Sunday 25 December 2011

KE MAKAM BONDA, AYAHANDA DAN KEKANDAKU.....

Rintik-rintik hujan seakan mengerti kehibaan hatiku. Daerah sepi ini adalah tempat bersemadi beberapa insan kesayanganku yang telah meninggalkan dunia yang fana ini. Aku kini bergelar anak yatim piatu setelah bondaku pergi tahun lalu pada tanggal 25 Ogos 2010 bersamaan 13 Ramadhan 1432 Hijrah. Kedatangan aku dan keluargaku ke kawasan ini adalah untuk memasanh tiga pasang batu nesan untuk tiga orang ahli keluargaku yang telah pergi menyahut panggilan Illahi.


Ayahandaku, Khayan bin Mohd Yusuf telah meninggalkan kami sewaktu usianya 88 tahun pada tanggal 28 Jun 1997. Tarikh itu merupakan tarikh keramat bagiku kerana ayahandaku pergi pada hari lahirku yang ke 24 tahun. Kesedihanku hanya Allah yang tahu. Ayahanda pergi tanpa sempat melihat majlis pertunanganku yang akan berlangsung pada tanggal 31 Ogos tahun tersebut. Namun aku bersyukur, ayahanda telah berkenalah dan memberi restu akan hubunganku dan bakal suamiku. alhamdulillah.


Semenjak ayahanda pergi, aku, bondaku dan kekandaku yang OKU tinggal bertiga. Susah senang kami harungi bersama. Dalam masa yang sama kami dikhabarkan tentang penyakit leukimia yang dihidapi oleh kekanda keduaku iaitu Mahfoz. Kiranya penyakitnya itu agak kronik dan kesihatan beliau semakin merosot semenjak itu. Pusat Perubatan Univeresiti Malaya (PPUM) bagaikan rumah keduanya. Takdir mengatasi segala-galanya. Selang 49 hari pemergian ayahndaku,Kekandaku pergi jua mengadap Illahi pada tanggal 13 Ogos 1997. Kekandaku disemadikan di tanah prkhuburan yang sama dengan ayahandaku iaitu di Kampung Parit Serong. Tahun itu merupakan tahun kesedihan bagi sekeluarga eelebih-lebih lagi pada bondeaku. Lebih setahun dia berkabung dan mengurung diri di rumah kerana bersedih hati di atas kehilangan insang-insang tersayang. Hanya AlQuran yang menjadi teman setia. Tahun berganti dan kesedihan semakin berkurangan seiring waktu yang pantas berlari....


Namun tiada siapa menduga, tanggal 13 Ramadhan 1432 H menjadi saksi bahawa bondaku pergi dan tak akan keembali lagi. Tiada kata mampu ku gambarkan saat aku menerima perkhabaran pilu ini. Separuh jiwaku juga kurasakan telah dibawa bersama-sama bondaku. Kesedihan dan kepiluan bertebaran di mana-mana. Sungguh aku tidak menyangka
aku akan kehilangan bondaku sewaktu usiaku 37 tahun dan ketika bondaku berumur 67 tahun. Bermakna hanya ada 37 tahun yang Allah pinjamkan masa untuk kami berdua dapat nikmati bersama-sama.... Bagaimana aku meratapi atau keluar air mata darah sekalipun, bondaku tetap tak kan mungkin kan kembali lagi. Kenyataan itu harus ku terima walau hakikatnya amat payah sekali...

Syawal yang tiba seakan tidak bererti lagi. Kurasakan tiada harta yang berharga di dunia ini melainkan ayah dan ibu. Kerana bila keduanya tiada, kita tidak kan mampu membelinya lagi di mana-mana atau dapat mencarinya lagi. Yang ku tahu, di pagi syawal yang syahdu, tiada tempat lain yang ingin ku tujui melainkan menziarahi mereka bertiga bersama wangian doa penuh kasih abadi. Walaupun mereka telah tiada namun kasihku pada mereka akan tetap tepu dan abadi selama-lamanya....

Pada hari Sabtu (24 Disember), aku dan beberapa orang ahli keluargaku telah memasang batu nesan agar memudahkan kami mengenalpasti tempat persemadian mereka kerana saban tahun semakin meningkat ahlinya. Kami juga menanam rumput karpet dan menabur batuan sungai agar ianya akan mendoakan mereka setiap masa. Puas rasa hatiku kerana dapat melaksanakan amanah itu akhirnya.

Doaku setiap waktu agar ketiga-tiga insan kesayanganku ini akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, di ampunkan segala dosa-dosa kalian dan dijadikan kuburan kalian seumpama taman-taman syurga. Amin....

No comments:

Post a Comment