Tuesday 21 June 2011

PENYUCIAN HATI

Suatu waktu dahulu, aku dan anak-anakku mampir ke Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor untuk bersolat asar. Masjid agak dekat di hati kami anak beranak kerana lokasinya berdekatan dengan sekolah anak-anakku. Jadinya jika waktu solat telah hampir maka kami akan selalu singgah untuk sama-sama solat berjemaah.

Petang itu, seusai solat dan berdoa, Pak Imam memberi sedikit tazkirah. Alunan suaranya lembut tetapi mantap memberikan sedikit santapan rohani untuk hambanya yang sentiasa dahagakan peringatan. Walaupun ringkas namun cukup bermakna.

Tajuk tazkirah Pak Imam ialah Cara-cara Untuk Menyucikan Hati.....
1) Membaca Al Quranul Karim.
    Andainya kita sepi dan ingin menghiburkan hati, apalah salahnya kita mengalunkan lagu-lagu Al Quran    
    tidak kira siang atau malam. Janganlah kita melalak-lalak, menyanyikan lagu-lagu syaitan yang 
    mengasyikkan. Sesungguhnya Al Quran mampu menggilap hati-hati yang berkarat dan nantinya akan  
    memberikan syafaat di hari qiamat.

2) Zikrullah
    Dalam waktu senggang, berzikirlah kepada Allah. Elakkan mengumpat kerna ia hanya mengundang dosa. 
    Sedangkan berzikir akan dapat mengikis kekotoran jiwa dan memberi ketenangan.Basahkanlah bibir kita  
   dengan sentiasa berzikir kerana ia adalah jambatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

3) Qiamullail dan solat-solat sunat
    Qiamullail bukan setakat menyucikan dosa kita, bahkan ia menjadikan kita mulia di dunia dan lebih-lebih   
    lagi di akhirat nanti. Di dalam qiamullail terkumpul dua cahaya iaitu cahaya solat dan cahaya Al Quran.
    Menjaga qiamullail bersama-sama dengan solat Dhuha, Sunat Awwabin, Sunat Tahiyyatul Masjid dan  
    Solat Terawih adalah jalan pintas mendekatkan diri kepada Allah.

4) Al-Istighfar
    Sebenarnya Allah amat menyukai dan gembira dengan mulut hamba-hambanNya yang sentiasa beristighfar 
    serta menyedari seluruh perbuatannya dilihat oleh Allah. Jadikanlah 70 kali atau 100 kali istighfar setiap   
    hari  demi untuk mengikut sunnah Nabi S.A.W. Sesungguhnya istighfar merupakan salah satu cara 
    untuk menyucikan jiwa bahkan kesannya akan lebih meresap ke dalam jiwa.

5)Takutkan Allah dan menangis.
    Menangis bukan sahaja bila hati kita berduka atau rasa kecewa sesama manusia. Namun menangis kerna  
    keinsafan takutkan Allah itu lebih bermakna. Takutkan Allah kerna kita mengenangkan saat kematian yang 
    semakin menghampiri. Juga takutkan Allah tentang pembalasan di hari akhirat nanti. Menangis kerana  
    takutkan Allah boleh menggugurkan dosa hamba seperti gugurnya dedaun yang kering.

6) Berdoa
    Doa merupakan senjata orang mukmin. Sesungguhnya Allah itu sentiasa dekat dan akan mengabulkan  
    doa hamba-hambaNya. Dengan berdoa hati akan menjadi tenang dan lapang.

Kesimpulannya, sekiranya Al Quran dibaca dengan rohnya, hati dan bibir tidak pernah kering dengan mengingati Allah, Qiamullail di tengah malam yang hening dan murahnya air mata kerana takutkan Allah, sentiasa beristighfar serta sentiasa menghulurkan tangan untuk berdoa kepada Allah, Insya-Allah hati akan sentiasa tenang dan redha  dengan setiap ketentuan yang telah ditetapka olehNya.

Sekadar renungan buat diriku yang serba kekurangan.


5)





No comments:

Post a Comment