Saturday, 21 September 2013

CATATAN 1 KEMBARA HAJI 2009 - Kembara Hati Mencari Redho Illahi


Kenangan itu masih basah di ingatan dan minda ini. Setiap saat ini tidak pernah aku berhenti dari mensyukuri nikmat yang telah kau berikan padaku ya Allah… Suatu hadiah paling berharga dan sangat istimewa. Menjemput aku, suamiku dan ibu mertuaku untuk menunaikan haji pada tanggal 12 November – 22 Disember 2009 adalah kurniaanMu  yang paling indah buat hambamu yang kerdil ini… Syukran Ya Allah.. Walau kini hampir 4 tahun telah berlalu, aku masih lagi merindui dan mengingati setiap detik waktu yang ku lalui di sana. Ianya terlalu istimewa dan sangat luar biasa…

Catatan ini ku tulis bukan untuk menunjuk-nunjuk jauh sekali ingin berbangga-bangga, sekadar untuk berkongsi pengalaman. Semoga ianya akan menjadi pendorong buat insan-insan yang berkeinginan untuk ke sana tapi masih belum kesampaian.

          Ya Allah,  aku mohon keampunanMu, aku mohon kemaafanMu, aku mohon keredhoanMu atas usaha ku ini mencatatkan perjalanan hajiku pada tahun 1430 Hijrah yang lalu untukku jadikan hadiah buat anak-anakku, rakan-rakanku, saudara-maraku jua buat muslimin muslimat yang di rahmati Allah .

          Sesungguhnya perjalanan haji ini adalah perjalanan yang amat aku ingini, amat aku rindui, amat aku hargai hingga saat ini. Terlalu tinggi kesyukuran yang yang aku ingin panjatkan kehadrat Illahi di atas kurniaanNya ini kepadaku.

          26 Disember 2006 adalah detik yang amat bermakna buat aku dan suamiku kerana pada tarikh itu kami telah sebulat suara mendaftar untuk menunaikan haji. Tarikh yang diberi kepada kami ialah pada tahun 2015. Walaupun agak lama tapi kami redho kerna yakin mungkin itulah yang terbaik buat kami. Namun kami sebenarnya berhajat sangat agar dapat menunaikan haji pada tahun 2009 iaitu sewaktu umurku 36 tahun dan suamiku 40 tahun. Semenjak dari tarikh itu kami berdua berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh dari hati kami yang paling dalam agar hajat kami Allah kabulkan. Disamping itu kami juga berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan duit tabungan dengan pendapatan kami sebagai seorang guru dan mempunyai 5 orang anak yang masih kecil-kecil.Namun semua itu tidak melemahkan semangat dan impian kami. Yang pasti banyak pengorbanan yang perlu dilakukan supaya kami dapat mengumpulkan wang secukupnya untuk keperluan di sana. Itulah cabaran yang paling besar yang terpaksa kami lalui.

          Ternyata doa-doakaku selama 3 tahun ini Allah kabulkan.Hambamu yang kerdil ini selalu berdoa agar sewaktu usiaku 36 tahun dan suamiku berumur 40 tahun, aku dapat menunaikan haji. Setiap saat, aku merayu, mengharap, memohon dengan kerendahan diri agar doa-doaku itu kau kabulkan. Aku bukanlah seorang hambamu yang selalu beramal ibadat denganmu.

RANJAU SEPANJANG JALAN.

          Pejam celik, pejam celik, masa terus berlalu. Tahun yang ku n anti akhirnya  kunjung tiba. Betapa syahdunya aku kerana tahun ini merupakan tahun yang ku doakan selama ini untuk ku menjalankan ibadah haji di Tanah Suci…Semoga perjalananku ini nanti akan di berkati dan dipermudahkan oleh Mu ya Allah.

          Seawal bulan tiga aku dan suamiku telah mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus haji yang dijalankan di Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor. Tidak dapat kugambarkan kegembiraan dan kesyukuranku kerana inilah langkah pertama untukku meneruskan perjalanan ini. Perjalanan mencari redho Illahi. Perjalanan yang kunanti-nanti selama ini.

          Hatiku berbunga-bunga setiap kali mendengar ceramah yang telah diberi oleh Ustaz berkenaan Tanah Suci Mekah  dan Madinah. Bagai digaru-garu hatiku untuk terbang ke sana setiap kali aku mendengar penjelasan yang telah diberikan oleh Ustaz. Banyak perkara baru berkaitan haji, dam dan macam-macam lagi yang berkaitan dengannya yang diterangkan menambahkan lagi keakinanku untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci secepat mungkin.

          Sehingga bulan Mei, kami mendapat perkhabaran bahawa surat rayuan kami ditolak atas sebab-sebab tertentu. Oh…betapa sedih hatiku dan suamiku bila mengetahuinya. Lantas kami memikirkan alternatif  lain untuk melaksanakan impian kami. Walau keadaan kewangan kami sekadar secukupnya sahaja tetapi kami bertekad untuk menggunakan khidmat pakej swasta kerana dengan cara ini sahaja impian kami akan terlaksana.

