Monday 26 March 2012

CUTI-CUTI KE GANU KITA...

Cuti pertengahan tahun baru je berlalu...Ada peristiwa manis dan ada yang pahitnya.
Namun yang pasti peluang yang datang untuk aku sekeluarga menghantar pengantin, bagaikan bulan jatuh ke riba. Tak pernah ku sangka. Rezeeki Allah akan tiba bila-bila masa sahaja. Alhamdulillah....ku syukuri ya Allah nikmatMu kepadaku...

Malam Khamis 21 Mac lebih kurang jam 10.30 malam kami satu rombongan bas yang terdiri daripada saudara mara bertolak dari Kampung Sungai Tengi Kanan menuju ke Chendering, Terengganu. Perjalanan kami ini dimulai dengan doa yang diketuai oleh suamiku dengan harapan agar perjalanan ini mendapat berkat serta selamat pergi dan balik. Sebenarnya kami pergi seramai 6 orang yang terdiri dari suamiku, ibu mertuaku serta tiga orang anakku. Anak kembar sulungku tidak ikut serta kerana pergi bercuti bersama Kak Yah(kakak iparku) ke Melaka.

Kami berhenti rehat sebentar untuk makan minum dihentian Temerloh. Jam menunjukkan jam 1.00 pagi. Cepat betul masa berlalu. Kami makan bekalan yang dibawa iaitu bihun goreng dan air kotak. Cukuplah sekadar untuk mengalas perut. Alhamdulillah, kami sampai di masjid Chendering tepat saat azan subuh berkumandang...

Selepas menunaikan solat subuh, kami pun terus pekena sarapan. Istimewa hidangan sarapannya ialah nasi dagang lauk ikan tongkol yang dihidang di atas daun pisang. Sungguh mudah dan menjimatkan pinggan. Apapun...ianya sungguh lazat. Terima kasih kepada keluarga pengantin...sebab belanja kami pagi itu.

Perjalanan diteruskan lagi ke Pasar Payang. Macam-macam yang ingin ku beli. Namun memandangkan saat ini adalah waktu di tengah-tengah bulan, terpaksalah aku berjimat cermat sedikit. Yang penting, aku jalan-jalan cuci mata...mana tau ada yang aku berkenan. Yang pasti mataku terus terpaku pada sepasang baju sutera crepe berbatu yang sungguh hebat...maklum warnanya warna hitam, warna kesukaanku....Terus aku mendapatkannya...dengan harga yang sudah kutawar..RM 220.00...kukira sungguh berbaloi. Juga ada beberapa pasang kain batik buat oleh-oleh untuk adik dan kakakku. Suamiku juga tidak melepaskan peluang untuk membeli sepasang kemeja buat dirinya. Yang penting setiap kami ada oleh-oleh sebagai tanda kenangan. Untuk anak-anakku cukuplah T-shirt yang mepunyai lambang negeri Terengganu. Keropok ..kami tak lupa beli. Harga di sini katanya lebih murah berbanding di Losong. Tak lupa aku membeli beberapa bungkus nasi lemak untuk hingan tengah hari sementara menunggu majlis akad petang yang akan berlangsung selepas solat zohor.


Tepat jam 2.30 petang kami bertolak dari tempat penginapan kami iaitu Saudagar Beach Hotel yang letaknya tidak jauh daripada rumah pengantin perempuan. Kedatangan kami dialu-alukan oleh keluarga pengantin perempuan dan sambutan yang diberi sungguh sederhana. Setelah dua kali lafaz, sah Erny menjadi milik Mubarok.




Suasana amat syahdu bagi pengantin lelaki kerana acara pernikahannya dijalankan tanpa kedua-dua orang tuanya yang telah pergi. Aku juga turut sndu kerana ku juga sama sepertinya yang telah yatim piatu.... Selepas acara pernikahan, kami dijamu dengan hidangan nasi dagang yang sungguh enak sekali...



Selesai acara pernikahan, kami dibawa melawat ke ARFA BATIK. Sekadar cuci-cuci mata sambil melihat demonstrasi membuat batik.



Sesungguahnya desiran ombak dan bayu laut, menggamit aku untuk menikmatinya. Alangkah indahnya ciptaan Illahi.. Takkan ku lepaskan peluang ini untuk aku menikmati keindahannya sambil menikmati keropok lekor panas yang enak...



Acara petangnya kami isi dengan bersantai-santai di tepi pantai.Walaupun cuaca agak mendung dan laut bergelora namun angin yang menghempus sungguh nyaman dan mendamaikan sekali. Anak-anakku tidak melepaskan peluang untuk bermandi manda bersama saudara maranya yang sebaya...Walaupun risau aku benarkan jua memandangkan ada beberapa orang dewasa yang menjaga mereka.


Malamya kami tidak ikut ahli rombongan yang lain untuk makan malam di Pantai Batu Burok memandangkan mak mertua dan anak-anakku sudah keletihan. Mujur ada kedai makan bersebelahan penginapan kami. Walaupun terpaksa menunggu lama namun makannya betul-betul sedap. Balik dari makan malam je...kami terus lena..




Esoknya, selepas bersarapan, kami dibawa melawat Taman Tamadun Islam. Dapatlah tengok masjid Kristal. Puas jugalag bergambar sakan. Yang paling aku suka pemandangan tepi sungainya... Selepas puas berjalan-jalan, kami di bawa pula ke Losong Che Su... Adalah sedikit keropok lekor yang dibeli... Kat kedainya kenyang juga kami makan keropok yang telah siap digoreng..Sedap....tapi yang dulu rasanya lebih sedap lagi...itu 4 tahun yang lalu.



Selepas zohor, kami menghantar pengantin untuk acara persandingan. Majlisnya cukup sederhana. Jumlah saudara mara yang memeriahkan majlis juga bilangannya hanya sedikit...sungguh berbeza dengan tempatnya. Namun, yang penting acara persandingan berjalan dengan lancar. Menu pada petang itu memang sedap...nasi minyak, ayam masak merah, gulai kambing, acar mentah dan ikan kering memang kena dengan seleraku..




Seusai acara selesai, kami akan memulakan perjalanan balik ke Tanjong Karang. Perut sudah kenyang + hati pun senang..apalagi mata pun terlelap dibuatnya.... Selamat tinggal Laut Cina Selatan. Insya-Allah, ada rezeki kami akan datang lagi. Kami berhenti makan di Hentian Gambang pukul 9.00 malam. Alhamdulillah pada jam 1.00 pagi kami selamat sampai kee kampung halaman. Ingin sekali aku merakamkan jutaan terima kasih kepada pengantin lelaki, Mubarok, Purwani dan suami, Purwati dan suami serta Mahudi dan isteri kerana sudi mengajak kami sekeluarga untuk mengikuti rombongan ke Terengganu. Sesungguhnya ia adalah suatu kenangan yang sungguh indah.