu Syaza dan Sofea, Seri Kenanga yang membawa anak bujangnya iaitu Fathi, Suhaila bersama kembarnya yang baru mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR..Tahniah Aleya Syaza yang mendapat 5A dan Aleya Nisha yang mendapat 4A 1B. Tidak ketinggalan Arbaiah yang hanya bersendirian dan tak lain tak bukan wakil cikgu lelaki iaitu Ridzuan. Terima kasih teman kerana sudi memeriahkan rombongan Cik Kiah kali ini menuju ke P. Pangkor.
Geng Bas sekolah...
Sebuah bas lagi diketuai oleh Kak Jat yang membawa semua anak-anaknya dan juga kakaknya. Murid-murid pula terdiri daripada pengawas dan murid tingkatan 4 yang dikendalikan oleh Hajar.

Bas mula bertolak tepat jam 8.30 pagi. Bacaan doa perjalanan diketuai oleh Ahmad Fathi iaitu anak Seri. Terima kasih daun keladi... Perjalanan alhamdulillah berjalan lancar dan kami tiba di Jeti lumut lebih kurang pukul 11.00 pagi. Sempatlah aku berjalan-jalan sekitar jeti Lumut sambil mencari topup sementara menunggu feri ke Pulau Pangkor yang dijadualkan berlepas pada pukul 12.00 tengah hari.

Oleh kerana feri agak kecil maka geng basku bertolak dulu manakala geng kak Jat bertolak kemudian.
Setibanya di P. Pangkor kami semua terus menaiki 4 van menuju ke tempat penginapan kami iaitu Nipah Mas Challet yang terletak di Teluk Nipah. Sebenarnya pemilik challet ini adalah Pakcik Maryam Nabilah. Bagus juga tempatnya sebab terletak berdekatan laut, tempat makan-makan dan tempat membeli belah. Sementara menunggu geng Kak Jat tiba sempatlah aku berkenal-kenalan dengan makcik Nabilah.....lupa pula nak tanya namanya...

Setibanya Kak Jat, kami semua pun diagihkan ke bilik masing-masing. 4 bilik diperuntukkan untuk murid lelaki beserta guru pengiringnya iaitu Ridzuan...Sorry ya Ridzuan  terpaksa jadi sardin sebab bilik yang agak sempit untuk kapasiti seramai 9 orang. 5 bilik pula untuk murid perempuan. Manakala guru-guru pula memperolehi 5 bilik juga. Alhamdulillah biliknya memang selesa buat aku dan anak-anak...

Selepas selesai solat dan berkemas seadanya...tanpa berlengah-lengah lagi aku dan anak-anak pun terus berpicnic di tepi pantai sambil bersantap kerana kami agak kebuluran. Subhanallah...Nyaman sekali rasanya dapat berehat-rehat di tepi pantai sambil menikmati pemandangan yang sungguh indah dan mendamaikan sekali...
Bersantai-santai di tepian pantai...
Hilman dan Hannan tanpa sabar-sabar lagi terus je terjun ke laut. Aku hanya memerhatikan dari tepian pantai sahaj. Maklumlah cuaca pun masih panas lagi...Aku cuma menyewakan pelampung untuk diorang je... Kak Sal dan anaknya ada mandi bersama menemani mereka...Namun akhirnya ku tewas juga apabila tidak dapat melawan perasaan untuk ikut mandi juga...Seronok sungguh rasanya bilamanan dapat lagi aku berenang-renang di gigi pantai yang indah ini...Tak kuhiraukan yang lain...yang penting aku dapat bermandi manda sambil menghilangkan segala stressku ini...





Tiba-tiba datang idea baru untuk aku menaiki ' Banana Boat '. Entah kenapa tiba-tiba aku begitu teruja untuk menaikinya setelah melihat anak-anak muridku naik dengan begitu gembira sekali. Aku pun cubalah mengajak Kak Jat dan yang lain-lain untuk turut serta. Akhirnya dapatlah aku mengumpulkan geng aku yang terdiri dari kami 4 beranak, kak Jat dan anaknya Ayus, Fathi, dan Syaza. Aku duduk dibahagian belakang sekali. Rasa teruja walaupun sebenarnya agak gementar. Sebelum berlepas, pemandu bot berulang-ulang kali mengingatkan agar kami semua jangan cepat panik jika terjatuh di dalam air...



