Saturday 21 September 2013

CATATAN 1 KEMBARA HAJI 2009 - Kembara Hati Mencari Redho Illahi


Kenangan itu masih basah di ingatan dan minda ini. Setiap saat ini tidak pernah aku berhenti dari mensyukuri nikmat yang telah kau berikan padaku ya Allah… Suatu hadiah paling berharga dan sangat istimewa. Menjemput aku, suamiku dan ibu mertuaku untuk menunaikan haji pada tanggal 12 November – 22 Disember 2009 adalah kurniaanMu  yang paling indah buat hambamu yang kerdil ini… Syukran Ya Allah.. Walau kini hampir 4 tahun telah berlalu, aku masih lagi merindui dan mengingati setiap detik waktu yang ku lalui di sana. Ianya terlalu istimewa dan sangat luar biasa…

Catatan ini ku tulis bukan untuk menunjuk-nunjuk jauh sekali ingin berbangga-bangga, sekadar untuk berkongsi pengalaman. Semoga ianya akan menjadi pendorong buat insan-insan yang berkeinginan untuk ke sana tapi masih belum kesampaian.

          Ya Allah,  aku mohon keampunanMu, aku mohon kemaafanMu, aku mohon keredhoanMu atas usaha ku ini mencatatkan perjalanan hajiku pada tahun 1430 Hijrah yang lalu untukku jadikan hadiah buat anak-anakku, rakan-rakanku, saudara-maraku jua buat muslimin muslimat yang di rahmati Allah .

          Sesungguhnya perjalanan haji ini adalah perjalanan yang amat aku ingini, amat aku rindui, amat aku hargai hingga saat ini. Terlalu tinggi kesyukuran yang yang aku ingin panjatkan kehadrat Illahi di atas kurniaanNya ini kepadaku.

          26 Disember 2006 adalah detik yang amat bermakna buat aku dan suamiku kerana pada tarikh itu kami telah sebulat suara mendaftar untuk menunaikan haji. Tarikh yang diberi kepada kami ialah pada tahun 2015. Walaupun agak lama tapi kami redho kerna yakin mungkin itulah yang terbaik buat kami. Namun kami sebenarnya berhajat sangat agar dapat menunaikan haji pada tahun 2009 iaitu sewaktu umurku 36 tahun dan suamiku 40 tahun. Semenjak dari tarikh itu kami berdua berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh dari hati kami yang paling dalam agar hajat kami Allah kabulkan. Disamping itu kami juga berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan duit tabungan dengan pendapatan kami sebagai seorang guru dan mempunyai 5 orang anak yang masih kecil-kecil.Namun semua itu tidak melemahkan semangat dan impian kami. Yang pasti banyak pengorbanan yang perlu dilakukan supaya kami dapat mengumpulkan wang secukupnya untuk keperluan di sana. Itulah cabaran yang paling besar yang terpaksa kami lalui.

          Ternyata doa-doakaku selama 3 tahun ini Allah kabulkan.Hambamu yang kerdil ini selalu berdoa agar sewaktu usiaku 36 tahun dan suamiku berumur 40 tahun, aku dapat menunaikan haji. Setiap saat, aku merayu, mengharap, memohon dengan kerendahan diri agar doa-doaku itu kau kabulkan. Aku bukanlah seorang hambamu yang selalu beramal ibadat denganmu.

RANJAU SEPANJANG JALAN.

          Pejam celik, pejam celik, masa terus berlalu. Tahun yang ku n anti akhirnya  kunjung tiba. Betapa syahdunya aku kerana tahun ini merupakan tahun yang ku doakan selama ini untuk ku menjalankan ibadah haji di Tanah Suci…Semoga perjalananku ini nanti akan di berkati dan dipermudahkan oleh Mu ya Allah.

          Seawal bulan tiga aku dan suamiku telah mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus haji yang dijalankan di Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor. Tidak dapat kugambarkan kegembiraan dan kesyukuranku kerana inilah langkah pertama untukku meneruskan perjalanan ini. Perjalanan mencari redho Illahi. Perjalanan yang kunanti-nanti selama ini.

