Thursday 16 May 2013

16 MEI DAN SEJAMBAK BUNGA...

Sejambak Bunga di Hari Guru Buat Diriku....
16 Mei datang lagi seperti tahun-tahun yang dulu. Sedar tak sedar sudah 17 tahun aku bergelar seorang guru. Cita-citaku sejak dahulu kala memang ingin menjadi seorang guru. Alhamdulillah berkat doa emak dan bapak akhirnya Allah kabulkan hajatku ini. Betapa aku amat berbangga dan menyintai kerjaya ku ini. Tiada yang lebih aku cinta selain dapat menabur bakti menumpahkan setitis ilmu buat anak-anak didikku. Sebenarnya terlalu banyak cabaran yang terpaksa kulalui dalam mendidik putera-puteri pewaris generasi masa depan yang semakin hari semakin hilang peradaban diri.. Namun ada banyak juga kenangan manis yang telah dikongsi bersama-sama anak-anak didikku yang mematangkan diri ini... Kalian menghadiahiku kejayaan dan juga kenangan manis tika bersama-sama...

Sayang... sebab hari ini kami tidak dapat menyambut Hari Guru. Cuma seawal pagi kami mengadakan perhimpunan untuk mendengar amanat daripada tuan pengetua mengenai motto hari guru pada tahun ini iaitu ....GURU MALAYSIA 1 ASPIRASI 1 AGENDA... Sambutan hari guru terpaksa ditunda kerana jadual peperiksaan pertengahan tahun yang begitu ketat. Maklumlah ada banyak kertas ujian yang terpaksa ditunda jadual pelaksanaannya pada minggu lepas gara-gara kedatangan sekumpulan nazir dari Jabatan Pelajaran Negeri Selangor yang datang untuk memantau pengurusan sekolah disamping mencerap beberapa orang guru daripada Panitia KHB, Sejarah, Bahasa dan Pendidikan Islam. Walaupun secara keseluruhannya hasil dapatan nazir mengkategorikan sekolah kami masih berada di tahap lemah, tapi hakikatnya kami telah berusaha sebaik mungkin. Bahananya...dua minggu ini jadual peperiksaan untuk tingkatan 4 dan 5 terpaksa berlangsung sehingga jam 3.30 petang. Redho ajelah...Ikut ajelah giliran bertugas petang yang telah ditetapkan...
Berbunga-bunga hatiku
Tak tahu kenapa perasaanku begitu syahdu setiap kali tarikh 16 Mei  ini muncul. Memang ianya suatu tarikh yang amat bermakna buat diriku... Makanya sepanjang hariku ini kurasakan begitu bersemangat sekali. Sejak semalam sebenarnya aku bercita-cita untuk membeli sejambak bunga buat diriku sendiri.... Tak sabar rasanya.. Lantara itu..seusai aku kekenyangan setelah menghabiskan semangkuk laksa yang lazat dan sepinggan nasi minyak yang kaw-kaw beserta dalca, jelatah, rendang daging dan ayam berempah di majlis jamuan Kak Rohaidah...aku pun terus memecut ke kedai bunga segar berhadapan BSN semata-mata untuk membeli bunga kegemaranku iaitu bunga mawar merah...Alhamdulillah stok bunga baru sampai. Lega rasanya. Aku pun terus menempah sejambak bunga yang kuiingini..Gembira sungguh hatiku. Walau tiada siapa yang sudi menghadiahiku dengan sejambak bunga namun yang penting aku hadiahkan diriku sendiri dan menikmatinya sendiri...Melihat bunga mawar merah yang sedang mekar mewangi...hatiku juga turut merasakan auranya...Semoga hatiku ini akan sentiasa mekar dan mewangi untuk terus mencurahkan ilmu buat anak-anak didikkuku walau apa jua cabaran yang datang...Ya Allah mudahkanlah segala urusanku...terangilah hati anak didikku dan berilah mereka kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat...Amin




Sunday 12 May 2013

AKU DAN PETANG....



Aku dan petang...
Saling beriringan
Saling bersangkutan
Sendirian
Keseorangan.....

Aku dan petang...
Sayu kurasakan
Bila kesunyian
Siapa yang sudi
Menjadi teman....

Aku dan petang...
Lelah melayan perasaan
Ada kegembiraan...
Ada ksedihan...
Ada kesyahduan...
Ada pertanyaan....
Ada segala kemungkinan...

Aku dan petang...
Gerimis datang bertandang
Bagai hatiku yang walang
Tangis hatiku berdendang
Bilakah ianya kan hilang...

Aku dan petang...
Sentiasa kan berulang
Pasrahku pada ketentuan
Moga aku dengannya
Allah ketemukan
Mengubati hatiku 
yang sering kesepian
Menjadi peneman setia
Di masa hadapan...
Oh di manakah gerangan...