Siap sedia mengambil tempat duduk masing-masing...
Bismillahirrohmanirrohim....Bot pun meluncur laju menuju ke tengah laut selaju degupan jantungku... Setibanya di tengah laut, pemandu bot sempat berhenti seketika dan berpesan agar kami melepaskan pegangan tangan bila dia mengangkat tangan setibanya kami di tepi pantai... Tiba-tiba dengan sekelip mata aku merasakan seakan jiwaku melayang bilamana aku baru menyedari bahawa kami semua telah terpelanting jatuh di lautan dalam.... Ya Allah...selamatkanlah kami semua...



Bersiap sedia untuk berlepas...
Sungguh aku tidak pernah menyangka akan melalui pengalaman sehebat ini dalam hidupku... Hannan dan Hilman mula menjerit-jerit ketakutan dan saling berpaut di antara satu sama lain. Terima kasih Kak Jat kerana cuba memegang anak-anakku yang sedang ketakutan tapi aku tahu caranya itu boleh membahayakan nyawa mereka semua.  Aku cuba menenangkan mereka dan berpesan agar mereka menjarakkan diri antara satu sama lain dan cuba untuk mengapungkan diri. Seboleh mungkin aku menenangkan diriku walau sebenarnya rasa cemas di dalam hatiku sangat dalam...sedalam lautan di bawahku ini atau mungkin lebih dalam lagi rasa cemasku ini. 

Kak Jat pula sering berteriak meminta agar pemandu bot cepat menyelamatkannya kerana di takut lemas di dalam air.Paling cool bila pemandu bot asyik menyebut supaya jangan panik...jangan panik berulang-ulang kali...Rasa geram gak masa tu...Tapi bila dikenang-kenang kembali ada benarnya juga kata-katanya itu...

Alhamdulillah...anak-anak yang dah besar tu mereka semuanya bijak-bijak belaka. Mereka amat matang dan amat bertenang dalam menangani situasi yang amat mencemaskan itu...Sebenarnya mereka amat teruja kerana dapat melalui pengalaman yang sebegitu hebat...Bukan selalu dapat melaluinya...Hanya yang bertuah sahaja yang terpilih untuk merasai detik-detik itu... Seorang-seorang daripada mereka diangkat semula untuk menaiki banana bot. Tiba giliran Hannan dan Hilman...Alhamdulillah leganya aku rasakan. Kemudian barulah aku ditarik naik ke atas...Ya Allah...sukar juga sebenarnya untuk naik semula ke atas banana boat dalam keadaan tiada tempat untuk berpijak...Masing-masing cuba menarik tanganku...Alhamdulillah...akhirnya setelah berhempas pulas, dapat juga aku naik ke atas dengan lafaz kesyukuran yang tidak pernah hentinya dari mulutku ini... Terima kasih ya Allah... Akhir sekali barulah Kak Jat dapat di angkat naik walaupun dalam keadaan yang agak payah...Yang penting semuanya telah berjaya menaiki banana boat untuk segera pulang ke tepi pantai..

Menggeletar rasanya tubuhku sepanjang perjalanan menuju ke pantai..Pemandu bot ni rasanya tak reti memandu perlahan agaknya...Kerisauan tetap ada kerana aku takut untuk jatuh semula ke laut sekali lagi... Setibanya di tepi pantai, tatkala pemandu bot mengangkat tangannnya ...kami pun melepaskan pegangan dan sekali lagi tergolek masuk ke dalam air...Kali ini kami lebih matang dan tenang... Berenang-renanglah kami ke pantai...

Tidak menunggu lama di pantai...aku pun terus mengajak anak-anakku balik ke bilik mungkin dek kerana rasa trauma yang masih ada mengenangkan peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Macam-macam yang aku fikirkan setelah aku sampai di dataran ini...Membuat diri rasa bersalah sebab beriya-iya mengajak orang lain untuk naik banana boat...Alhamdulillah...Allah masih menyayangi dan melindungi kami...Sesungguhnya pengalaman ini akan aku kenang selamanya...

Sepetang itu...dek kerana kepenatan dan kegusaran yang melanda diriku ini..maka aku pun beradulah sepuas hatiku. Yang peliknya, dua orang anak lelakiku masih dapat bertahan dan tidak rasa mengantuk malahan lebih cergas lagi. Mereka leka bermain game sedangkan aku dan Aisyah sedang lena diulit mimpi yang tek berapa indah...Alhamdulillah Hannan dan Hilman tidak rasa trauma dan terus mengerjakan solat jamak tika azan Maghrib berkumandang... Terima kasih anak, kerana kalian memudahkan tugas ibu.... Kalian tetap mengingati Allah walau di mana kalian berada...Doa ibu semoga kalian akan menjadi anak-anak yang soleh...Aamiin..Terima kasih Hannan kerana sering mengingatkan ibu supaya jangan melengah-lengahkan waktu solat...