          Alhamdulillah , seorang teman suami telah memperkenalkannya kepada Ustaz Nahrawi iaitu wakil untuk sebuah syarikat pakej haji yang dikenali sebagai KSB Tours and Travel SDN BHD. Walau belum pernah mendengar sebelumnya namun suami bertawakal untuk mendaftarkan diri untuk kami bertiga . Harapan kami mula berbunga semula. Insya-Allah mereka berjanji untuk memasukkan nama kami dalam senarai Jemaah haji mereka. Selepas daripada itu kami sentiasa berdoa dam bermunajat kepada Illahi agar mengabulkan doa-doa kami. Kami yakin Allah maha mendengar lagi maha pengasih kepada hamba-hambanya.
         
Kami dijanjikan bahawa jawapan untuk menunaikan haji akan hanya  diperolehi selepas hari raya Aidilfitri. Namun jawapannya masih belum kami perolehi. Suami sering menghubungi pejabat pakej haji untuk mendapat kepastian namun jawapannya seperti selalu.

Alhamdulillah kami mendapat jemputan untuk mengikuti Kursus Haji Perdana yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin, Shah Alam pada 2-4 Oktober 2009.Walaupun belum cornfirm pergi tapi sekurang-kurangnya ada harapan di dalam hati. Terima kasih yang tak terhingga buat kakakku tercinta, Pn. Umi Sangadah yang sanggup bersusah payah menjaga anak-anakku yang masih kecil serta amat lasak. Jasamu akan ku kenang selamanya.

Sepanjang Kursus Haji Perdana tersebut, kami diberi pendedahan secara teori dan praktikal berkenaan perjalanan haji yang sempurna. Dengan sedaya upaya aku cuba melaksanakannya seolah-oleh aku sedang melaksanakan ibadah haji yang sebenar-benarnya…

Berikut adalah antara peringatan yang telah disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sewaktu bertitah pada majlis perasmian penutup Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor Tahun 2009.


LAPORAN AKHBAR : PERINGATAN DARI SULTAN SELANGOR

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal jemaah haji di negeri ini agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan dengan baik sepanjang berada di tanah suci.

Ini kerana titah baginda, perkara itu perlu diutamakan apabila baru-baru ini Negara telah dikejutkan dengan penyebaran wabak Influenza A H1N1 yang telah mengorbankan jumlah besar penduduk di serata dunia.

Titah baginda Sultan selain daripada mensucikan dosa-dosa, ibadat haji juga merupakan ibadah yang memerlukan kesungguhan dan pengorbanan fizikal, mental serta material untuk menghambakan diri kepada Allah.

“Ibadat haji juga merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah dan mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa merasmikan majlis Penutupan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor 1430 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi tadi.

Titah baginda lagi kepada bakal haji agar menjauhkan diri dari terlibat sama dengan sebarang bentuk aktiviti yang bercanggah dengan peraturan kerajaan Arab Saudi.

Titah baginda, apa yang penting bakal haji perlu memberi kerjasama kepada Lembaga Tabung Haji yang akan sentiasa mengambil langkah bagi menjamin keselamatan mereka.

Baginda Sultan turut memberi pengiktirafan kepada Lembaga Tabung Haji sebagai agensi yang terbaik menguruskan dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji di Tanah Suci.

Pada majlis sama, baginda Sultan turut berkenan mengurniakan cenderahati kepada bakal-bakal haji di daerah-daerah negeri Selangor.

Baginda Sultan turut bertitah agar bakal haji mempamerkan budi pekerti yang baik dan disiplin sewaktu mengerjakan haji dan mengharapkan semoga dikurniakan haji yang mabrur.

“Tunjukkanlah kepada masyarakat Islam yang datang dari Negara lain akan ketinggian budi pekerti serta disiplin warga Malaysia. Jauhilah bentuk perkara yang boleh mencacatkan pandangan masyarakat luar terhadap Negara kita,” titah baginda Sultan.

Baginda Sultan yakin bakal haji dari negeri Selangor yang berjumlah lebih 4,000 orang itu mempunyai kesedaran tinggi selepas mengikuti kursus intensif yang dijalankan selama dua hari, dan kursus-kursus sebelum ini.

Majlis turut di hadiri Mufti Selangor, Dato Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato Setia Mohammad Adzib Mohd Isa, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato Dr Hasan Ali, dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Malaysia, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohd Noor.

KHABAR GEMBIRA

          Subhanallah…Alhamdulillah….Allahu Akbar…Maha Suci Allah… Perkhabaran gembira itu datang jua akhirnya. Membuang segala lara dan duka yang sering melanda jiwa. Tanggal 5 November 2009 adalah tarikh yang sangat keramat kerana kami menerima panggilan daripada pihak KSB Travel & Tours bahawa permohonan kami untuk menunaikan haji pada tahun ini diluluskan. Petang itu juga kami bergegas untuk mengambil beg, telekung dan kain ihram yang dihadiahkan oleh syarikat. Yang paling penting adalah surat tawaran…

          Walaupun tarikh keberangkatan yang agak mendadak tapi kami tetap bersyukur. Segala keperluan kami cuba penuhi setakat yang termampu. Ku tinggalkan 4 orang anakku di bawah  jagaan Kak Adah, manakala si kecil Hilman di bawah jagaan Mama Ros. Tiada lain yang ibu harapkan….semoga kalian baik-baik saja dan dilindungi Allah setiap masa. Kesedihan tetap melanda hati, namun kugagahkan hati dan perasaan ini agar menjadi kuat dan tabah kerana ada misi besar yang perlu aku laksanakan. Ya Allah…mudahkanlah segala urusanku ini…

Tanggal 12 November 2009 bersamaan hari Khamis adalah tarikh keramat bagi diriku, suami dan ibu mertuaku kerana kami telah terpilih untuk menunaikan haji menggunakan penerbangan Saudi Arabia KT 70. Kami dijangka berlepas pada jam 1.00 pagi dan dikehendaki mendaftar di Kelana Jaya pada jam 9.00 malam.