          Hatiku berbunga-bunga setiap kali mendengar ceramah yang telah diberi oleh Ustaz berkenaan Tanah Suci Mekah  dan Madinah. Bagai digaru-garu hatiku untuk terbang ke sana setiap kali aku mendengar penjelasan yang telah diberikan oleh Ustaz. Banyak perkara baru berkaitan haji, dam dan macam-macam lagi yang berkaitan dengannya yang diterangkan menambahkan lagi keakinanku untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci secepat mungkin.

          Sehingga bulan Mei, kami mendapat perkhabaran bahawa surat rayuan kami ditolak atas sebab-sebab tertentu. Oh…betapa sedih hatiku dan suamiku bila mengetahuinya. Lantas kami memikirkan alternatif  lain untuk melaksanakan impian kami. Walau keadaan kewangan kami sekadar secukupnya sahaja tetapi kami bertekad untuk menggunakan khidmat pakej swasta kerana dengan cara ini sahaja impian kami akan terlaksana.

          Alhamdulillah , seorang teman suami telah memperkenalkannya kepada Ustaz Nahrawi iaitu wakil untuk sebuah syarikat pakej haji yang dikenali sebagai KSB Tours and Travel SDN BHD. Walau belum pernah mendengar sebelumnya namun suami bertawakal untuk mendaftarkan diri untuk kami bertiga . Harapan kami mula berbunga semula. Insya-Allah mereka berjanji untuk memasukkan nama kami dalam senarai Jemaah haji mereka. Selepas daripada itu kami sentiasa berdoa dam bermunajat kepada Illahi agar mengabulkan doa-doa kami. Kami yakin Allah maha mendengar lagi maha pengasih kepada hamba-hambanya.
         
Kami dijanjikan bahawa jawapan untuk menunaikan haji akan hanya  diperolehi selepas hari raya Aidilfitri. Namun jawapannya masih belum kami perolehi. Suami sering menghubungi pejabat pakej haji untuk mendapat kepastian namun jawapannya seperti selalu.

Alhamdulillah kami mendapat jemputan untuk mengikuti Kursus Haji Perdana yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin, Shah Alam pada 2-4 Oktober 2009.Walaupun belum cornfirm pergi tapi sekurang-kurangnya ada harapan di dalam hati. Terima kasih yang tak terhingga buat kakakku tercinta, Pn. Umi Sangadah yang sanggup bersusah payah menjaga anak-anakku yang masih kecil serta amat lasak. Jasamu akan ku kenang selamanya.

Sepanjang Kursus Haji Perdana tersebut, kami diberi pendedahan secara teori dan praktikal berkenaan perjalanan haji yang sempurna. Dengan sedaya upaya aku cuba melaksanakannya seolah-oleh aku sedang melaksanakan ibadah haji yang sebenar-benarnya…

Berikut adalah antara peringatan yang telah disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sewaktu bertitah pada majlis perasmian penutup Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor Tahun 2009.


LAPORAN AKHBAR : PERINGATAN DARI SULTAN SELANGOR

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal jemaah haji di negeri ini agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan dengan baik sepanjang berada di tanah suci.

Ini kerana titah baginda, perkara itu perlu diutamakan apabila baru-baru ini Negara telah dikejutkan dengan penyebaran wabak Influenza A H1N1 yang telah mengorbankan jumlah besar penduduk di serata dunia.

Titah baginda Sultan selain daripada mensucikan dosa-dosa, ibadat haji juga merupakan ibadah yang memerlukan kesungguhan dan pengorbanan fizikal, mental serta material untuk menghambakan diri kepada Allah.

“Ibadat haji juga merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah dan mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa merasmikan majlis Penutupan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor 1430 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi tadi.

Titah baginda lagi kepada bakal haji agar menjauhkan diri dari terlibat sama dengan sebarang bentuk aktiviti yang bercanggah dengan peraturan kerajaan Arab Saudi.

Titah baginda, apa yang penting bakal haji perlu memberi kerjasama kepada Lembaga Tabung Haji yang akan sentiasa mengambil langkah bagi menjamin keselamatan mereka.

Baginda Sultan turut memberi pengiktirafan kepada Lembaga Tabung Haji sebagai agensi yang terbaik menguruskan dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji di Tanah Suci.

Pada majlis sama, baginda Sultan turut berkenan mengurniakan cenderahati kepada bakal-bakal haji di daerah-daerah negeri Selangor.