Ikhlas buat seorang teman yang sedang dalam pencarian..
- Disti -




Friday 10 May 2013

BONDA DALAM KENANGAN.....


Bondaku....
Kering sudah air mataku
Yang sering dulu-dulu
menitis laju....
Semenjak aku kehilanganmu
Semenjak kau tiada di sisiku

Bondaku....
Walau bertahun telah berlalu
Tak pernah surut rinduku padamu....
Tak pernah luak kasihku padamu....
Tak pernah padam kenangan bersamamu....
Tak pernah hilang senyumanmu di hatiku....
Tak pernah terhakis kata-kata nasihatmu....
Takkan pernah hilang semuanya itu....
Walau terpisah jasad kau dan aku...

Bondaku...
Pada angin yang menyapa lalu
Aku titipkan salam rinduku
Pada awan yang tinggi di langit biru
Aku bisikkan sayangku padamu
Pada hujan yang datang bertamu
Aku sampaikan salam kasihku.....

Ketahuilah bondaku...
Kutakkan pernah jemu
Menganyam doa mewangi buatmu
Di setiap waktu yang berlalu
Tanda kasihku padamu....


Sayang Tiada batasan...
            -Disti-

Sunday 5 May 2013

HARI MENGUNDI ( 050513 )



Sejak kebelakangan ini darjah keterujaanku untuk mengundi begitu tinggi...Walaupun ini bukanlah kali pertama aku akan menunaikan kewajipanku untuk mengundi...kalau tak silap ini mungkin kali yang keempat, tapi aku tetap merasakan tahap kerujaanku begitu tinggi. Sepanjang jalan rumahku penuh dengan bendera juga poster aneka warna. Pendek kata kalau nak ambik untuk acara sukan sekolah pasti berbaloi. Jimat sikit belanja...Tak payah beli banyak-banyak kain untuk buat bendera baru... Semangatku berkobar-kobar agar negeri Selangor yang kucintai ini kekal diperintah oleh pemerintah yang ada sekarang. Tegakkan Islam....jauhkan kami dari pemimpin yang tidak amanah.....

Aku memilih waktu tengahari untuk mengundi dengan harapan agar tidak ramai orang mengundi pada waktu ini. Terima kasih suamiku kerana sudi mengantarkan aku ke tempat mengundi iaitu di SK Parit Serong. Kemeriahan dan bahang pilihan raya jelas kelihatan. Banner, papan tanda, poster dan bendera berkibaran dengan megahnya...Begitulah juga dengan hatiku ini yang sudah tidak sabar-sabar untuk mengundi.....



Paling teruja apabila mengundi ini adalah apabila aku dapat berjumpa teman-teman lama juga orang-orang kampung yang jarang-jarang dapat ku temui. Happening betul bila aku terjumpa kawan-kawan lama. Macam-macam cerita yang keluar ...sampai kena tegur dengan orang lain yang sama-sama beratur. Nasib baik dia menegurnya...tegur-tegur manja. Kedua teruja kerana tempat mengundi merupakan sekolah rendahku dahulu dari tahun 1980 - 1985. Banyak kenangan pahit dan manis tercinta di sini. Sekarang ini banyak perubahan yang telah dialami. Rangka sekolah lama pun dah tak ada. Semua dah diganti dengan yang baru. Alhamdulillah...nampaknya dah semakin cantik. Kepada rakan-rakanku...Masdewita, Rabiaton, Jamiah, Helmi, Asri dan Mazhaidi ( yang sempat kutemui di tempat mengundi ) terlalu banyak kenangan indah sewaktu kita sama-sama bersekolah dulu. Kini masing-masing telah terpisah membawa haluan masing-masing. Semoga ukhwah di antara kita kan terus berkekalan walaupun ada antara kita yang tidak sehaluan dari segi fahaman politik. Yang penting persaudaraan di antara kita sesama Islam haruslah dikekalkan...


Yang pasti...hari ini aku telah menunaikan hakku sebagai rakyat MALAYSIA...hak untuk MENGUNDI.
Aku memilih untuk MENGUNDI.......  Undi itu adalah RAHSIA..... Pilihan di tangan kita. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa jua pilihan kita. Semoga tanahairku tercinta, MALAYSIA akan terus aman dan beroleh kesejahteraan selamanya...



Wednesday 1 May 2013

CUTI HARI PEKERJA

Aku rasa macam setuju je....