Terima kasih buat Ustaz Rohaizat kerana sudi membacakan doa sewaktu keberangkatan pergi kami. Terima kasih buat jiran tetangga, rakan taulan dan anak didik yang bersama-sama mendokan kami. Doa kalian amat bererti buat kami...Syukran

  
PENGHARGAAN

Catatan ini teristimewa buat ibu, Habsah bt Jabar dan ayahku, Khayan bin Mohd Yusof  yang telah pergi menemui Illahi. Terlalu besar pengorbanan kalian dalam mendidik dan membesarkanku selama ini.

Buat suamiku tercinta, Fakhrudin bin Mansor yang sudi membawaku ke Tanah Suci.

Buat anak-anak yang amat ku kasihi, Muhammad Nur Hazman, Muhammad Nur Hazwan, Siti Aisyah Humaira’, Muhammad Nur hannan dan Muhammad Nur Hilman, di atas kesanggupan kalian ditinggalkan dan menanggung beban kerinduan kepada ibu dan ayah.

Buat ibu mertuaku, yang banyak mengajarku erti pengorbanan dan kesabaran sepanjang berada di bumi ambia.

Buat teman-teman seperjuangan yang sering mendoakan dan memberi sokongan.






Thursday, 25 July 2013

AKU SEORANG PERINDU


13 Ramadhan 1434 Hijrah, genaplah 3 tahun bondaku pergi meninggalkan bumi yang fana ini. Pergi yang takkan kembali lagi. Pergi menemui Illahi. Walaupun 3 tahun telah berlalu, namun aku merasakan seolah-olah ianya baru semalam terjadi. Kepedihan dan kesedihannya masih kurasakan hingga kini.

Ramadhan yang datang seringkali mengundang kepiluan yang tidak bertepi. Mengenangmu bonda yang telah tiada. Serasa dunia ini dan seluruh isinya tiada makna tanpa kau di sisi. Benarlah kata pepatah...kita boleh membeli semua benda di dunia ini kecuali ibu dan bapa...Aidilfitri yang bakal menjelma akan ku sambut seadanya. Yang penting, destinasi pertamaku di pagi syawal adalah mengunjungi pusaramu. Akan ku sirami pusaramu dengan doa mewangi tanda kasihku yang tidak bertepi...

Bondaku, aku tidak akan pernah berhenti berdoa selagi nafasku masih ada untuk kesejahteraan dan kebahagianmu di alam sana. Semoga bonda dan bapa serta abang Mahfoz tercinta akan sama-sama ditempatkan di kalangan hamba-hambanya yang beriman dan bertakwa.....Ameen


AHLAN WA SAHLAN RAMADHAN AL MUBARAK




Ahlan wa sahlan Ramadhan Al Mubarak. Bersyukurlah kita kerana masih lagi diberi peluang untuk bertemu bulan yang mulia ini. Sesungguhnya kehadiranmu memang amat dinanti-nantikan oleh semua kaum muslimin dan muslimat. Di bulan Ramadhan ini kita diwajibkan puasa kerana dengan berpuasalah nafsu akan terdidik. Pada bulan ini Allah menurunkan rahmat dengan membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka. Maka rebutlah peluang yang terbuka luas ini untuk melipatgandakan amalan dengan menunaikan sebanyak-banyaknya amal ibadat disamping solat terawih dan membaca Al Quran . Disamping itu juga Allah telah menghadiahkan satu malam yang menyamai seribu bulan  iaitu malam " Lailatu Qadar ". Rebutlah peluang yang ada kerana kita tidak tahu sama ada akan bertemu dengan Ramadhan yang akan datang ataupun tidak.

Beberapa hadis yang menerangkan kebaikan, keistimewaan dan kelebihan bulan Ramadhan ini ialah:
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda
“Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga“.
(Hadis Sahih – Riwayat Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila masuk bulan Ramadhan,  terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)“.
(Hadis Sahih – Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:

“Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan!  Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan!  Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” 


Dari Salman r.a, katanya: Rasulullah s.a.w. telah berucap kepada kami (dalam salah satu khutbahnya) pada hari yang akhir dari bulan Syaaban sabdanya :
“Wahai umat manusia, kamu sedang dinaungi (bulan Ramadhan) yang besar kemuliaannya, lagi berkat.  Bulan yang mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (malam Lailatul Qadar).
“Bulan yang puasanya dijadikan Allah satu perintah yang diwajibkan dan (selain dari itu) disunatkan mengerjakan sembahyang tarawih pada malam harinya“.
“Barangsiapa mendampingkan diri kepada Allah dalam bulan Ramadhan dengan sesuatu dari perkara-perkara kebajikan – samalah seperti ia mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan itu – samalah seperti ia menunaikan tujuh perkara yang diwajibkan Allah pada bulan-bulan yang lain”.
“Bulan Ramadhan juga ialah bulan kesabaran, sedang kesabaran itu pahalanya ialah syurga;  ia juga bulan untuk masing-masing bersedekah dan memberikan bantuan dan ia juga bulan yang padanya ditambahkan rezeki orang-orang yang beriman”.
“Barangsiapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa,  maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun”.
“Sababat-sababat Baginda berkata:  “Ya Rasulullah,  kami semua bukanlah orang-orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang-orang yang berpuasa. ” Lalu Rasulullah s.a.w. menerangkan:  “Allah Taala akan memberikan pahala yang tersebut kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji buah tamar (kurma) atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air. “Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat,  pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka”.