Baginda Sultan turut bertitah agar bakal haji mempamerkan budi pekerti yang baik dan disiplin sewaktu mengerjakan haji dan mengharapkan semoga dikurniakan haji yang mabrur.

“Tunjukkanlah kepada masyarakat Islam yang datang dari Negara lain akan ketinggian budi pekerti serta disiplin warga Malaysia. Jauhilah bentuk perkara yang boleh mencacatkan pandangan masyarakat luar terhadap Negara kita,” titah baginda Sultan.

Baginda Sultan yakin bakal haji dari negeri Selangor yang berjumlah lebih 4,000 orang itu mempunyai kesedaran tinggi selepas mengikuti kursus intensif yang dijalankan selama dua hari, dan kursus-kursus sebelum ini.

Majlis turut di hadiri Mufti Selangor, Dato Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato Setia Mohammad Adzib Mohd Isa, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato Dr Hasan Ali, dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Malaysia, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohd Noor.

KHABAR GEMBIRA

          Subhanallah…Alhamdulillah….Allahu Akbar…Maha Suci Allah… Perkhabaran gembira itu datang jua akhirnya. Membuang segala lara dan duka yang sering melanda jiwa. Tanggal 5 November 2009 adalah tarikh yang sangat keramat kerana kami menerima panggilan daripada pihak KSB Travel & Tours bahawa permohonan kami untuk menunaikan haji pada tahun ini diluluskan. Petang itu juga kami bergegas untuk mengambil beg, telekung dan kain ihram yang dihadiahkan oleh syarikat. Yang paling penting adalah surat tawaran…

          Walaupun tarikh keberangkatan yang agak mendadak tapi kami tetap bersyukur. Segala keperluan kami cuba penuhi setakat yang termampu. Ku tinggalkan 4 orang anakku di bawah  jagaan Kak Adah, manakala si kecil Hilman di bawah jagaan Mama Ros. Tiada lain yang ibu harapkan….semoga kalian baik-baik saja dan dilindungi Allah setiap masa. Kesedihan tetap melanda hati, namun kugagahkan hati dan perasaan ini agar menjadi kuat dan tabah kerana ada misi besar yang perlu aku laksanakan. Ya Allah…mudahkanlah segala urusanku ini…

Tanggal 12 November 2009 bersamaan hari Khamis adalah tarikh keramat bagi diriku, suami dan ibu mertuaku kerana kami telah terpilih untuk menunaikan haji menggunakan penerbangan Saudi Arabia KT 70. Kami dijangka berlepas pada jam 1.00 pagi dan dikehendaki mendaftar di Kelana Jaya pada jam 9.00 malam.

Terima kasih buat Ustaz Rohaizat kerana sudi membacakan doa sewaktu keberangkatan pergi kami. Terima kasih buat jiran tetangga, rakan taulan dan anak didik yang bersama-sama mendokan kami. Doa kalian amat bererti buat kami...Syukran

  
PENGHARGAAN

Catatan ini teristimewa buat ibu, Habsah bt Jabar dan ayahku, Khayan bin Mohd Yusof  yang telah pergi menemui Illahi. Terlalu besar pengorbanan kalian dalam mendidik dan membesarkanku selama ini.

Buat suamiku tercinta, Fakhrudin bin Mansor yang sudi membawaku ke Tanah Suci.

Buat anak-anak yang amat ku kasihi, Muhammad Nur Hazman, Muhammad Nur Hazwan, Siti Aisyah Humaira’, Muhammad Nur hannan dan Muhammad Nur Hilman, di atas kesanggupan kalian ditinggalkan dan menanggung beban kerinduan kepada ibu dan ayah.

Buat ibu mertuaku, yang banyak mengajarku erti pengorbanan dan kesabaran sepanjang berada di bumi ambia.

Buat teman-teman seperjuangan yang sering mendoakan dan memberi sokongan.






1 comment:

  1. Harrah's Resort Southern California - JT Hub
    Harrah's Resort 계룡 출장안마 Southern California 논산 출장마사지 is operated by Caesars Entertainment and has 거제 출장안마 a total 강릉 출장샵 of 사천 출장샵 4,748 spacious hotel rooms and suites.

    ReplyDelete