Sebenarnya aku masih kepenatan melayan kerenah anak-anakku. Namun aku sebenarnya sangat gembira. Gembira bilamana melihat mereka sangat teruja untuk bermandi manda dengan selut dan lumpur sepertimana aku pernah merasainya bertahun yang lalu. Ianya seolah-olah mengembalikan kenangan sewaktu zaman kanak-kanakku dahulu. Zaman kanak-kanakku yang serba kekurangan tapi penuh dengan keseronokan. Betapa aku amat menghargai segala memori itu yang tetap terpahat kukuh dihatiku...
Aku bangga bergelar anak sawah kerna sememangnya aku berasal dari daerah itu. Jika hari ini aku melarang anak-anakku untuk bermain di sawah atau memancing di parit atau berkubang sendirian tetapi sewaktu zaman kecilku dulu aku bebas melakukannya dengan penuh keseronokan. Bersama Bang Bawi dan Bang Ngas aku bebas berkejaran, berkubang semahu-mahunya sewaktu musim menuai. Selalunya mereka akan menarikku menggunakan pelepah kelapa tua keliling sawah.Emak dan bapak sibuk menanam padi, aku pula sibuk bermain. Selepas penat bermain kami akan makan bekalan yang emak buat di tepi batas. Hidangan yang amat aku sukai hingga kini ialah GETUK bersama SAMBAL BILIS, TIWUL, GATOT dan macam-macam lagi...Kekadang kami akan pergi ke PALONG (Tempat saliran air di sawah) dan mandi-manda di sana. Andainya musim buah pelam tiba lagi best, aku akan memanjat pokok sambil menikmatinya. Alangkah enaknya bila dapat menikmati buah yang segar dan lazat sambil ditiup hembusan bayu yang segar....
Ada kalanya aku ikut menggagau ikan pada lopak sawah selepas sahaja musim menuai. Aku tidak pernah tahu erti takut andainya aku tertangkat ular atau lain-lainnya. Yang aku tahu seronoknya apabila aku dapat menangkap ikan keli, ikan haruan, sepat dan puyu. Hasilnya memang amat mengkagumkan. Pastinya besan mak penuh dengan hasil tangkapan kami. Selepas itu kami akan terjun pula ke parit di depan rumah. Oh....alangkah indahnya waktu itu. Aku yang tidak berapa tahu berenang akan mnggunakan dua biji kelapa yang telah tua untuk mengapungkan diriku... Pendek kata segala aksi terjun junam telah kulakukan dari pangkin di tepi parit yang bapak buatkan. Atau kekadang aku sekadar bermain-main di gigi air sambil melihat rakan atau abang-abangku yang lain bermandi-manda.
Betapa aku sangat menghargai waktu-waktu itu. Yang pastinya waktu itu tidak kan kembali lagi. Yang kubawa selama ini adalah warna-warna semalam yang penuh dengan pelangi keindahan... Ianya kan terus terpateri dilubuk hatiku yang paling dalam....
No comments:
Post a Comment