Lepas waktu Isyak, kami dijemput untuk menikmati hidangan steamboat yang disediakan oleh Hajar dan geng-gengnya. Walaupun rasa amat letih ditambah pula dengan cuaca yang begitu dingan kerana hujan yang turun semenjak petang tadi...namun aku gagahkan juga untuk memenuhi undangan mereka... Tak si-sia rupanya sebab memang badan terasa amat segar selepas menikmati steamboat yang disediakan oleh mereka. Hidangan yang disediakan mendapat sambutan hangat dari ahli rombongan. Kami berkemas-kemas lebih kurang pukul 11.30 malam... Badan semua rasa sakit-sakit ditambah pula dengan mata yang semakin kuyu...aku pun mulalah landing time... Namun suasana di luar masih lagi bising dengan gelak tawa anak-anak didikku yang tak tau erti penat agaknya...

Bergebang-gebang dengan Su dan Arbaiyah..
Segar rasanya dapat menghirup kuah yang panas...



Friday 15 November 2013

10 MUHARRAM 1435 HIJRAH (HARI ASYURA )




Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Asyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh umat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."


Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Asyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Asyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Asyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Asyura, Allah S.W.T menenggelamkan Firaun pada hari Asyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s pada hari Asyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Asyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Asyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Asyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Asyura !".

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Alhamdulillah...kami suami isteri serta anak-anak kami iaitu Hazman, Hazwan dan Aisyah telah dapat melaksanakan ibadah puasa pada 10 Muharram yang lepas... Tiada lain yang kuharapkan dariMu ya Rabb selain keberkatan, kebahagiaan dan kejayaan buat kami sekeluarga di dunia mahupun di akhirat. Terima kasih ya Rabb...kerana memberikan kami kekuatan untuk melaksanakan ibadah ini ...Tanpa izinMu tentu sekali amat berat untuk kami melaksanakannya...

Buat anak-anakku...Hazman, Hazwan dan Aisyah... ibu amat bangga dengan kalian kerana amat bersemangat untuk turut sama berpuasa pada hari ini. Semoga kita akan sama-sama beroleh ganjaran dari Allah S.W.T sepertimana yang telah dijanjikan kepada kita semua. Ibu harap semoga amalan ini akan kita laksanakan untuk sepanjang hidup kita demi meraih redho dariNya...aamiin...

Seperti biasa..menu wajib yang mesti ada pada hari Asyura adalah BUBUR ASYURA.. Walau keletihan, aku berusaha dengan sepenuh hatiku demi memenuhi permintaan suami tercinta...Alhamdulillah, jiran-jiran terdekat dapat merasa air tanganku yang tidak ku tahu apa rasanya... Yang pasti aku ikhlas memasaknya dengan niat untuk bersedekah sekadar yang termampu olehku...Semoga mereka semua gembira menerimanya sebagaimana aku juga sangat gembira ketika memasaknya...

Dan malamnya pula...kami isi dengan mendengar ceramah sempena bulan Muharram  di Masjid Raudhah, Tanjong Karang. Walaupun ketika berbuka aku hanya sempat menjamah sebiji kurma beserta segelas air...alhamdulillah...aku dan anak-anakku masih dapat bertahan walaupun penceramah hanya menghentikan ucapannya saat jam terpacak pada pukul 10.00 malam.

Penceramah pada malam itu ialah Ustaz Abdullah bin Din iaitu Timbalan Abim negeri Kedah yang membawakan topik yang agak hangat dewasa ini iaitu berkaitan dengan Syiah... Terima kasih ustaz kerana memberikan aku info baru berkenaan kumpulan ini. Malam yang panjang tidak begitu aku rasakan dek terpesona dengan kata-kata dan video yang ditunjukkan sepanjang ceramah ini... Semoga aku mampu menjadi wadah buat insan-insan disekitarku dengan menyampaikan dan menyebarkan serba-sedikit maklumat berkaitan kumpulan syiah ini di masa hadapan.. Bahayanya sungguh besar... Ya Allah ...peliharalah generasi masa hadapan di negaraku ini daripada ancaman Syiah... Tunjukilah kami selalu jalan yang benar dan jangan Engkau bolak balikkan hati kami ya Rabb....