“Dan selain itu, (sabda Baginda lagi): Barangsiapa memberi minum seseorang yang berpuasa (semasa berbuka puasa), Allah Taala akan memberi minum kepadanya dari kolam-Ku (kolam al-Kauthar) dengan sekali minum sahaja (yang menjadikan dia) tidak akan merasa dahaga (selama-lamanya) sehingga ia masuk ke dalam syurga.
(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitab sahihnya).
sumber hadis : Islamgrid.gov.my, 

Antara amalan-amalan yang boleh diamalkan pada bulan Ramadhan ialah:
1) Membaca dan bertadarus Al-Quran.
2) Menunaikan solat Tarawih.
3) Memberi sedekah.
4) Banyakkan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
5) Menjamu orang berpuasa berbuka puasa.

Selama Ramadhan, Imam Syafi’i menghatamkan Al-Quran enam puluh kali, dua kali dalam semalam di dalam solat. 

Selama Ramadhan, Allah memerintahkan seluruh penghuni syurga berhias. Rasulullah Saw. bersabda:”… Adapun yang keempat, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan syurga-Nya, Ia berfirman: “Bersiap-siaplah, dan hiasilah dirimu untuk para hamba-Ku, sehingga mereka boleh segera beristirehat dari kelelahan (hidup di) dunia menuju negeri-Ku dan kemuliaan-Ku…” [HR. Baihaqi]. Itulah aspek menarik keajaiban bulan Ramadhan yang tak banyak orang tahu.

1. Ramadhan jalan menuju ketaqwaan
Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas kaum sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”. (Al Baqarah: 183).
Ayat di atas menerangkan bahawa puasa adalah sebab yang boleh mengantarkan pelakunya menuju ketaqwaan, kerana puasa mampu meredam syahwat. Ini sesuai dengan salah satu penafsiran yang disebutkan Imam Al Qurthubi, yang berpadukan kepada hadits riwayat Imam Ahmad yang menyebutkan bahawa puasa adalah perisai.


2. Ramadhan bulan mujahadah
Para ulama’ salaf adalah suri tauladan bagi umat, mujahadah mereka dalam mengisi bulan Ramadhan amat perlu dicontoh. Seperti Imam Asyafi’i, dalam bulan Ramadhan beliau menghatamkan Al-Quran dua kali dalam semalam, dan iti dikerjakan di dalam solat, sehingga dalam bulan Ramadhan beliau menghatamkan Al-Quran enam puluh kali dalam sebulan. Imam Abu Hanifah juga menghatamkan Al-Quran dua kali dalam sehari selama Ramadhan.


3. Puasa Ramadhan menumbuhkan sifat amanah
Wahbah Zuhaili dalam bukunya Al Fiqh Al Islami berpendapat bahawa puasa mengajarkan rasa amanat dan muraqabah di hadapan Allah Ta’ala, baik dengan amalan yang nampak mahupun yang tersembunyi. Maka tidak ada yang mengawasi seseorang yang berpuasa agar menghindari hal-hal yang dilarang dalam berpuasa kecuali Allah Ta’ala


4. Puasa Ramadhan melatih diri berdisiplin
Puasa juga melatih diri berdisiplin , Wahbah Zuhaili menjelaskan bahawa seorang yang berpuasa harus makan dan minum dalam waktu yang terbatas. Bahkan dalam berbuka puasa pun harus disegerakan.


5. Puasa Ramadhan menumbuhkan rasa solidaritas sesama muslim
Wahbah Zuhali juga menjelaskan bahawa puasa Ramadhan menumbuhkan rasa solidariti di antara sesama muslim. Pada bulan ini semua umat Islam, dari timur hingga barat diwajibkan untuk menjalankan puasa. Mereka berpuasa dan berbuka dalam waktu yang sama, kerana mereka memiliki tuhan yang satu.
Seorang yang merasa lapar dan dahaga akhirnya juga boleh turut merasakan kesengsaraan saudara-saudaranya yang kekurangan atau tertimpa bencana. Sehingga tumbuh perasaan kasih sayang terhadap umat Islam yang lain.


