Friday, 21 June 2013

21062013 ULANG TAHUN KELAHIRAN AISYAH HUMAIRA'

Kek Chocolate Moist
Alhamdulillah...hari ini, genap 13 tahun umur satu-satunya puteriku tercinta iaitu Siti Aisyah Humaira' bt Fakhrudin. Ini bermakna sudah 13 tahun kau menemani hari-hariku yang seindah pelangi. Kelahiranmu adalah umpama permata yang sentiasa bersinar dan bercahaya di dalam hatiku ini. Aku sangat bersyukur kerana Allah menitipkan hadiah paling istimewa di kala aku sangat berduka dan berdepan pelbagai dugaan kerana terpaksa berjauhan dengan suami tercinta yang sedang menyambung pelajarannya. Apatah lagi doktor telah mengesahkan...kau telah berada di dalam perut ibu sedangkan umur abang kembarmu baru sahaja menginjak 5 bulan...huhuhu... Ya Allah...seakan aku tidak percaya dengan perkhabaran doktor itu..Kaget, sedih dan gembira bersatu menghadiahkan aku satu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Lagipun ayahmu masih belum tamat lagi perjuangnnya...Kuatkah aku Ya Allah untuk melalui semuanya ini...

Segunung kasih dan selautan cinta buat bonda tercinta...kerana kau telah menemani dan menjaga aku sambil menghadiahi aku kekuatan serta ketabahan yang bukan sedikit. Dalam serba kepayahan..kau beri aku sokongan dan dorongan agar sentiasa bersabar dan bertawakkal menghadapi semuanya....Tanpamu pastinya aku akan lemah dan rebah..Ku pinjam segala kekuatanmu...ku cedok segala ketabahanmu...ku hirup segala semangatmu...Aku sentiasa berdoa agar aku, kandunganku...serta orang-orang yang kucintai sentiasa dilindungi dan dirahmati Illahi...

Ku masih ingati..motor lama YAMAHA merahku yang amat berjasa. Betapa aku terpaksa menahan rasa kerana terpaksa menojang starter motor walaupun dalam keadaan perutku yang sarat memboyot. Sehinggalah pada suatu hari...telah turun tanda darah yang menunjukkan masa bersalin telah tiba... Masalahnya tiada orang lelaki di rumahku saat ini. Suamiku sedang kuliah. Telefon rumah pula tidak dapat berfungsi dengan baik. Bagaimana caranya untukku menghubungi ibu dan bapa mertuaku.

Bondaku...tiada kata yang mampu untuk aku gambarkan rasa terima kasihku atas segala pengorbananmu dalam membantuku di saat-saat aku memerlukan bantuan. Kau sanggup berlari ke rumah jiran sebelah...semata-mata untuk meminta pertolongannya membawa aku ke Hospital Tanjong Karang. Alhamdulillah..berkat pertolongan Darul dan isterinya aku telah dibawa ke HTK. Dalam perjalanan, aku sempat singgah ke rumah mertuaku uantuk memberitahu mereka bahawa aku dalam perjalanan menuju ke hospital. Sampai di HTK aku terpaksa mendaftar sendiri kerana tiada siapa yang menemani. Betapa sedihnya aku saat itu...hanya Allah yang tahu. Namun demi bayiku ini...aku gagahkan jua langkahku ini sambil tak henti-henti berdoa agar aku dan bayiku ini selamat.

Syukur ya Allah...kau hadiahkan aku sesuatu yang sangat berharga. Seorang puteri yang comel dan gebu aku tatap dan kukucup berulang kali dengan rasa seribu kesyukuran. Benarlah janji Allah....Dalam kepayahan dan kesusahan yang kita lalui pasti Allah akan hadiahkan kebahagiaan dan kegembiraan ...Dan aku namakan puteriku dengan nama yang telah ku pilih sejak dulu-dulu lagi...SITI AISYAH HUMAIRA'

Tanpaku sedar...masa terus berlalu... dan kini engkau telah membesar dengan cepatnya. Ku amat menghargai setiap saat bersamamu. Kau adalah sebahagian kekuatan ibu...Kau juga teman ibu untuk meluahkan rasa. Masih ku ingat, di saat ibu dalam kesedihan yang teramat kerana kehilangan bonda tercinta..kurut sama-sama menangis bersedih. Betapa engkau memahami kesedihan dan kedukaanku...Kau mengerti tentang kasih seorang ibu yang tiada gantinya...

Anakku...betapa ibu ingin kau tahu bahawa kasih dan sayang ibu kepadamu sangat dalam. Tiada sukatan yang mampu menyukatnya. Doa ibu sepanjang waktu..agar dirimu sentiasa dihiasi dengan sifat malu dan peribadi akhlak yang mulia...Menjadi anak yang solehah dan berjaya serta bahagia bukan setakat di dunia tetapi juga di akhirat. Amin

No comments:

Post a Comment