Balik rumah barulah kami semua dapat bersantap dengan begitu berselera sekali walaupun jam telah menunjukkan angka 11.00 malam. Walaupun mataku terasa begitu berat, aku gagahkan diri juga untuk bersantap kerana irama keroncong di dalam perutku begitu kuat kedengaran.  Alhamdulillah rezeki dari masjid. Bubur asyura juga barulah kami dapat menikmatinya saat ini. Yang penting...kami telah mengisi hari yang mulia ini dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan pahala. Tiada lain yang kami harapkan ya Rabb agar amalan kami diterima olehMU... Terima kasih suamiku...kerna seringkali mengajak kami untuk lebih dekat dengan Mu..






TERIMA KASIH CUTI...


Musim ini datang kembali... Musim yang sering aku nanti-nantikan. Akhirnya muncul kini dan menghadiahkan aku rasa gembira yang tidak terperi... Entah kenapa...rasanya seluruh jiwaku akan menyanyi dengan begitu riang sekali tatkala musim ini kembali...Rasa bebas dan amat lapang dari sebarang tugasan atau tekanan..

Inilah masanya untukku berpoya-poya + bersantai-santai di rumah bersama buah hatiku tanpa perlu terkejar-kejar seperti rutin harianku di hari persekolahan. Inilah juga masanya untuk aku mengemaskini apa yang patut di rumahku syurgaku ini yang rasanya hampir berantakan gara-gara kesibukan dan kepenatan yang sering menghambat diri. Apa yang penting ....tidak perlu memikirkan untuk masuk ke kelas atau berhadapan dengan murid-murid yang ada kalanya mencabar kesabaran diri ini....

Rasa sungguh tak sabar untuk berjalan-jalan dengan anak didik 2 Intan dan rakan seperjuangan pada minggu hadapan ( 19 - 20 Nov ). Destinasi pilihan kali ini adalah Pulau Pangkor... Semoga segala apa yang telah dirancang akan berjalan dengan lancar. Doaku moga semuanya akan baik-baik sahaja. Yang pasti kali ini aku mesti membeli ikan bilis bermata biru yang sungguh rangup...

Aku juga berharap...di musim cuti ini aku mampu bermuhasabah diri dengan apa yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini. Semoga aku mampu memperbaiki segala kelemahan diri dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik dari semalam...Aku hanya manusia biasa..Ada kala tersasar atau alpa..Ya Rabb..pimpinlah daku, bantulah daku agar aku mampu mendidik anak-anakku dan anak-anak didikku dengan sebaik-baiknya. Tiada hadiah paling berharga bagiku selain dari kejayaan mereka...

Wednesday 6 November 2013

BENGKEL VLE CHAMPION ( 31102013 )




Dunia maya semakin berkembang maju.. Seiring dengan masa yang berlalu dan seiring zaman yang pantas berubah makanya tempias itu turut sama aku merasakannya. Dunia maya baru untuk warga sekolah juga ibu bapa iaitu VLE FROG telah diwujudkan bertujuan untuk melestarikan lagi dunia pendidikan. Salam perkenalannya telah diterjemahkan pada 5 Oktober yang lepas melalui LADAP VLE FROG untuk kali pertama di makmal ICT. Teruja sebenarnya dengan pendekatan baru yang ingin diperkenalkan pada kali ini. In sya Allah .... akan aku cuba untuk melaksanakannya dengan sehabis baik.

Sehubungan dengan itu, kami para guru dan sebilangan murid telah terpilih untuk menjadi VLE CHAMPION iaitu sekumpulan individu yang membantu JU VLE FROG sekolah dalam menyampaikan maklumat kepada warga sekolah berkenaan VLE FROG. Seramai 10 orang guru yang berminat dan lebih kurang 20 orang murid telah terpilih untuk mengikuti bengkel  selama sehari. Tahniah pada rakan-rakan yang terpilih... Kak Sal, Kalai, teacher Halijah, Arbaiyah, Norina, Zaini, Hani dan Deja. Bukan terpilih sebenarnya, tapi kami sebenarnya adalah sukarelawan yang berminat untuk belajar perkara baru. Kami harap pada tahun hadapan, kami dapat membantu rakan dan anak didik dalam memahami dan mendalami ilmu yang berkaitan frog ini...Chayuuukkk...

Banyak perkara baru yang dipelajari, banyak perkara yang diterokai. Yang pasti aku memang menyukainya sunguh-sungguh. Mungkin inilah masanya yang sesuai untukku mencurah idea dan kreativiti bagi meningkatkan lagi pencapaian mata pelajaran ERT di sekolah. Memang seronok....Harap-harap selepas ini hendaknya aku dapat berhubung dan menyampaikan ilmu kepada anak-anak didikku dengan lebih efisyen lagi...