6. Puasa Ramadhan melatih kesabaran
Bulan Ramadhan adalah bulan puasa di mana pada siang hari kita diperintahkan meninggalkan makanan yang asalnya halal, terlebih lagi yang haram. Begitu pula di saat ada seseorang mengganggu kita. Rasulullah Saw. bersabda: “Bila seseorang menghina atau mencacinya, hendaknya ia berkata 'Sesungguhnya aku sedang puasa." (HR. Bukhari)


7. Puasa Ramadhan menyihatkan
Rasulullah bersabda: ”Berpuasalah, maka kamu akan sihat” (HR. Ibnu Sunni), ada yang menyatakan bahawa hadits ini dhoif, akan tetapi ada pula yang menyatakan bahawa darjat hadits ini sampai dengan tingkat hasan (lihat, Fiqh Al Islami wa Adilatuh, hal 1619).
Tapi makna hadist masih boleh diterima, kerana puasa memang menyihatkan. Al Harits bin Kaldah, tabib Arab yang pernah mengabdi kepada Rasulullah Saw. juga pernah menyatakan:”Perut adalah tempat tinggal penyakit dan sedikit makanan adalah ubatnya”.


8. Lailatul Qadar adalah hadiah dari Allah untuk umat ini
Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al Muwatha’, dia telah mendengar dari seorang ahlul ilmi tsiqah yang telah mengatakan: “Sesungguhnya telah diperlihatkan usia-usia umat sebelumnya kepada Rasulullah Saw., atau apa yang telah Allah kehendaki dari hal itu, dan sepertinya usia umat beliau tidak mampu menyamai amalan yang telah dicapai oleh umat-umat sebelumnya, maka Allah memberi beliau Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.” (HR. Malik).


9. Ramadhan bulan ampunan
Bulan Ramadhan adalah bulan ampunan, Rasulullah Saw. bersabda: “Dan siapa yang berpuasa Ramadhan dengan dasar keimanan dan pengharapan redha Allah, diampunkan untuknya dosa yang telah lalu.”(HR. Bukhari)


10. Siapa yang dilihat Allah, maka ia terbebas dari azab-Nya
Dari Jabir bin Abdullah ra. Rasulullah Saw. bersabda: ”Pada bulan Ramadhan umatku dianugerahi lima perkara yang tidak diberikan kepada nabi-nabi sebelumku. Yang pertama, sesungguhnya jika Allah melihat mereka di awal malam dari bulan Ramadhan, dan barang siapa yang telah dilihat Allah maka Ia tidak akan mengazabnya selamanya…” (HR. Baihaqi).
Selama Ramadhan, Imam Syafi’i menghatamkan Al-Quran enam puluh kali, dua kali dalam semalam di dalam solat.


11. Bau mulut orang berpuasa lebih harum dari kasturi di hadapan Allah
Rasulullah Saw. bersabda:”…Yang kedua, sesungguhnya bau mulut mereka ketika siang hari lebih harum di hadapan Allah daripada bau kasturi…” (HR. Baihaqi).


12. Di Bulan Ramadhan para malaikat meminta ampunan untuk umat ini
Rasulullah Saw. bersabda:”…Adapun yang ketiga, sesungguhnya para malaikat meminta ampunan untuk mereka siang dan malam…” (HR. Baihaqi).


13. Di bulan Ramadhan syurga berbenah diri
Rasulullah Saw. bersabda:”…Adapun yang keempat, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan syurga-Nya, Ia berfirman: “Bersiap-siaplah, dan hiasilah dirimu untuk para hamba-Ku, sehingga mereka boleh segera beristirehat dari kelelahan (hidup di) dunia menuju negeri-Ku dan kemuliaan-Ku…” (HR. Baihaqi).


14. Di malam akhir Ramadhan Allah mengampuni umat ini
Rasulullah Saw. bersabda: ”…Adapun yang kelima, sesungguhnya jika tiba malam terakhir Ramadhan Allah memberi ampun kepada mereka semua. Lalu bertanyalah seorang lelaki dari sebuah kaum: ”Apakah itu lailatul qadar? Ia bersabda:” Bukan, apakah kau tidak mengetahui perihal orang-orang yang bekerja, jika mereka selesai melakukan pekerjaan maka ganjarannya akan dipenuhi. (HR. Baihaqi)


15. Pintu syurga dibuka, pintu
Rasulullah Saw. Bersabda: “Jika Ramadhan tiba dibukalah pintu syurga dan ditutuplah pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. (HR. Bukhari).

Dalam Syarah Shahih Muslim, Qadhi Iyadh menjelaskan bahawa makna hadits di atas boleh bermakna haqiqi, iaitu pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup serta syaitan dibelenggu secara haqiqi, sebagai tanda datangnya Ramadhan sekaligus pemuliaan terhadapnya. Tapi boleh juga bermakna majaz yang mengisyaratkan besarnya pahala dan ampunan di bulan itu, sehingga syaitan seperti terbelenggu.

16. Pahala syuhada bagi yang melakukan kewajiban dan menghidupkan Ramadhan

Datanglah seorang lelaki kepada Nabi Saw. Dan mengatakan: ”Wahai Rasulullah, tahukah anda jika saya telah bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan sesungguhnya anda adalah utusan Allah, aku juga telah melakukan solat lima waktu, juga telah menunaikan zakat, serta aku telah berpuasa Ramadhan dan menghidupkannya, maka termasuk golongan siapakah saya? Rasulullah Saw. Bersabda: “Termasuk dari orang-orang yang sidiq dan syuhada’”. (HR. Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