Alhamdulillah....syukur sangat sangat sebab dapat nikmat cuti sempena hari pekerja pada hari ini. Lapang sungguh rasa dadaku. Tenang fikiranku walaupun sebenarnya banyak kerja yang menanti untuk disiapkan. Apa-apa pun kalau dah namanya cuti, segala kerja ku tangguhkan dulu....tunggu dulu ya kerja akan kusambung semula esok hari. Fokus utama hanyalah untuk membereskan kerja-kerja di rumah yang tak pernah mau habisnya....

Seawal pagi aku sudah bangun untuk mencuci baju....sambil masak nasi goreng dan menjerang air sementara menunggu suami dan anak-anak balik dari masjid. Kalau diikutkan rasa malas, memamg aku nak pejamkan mata saja tapi bila teringatkan mereka.....kukuburkan sahaja niatku itu. Sepulangnya sahaja mereka semua dari masjid, kami pun terus bersarapan bersama sambil bercerita tentang tazkirah pagi yang disampaikan oleh sahabat sekolahku iaitu Ustaz Nasir.

Selepas itu aku pun terus menyidai pakaian yang banyaknya beberapa bakul (.stok lama yang tak sempat dibasuh ). Kejung jugalah tangan ini dibuatnya. Anak-anak aku tak berani kacau kali ini kerana masih di bawah pengawasan suamiku yang menyuruh mereka membaca buku kerana peperiksaan pertengahan tahun hampir tiba. Tak mengapalah anakku...doakanlah moga ibumu ini kuat dan rajin ya...

Kemuan...acara seterusnya adalah acara melipat kain baju....stok lama juga masih banyak. Adalah dalam dua tiga bakul juga. Maklumlah ahli rumah ini seramai 6 orang. Hanya seorang sahaja perempuannya iaitu akulah ini yang bertugas merangkap isteri...ibu....bibik .....dan serba serbinyalah...Makanya kalau aku ada masa aku akan kerjakan sendiri. Kalau ada rezeki maka anak-anak bujangku akan menolong sekali. Apa pun aku gembira sebenarnya menjalani rutin sebagai suri rumah...Walau memang penat tapi ianya berbaloi...Rumah kemas...kerja beres...hati pun senang...Ku tinggalkan kerja ini walaupun belum siap sepenuhnya.... Melipat  kain baju aku dan suami sambil mengemaskini almari baju juga mengambil masa berejam...Aduyai...bila pulak nak melipat kain baju anak-anakku pula....Tak kisahlah janji bakul masih muat untuk menyumbat baju-baju yang ada....Cari aje ya nak baju dan seluarrmu di dalam bakul itu... Mesti ada punya...

Time menyediakan makan tengah hari...Sajian ringkas sahaja. Yang penting seimbang. Ada karbohidrat...ada protein dan ada vitamin dan garam galian. Aku masak seadanya sambil menunggu suami dan anak-anak balik dari masjid untuk solat zohor. Selepas siap aku terus menyambung kerja-kerja menyental baju-baju sekolah anak-anakku yang tlah siap sedia kurendam sejak pagi tadi...Buka aku tidak percaya pada mesin basuhku, apakan daya kekotoran yang melekat pada baju dan seluar putih anak-anakku tidak akan hilang kalau tidak disental dengan berus...Bagus juga sebenarnya untuk aku bersenam secara semula jadi. Walaupun penat aku puas hati sebab hasilnya sungguh memuaskan..putih berseri.

Tunggu punya tunggu kelibat suami dan anak-anakku tiada lagi...mana diorang pegi ni. Waktu dah pukul 3.30 petang. Janganlah ada apa-apa yang terjadi. Lapar punya pasal aku pun makan sendirian.....Takut nanti diorang balik lambat tak pasal-pasal gastrikku pulak yang akan datang. Alhamdulillah sewaktu menyidai pakaian untuk kali yang ketiga diorang pun balik. Seperti biasa reporterku...Hazwan terus meluru memberitahu bahawa punca kelewatan mereka adalah kerana tayar kereta suamiku bocor....Kena gantilah pulak. Sebab itulah mereka lambat.

Waktu petang-petang ini kuluangkan masa sekejap untuk melihat-lihat FB dan menulis di blogku ini. Sekurang-kurangnya adalah cerita yang hendak ditulis dan untuk aku merehatkan diri sebentar. Nanti aku perlu menyediakan hidangan untuk makan malam pula . Selepas itu  kena menggosok baju aku dan anak-anakku...Ya Allah kuatkanlah aku ya Allah...Berikanlah aku kesabaran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah ini....

Sesungguhnya CUTI HARI PEKERJA adalah cuti di tempat kerja sahaja. Hakikatnya kami kaum hawa tidak ada cutinya dari menguruskan rumahtangga.... Semoga apa yang aku lakukan selama ini untuk suami dan anak-anakku mendapat pahala di SisiMU ya Allah...Amin.