17. Pahala amalan bulan Ramadhan berlipat ganda

Dari Salman ra., bahawasannya Rasulullah Saw. berkhutbah di hari terakhir bulan Sya’ban: ”Wahai manusia, telah datang kepada kamu bulan agung yang penuh berkat. Bulan yang terdapat di dalamnya sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang Allah jadikan puasa di dalamnya sebagai kewajiban, dan qiamul lail sebagai perkara yang disunnahkan, barang siapa mendekatkan diri di dalamnya dengan perbuat kebajikan, maka ia seperti mengerjakan kewajiban selainnya, dan barang siapa mengerjakan kewajiban di dalamnya, maka ia seperti mengerjakan tujuh puluh kewajiban selainnya…” (HR. Ibnu Huzaimah dalam Shahihnya)

18. Setiap hari dalam Ramadhan memiliki keutamaan

Rasulullah Saw. bersabda: “…Dia adalah bulan yang permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah ampunan, serta paripurnanya adalah pembebasan dari neraka…” (HR. Ibnu Huzaimah dalam Shahihnya)

19. Keutamaan memberi minum orang yang berpuasa

Allah akan memberi minum kelak di akhirat Rasulullah Saw. bersabda: “Dan barang siapa memberi minuman orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya dari telaga minuman yang tidak menghauskan hingga ia masuk ke dalam syurga”. (HR. Ibnu Huzaimah dalam Shahihnya).

20. Sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan


Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik sedekah aitu sedekah di bulan Ramadhan.” (HR.Tirmidzi) 
Rasulullah Saw. Bersabda: “Jika Ramadhan tiba dibukalah pintu syurga dan ditutuplah pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. (HR. Bukhari).
Dalam Syarah Shahih Muslim, Qadhi Iyadh menjelaskan bahawa makna hadits di atas boleh bermakna haqiqi, iaitu pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup serta syaitan dibelenggu secara haqiqi, sebagai tanda datangnya Ramadhan sekaligus pemuliaan terhadapnya. Tapi boleh juga bermakna majaz yang mengisyaratkan besarnya pahala dan ampunan di bulan itu, sehingga syaitan seperti terbelenggu.

21. Doa mustajab di bulan Ramadhan

Diriwatkan dari Abu Umamah Ra, bahawa Rasulullah Saw. bersabda:”...Dan untuk setiap muslim di setiap hari dan petang (dalam bulan Ramadhan) doa yang mustajab (HR. Bazar).

Rasulullah juga bersabda:”Tiga yang tidak tertolak doanya, orang yang berpuasa hingga berbuka, imam adil, dan doa orang yang dizalimi”. (HR. Tirmidzi)

22. Pahala umrah Ramadhan sama dengan haji

Rasulullah Saw. bersabda kepada seorang wanita Anshar:”Jika datang Ramadhan maka lakukanlah umrah, kerana susungguhnya umrah dalam bulan itu setaraf dengan haji.” (HR. An Nasa’i).

23. Pahala i’tikaf di bulan Ramadhan sama dengan pahala 2 haji dan umrah

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Husain Ra. menyatakan, bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda:”Barang siapa menjalankan i’tikaf selama sepuluh hari di bulan Ramadhan maka amalan itu seperti dua haji dan umrah (HR. Baihaqi)

24. Dalam Ramadhan terdapat malam yang istimewa (Lailatul Qadar)

Allah berfirman:”Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan”. (Al Qadr: 3).

Tentang ayat ini, Wahbah Zuhaili menjelaskan bahawa menghidupkan Ramadhan dan melakukan amalan di dalamnya lebih baik daripada menjalankan amalan dalam seribu bulan tanpa Ramadhan.

25. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan

Allah Ta’ala berfirman: “Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan atas petunjuk itu, serta pemisah antara haq dan batil”. (Al Baqarah: 185)

Ibnu Katsir mengatakan bahawa Allah Ta’ala menyanjung bulan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain, iaitu dengan memilihnya sebagai bulan dimana Al-Quran diturunkan di dalamnya.

26. Kitab-kitab suci diturunkan pada bulan Ramadhan

Rasulullah Saw. bersabda:”Shuhuf Ibrahim turun pada awal malam pertama bulan Ramadhan, dan Taurat turun pada hari ke enam bulan Ramadhan dan Injil pada hari ke tiga belas dari Ramadhan…” (HR. Ahmad).

27. Rasulullah mendapat wahyu pertama di bulan Ramadhan

Ketika Rasululah Saw. mendekati umur 40 tahun beliau selalu berfikir dan merenung serta berkeinginan kuat untuk mengasingkan diri (uzlah), akhirnya dengan mempersiapkan bekal makanan dan minuman beliau menuju gua Hira yang terdapat pada gunung Rahmah sebagai tempat beruzlah, yang berjarak dua mil dari kota Mekah. Uzlah ini dilakukan tiga tahun sebelum masa kerasulan. Tatkala datang Ramadhan pada tahun ketiga dari masa uzlah, turun kepada beliau Malaikat Jibril mewahyukan surat Al Alaq yang merupakan surat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah Saw.

28. Perang Badar terjadi pada bulan Ramadhan

Perang Badar adalah pemisah antara yang haq dan yang batil, dan kaum muslimin sebagai simbol tauhid dan kemuliaan, meraih kemenangan atas kaum musyrikin sebagai simbol kekifiran dan kebodohan.

Peperangan terjadi pada hari Jum’at, 27 Ramadhan, tahun kedua setelah hijrah. Allah Ta’ala berfirman: “Dan benar-benar Allah telah menolong kamu di Badar sedangkan kalian dalam keadaan terhina, maka takutlah kalian kepada Allah, semoga kalian bersyukur”. (Ali Imran: 123).

Ibnu Abbas mengatakan:”Saat itu hari Jum’at, 27 Ramadhan, dan saat itu juga terbunuh Fir’aun umat, Abu Jahal, musuh terbesar umat Islam.

29. Mekah dikuasai pada bulan Ramadhan

Fathu Mekah adalah peristiwa besar, Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata”. (Al Fath:1).

Sebagian mufasirin berpendapat bahawa yang dimaksud kemenangan di sini adalah peristiwa Fathu Mekah, walau ada sebagian ulama’ yang menafsirkannya sebagai perjanjian Hudaibiya dan penaklukan negeri Rum.

Peristiwa itu terjadi pada hari, tanggal 20 atau 21 Ramadhan, tahun ke lapan hijrah. Saat itulah semua berhala yang berada di sekitar Ka’bah dihancurkan.

30. Islam menyebar di Yaman pada bulan Ramadhan

Tahun ke sepuluh hijriyah pada bulan Ramadhan Rasulullah Saw. menunjuk Ali bin Abi Thalib guna menjadi pemimpin sejumlah pasukan untuk pergi ke penduduk Yaman dengan membawa surat yang berisi ajakan untuk memeluk Islam.


Tiada lain yang kuharapkan ya Rabb...agar hambamu yang kerdil ini akan mengambil peluang dan ruang yang telah kau berikan untuk beramal sebanyak-banyaknya bagi mengumpul pahala sepertimana yang telah engkau janjikan. Berikanlah aku semangat dan kekuatan untuk melaksanakannya ikhlas demi mencari redhomu ya Allah...amin ya rabbal alamin

Wednesday, 26 June 2013

PENTAKSIRAN PBS KHB (260613) - HIKMAH DARI KESABARAN -

ASSALAMUALAIKUM...

Salam jerebu yang masih lagi bertamu....Adakalanya sesuatu musibah itu bukan semuanya mendatangkan keburukan semata-mata. Namun ada kalanya ia akan memberi seribu harapan kepada orang lain. Sesungguhnya hanya Allah yang maha mengetahui setiap sesuatu perkara itu...

Sebenarnya ...dalam perancangan awalnya, pentaksir kawasan iaitu Kak Lela telah memaklumkan kepadaku bahawa dia akan datang untuk mentaksir pada hari Isnin bersamaan 24 Jun 2013. Pada mulanya aku telah meletakkan jawatan sebagai ketua pentaksir sekolah bagi mata pelajaran KHB ERT atas beberapa alasan. Terasa ringan sedikit bebanan tugasanku tahun ini. Namun di saat-saat akhir, aku telah diminta oleh ketuaku untuk mengambil semula jawatan tersebut atas sebab tertentu juga. Dalam keterpaksaan aku terpaksa menerimanya....Ini bermakna banyak perkara yang perlu kulakukan dan aku sediakan.....Waktunya pula amat singkat. Makanya sepanjang minggu lepas aku agak sibuk menyediakan segala kelengkapan agar semuanya akan berjalan dengan sempurna. Dalam serba kepenatan yang masih membelenggu diri aku gagahkan diri juga dengan dibantu oleh kak jat untuk mengemaskini fail Induk, fail pentaksiran dan fail kes-kes  khas yang merupakan fail utama yang akan diperiksa. tak lupa juga kami memilih 10 fail dan eviden dari 4 kelas berbeza untuk dinilai pada hari tersebut.

Lumrah hidup ini...biasanya sesuatu yang kita inginkan seringkali kita akan bertemu dengan halangan dan cabaran. Sedih bilamana ada anak didikku yang membuat kerja PBS sambil lewa walaupun telah berulangkali ditunjuk ajar dan diberi teguran. Hinggakan disaat-saat akhir, mereka masih belum dapat menyiapkan sepenuhnya...Sabarlah hati. Tak guna marah-marah. Bukannya menguntungkan pun. Tunggulah bila tiba masanya yang sesuai pasti akan aku takzirah kalian cukup-cukup..... Lagi parah sebab hari Sabtu masih terpaksa datang sekolah kerana kursus LADAP. Bermakna satu pagiku telah dicuri dari melaksanakan kerja-kerja mengemaskini fail. Takpe..kuangkut segala fail yang belum kusemak balik ke rumah. Printer pun kuangkut balik juga ...Penuh keretaku depan dan belakang. Mak..ai...rajin ke aku nak buat semuanya ini sebelum hari Isnin....Namun aku tiada pilihan lain.Tiada yang lain kuharapkan dariMu Ya Allah..selain dari beri aku kekuatan + ketabahan + kesabaran + kerajianan + keikhlasan = dimudahkan segala urusan.

Ya Allah...jadikanlah aku hambamu yang sentiasa bersifat sabar


Manusia hanya merancang, namun Allah jua yang menentukan. Saat aku pasrah dan terus bersabar dengan setiap tugasan yang diberi aku dihadiahkan perkhabaran yang cukup indah dipendengaranku... Esok ( Isnin bersamaan 24 Jun 2013 adalah hari cuti berganti bagi seluruh sekolah di negeri Selangor). Subhanallah... Alhamdulillah Wala Ilah Illallah...Terima kasih ya Allah kerana mengetahui ketidakupayaanku dan ketidaksempurnaanku. Makanya Kau bantu aku dengan memberi lebih ruang dan waktu agar aku dapat menyempunakan segala tugasanku itu...Setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan padaMu ya Rabb kerana mendengar bisikan hambaMu yang lemah ini. Makanya seharian sepanjang hari Selasa...bertungkus lumuslah aku lagi untuk mengemaskini segala fail-fail yang ada. Dikesmpatan yang telah Allah berikan itu, aku gunakan sebaik-baiknya...Ku lakukan semuanya tanpa rasa marah apalagi berkeluh kesah. Aku ingin menjadi hambaMu yang ikhlas dalam melakukan tugasku ya Allah. Sesungguhnya tugasku ini adalah sebahagian dari ibadahku. Maka aku yakin jika aku melakukannya dengan ikhlas semata-mata keranaMu...in sya Allah ada pahala yang menantiku di akhirat kelak. Sesungguhnya aku bukan semata-mata ingin mengejar atau mencari harta dunia, tapi yang aku lebih ingini adalah untuk mengaut dan menjana sebanyak-banyaknya harta untuk bekalanku di akhirat kelak. Suatu tempat yang kekal abadi sedangkan dunia ini adalah tempat untuk sementara sahaja. Walaupun nilainya tidak mampu dilihat atau dinilai oleh mata kasar, aku tetap yakin bahawa segala janji Allah itu pasti benar belaka....

Sepetang itu aku berkemas sendirian bak gaya seorang bibik Indon yang profesional. Ku sapu sampah...ku lap semua meja dan sinki...ku mop lantai...Kepenatan terpaksa aku kesampingkan. Tiada masa untuk memikirkan kerana yang penting semuanya beres...Semoga Allah terus memberi kekuatan dan kesabaran kepadaku...

Alhamdulillah...pagi ini Allah mudahkan segala urusanku, urusan sahabat-sahabatku juga urusan Kak Lela selaku pentaksir yang datang ke sekolahku. Sesungguhnya dalam kesabaran itu Allah telah janjikan keindahan dan kemanisan.

Saturday, 22 June 2013

LADAP 2 : PENGURUSAN KEWANGAN ISLAM

ASSALAMUALAIKUM...

SLOT 1

TARIKH              : 22 JUN 2013
MASA                 : 8.30 PG
TEMPAT             : PSS SMK TIRAM JAYA
PENCERAMAH : PN. NORHANISAH  ( MAYBANK CAWANGAN K. LUMPUR )

Alhamdulillah pagi ini aku dan rakan sekolahku telah hadir untuk mengikuti LADAP kedua untuk tahun ini. Seawal 8.00 pagi kami telah sampai ke sekolah dan menikmati sarapan yang sungguh lazat iaitu lontong yang dijodohkan dengan nescafe panas yang penuh beraroma. Memang betul-betul kaw dibuatnya.

Sebenarnya maklumat sebegini amat berguna buat diriku dan rakan-rakanku yang rata-ratanya pendapatan bulanan hanya datangnya dari gaji kami semata-mata. Makanya persiapan dan perancangan yang rapi adalah amat penting dalam mengurus wang yang ada agar dapat dikembang biakkan ataupun dapat dibuat pelaburan untuk masa hadapan. Paling penting di waktu kita pencen nanti...tidaklah kita kesempitan wang atau lebih teruk lagi terbuang gara-gara kehabisan wang. Moga dijauhkan hendaknya. Janganlah kita ini di waktu muda selalu boros berbelanja atau suka bergaya semata-mata sehingga sanggup bergadai segala demi untuk kepuasan hidup semata-mata. Bak kata orang..." Biar Papa asal Bergaya.." Gunakanlah wang yang ada untuk menampung kehidupan kita secara sederhana dan berkhemah. Peruntukkanlah sedikit daripada pendapatan bulanan kita untuk tabungan masa depan.

Pelan KARISMA ini adalah satu bentuk tabungan yang berguna  untuk kita semua. Jangkamasa tabungannya adalah selama 20 -30 tahun. Yang seronoknya, promosi yang ditawarkan pada hari  ini adalah jumlah simpanan harian yang selalunya paling minima RM 10 telah diturunkan menjadi RM 5.00 sahaja. Ini bermakna, jumlah simpanan untuk setiap bulan ialah RM 150.00. Rasanya ok juga jika dibandingkan dengan faedah yang akan diperolehi kelak. Setiap dua tahun secara automatik, penyimpan akan memperolehi sejumlah wang daripada  tabung khairat kematian mengikut jumlah tabungan yang dibuat.  Setiap 3 tahun juga,  penyimpan  boleh mengeluarkan tabungannya. Nampak macam menarik juga...Sekali fikir bagus untuk diriku ini...Namun setelah berfikir panjang, aku memutuskan untuk menangguhkan dulu buat sementara waktu. Lagipun...dalam masa yang terdekat ini, aku ingin mengambil pelan takaful lain yang kurasakan lebih bermanafaat. Mudah-mudahan..keputusan yang ku buat ini adalah satu keputusan yang bijak lagi matang serta menguntungkan buat diriku dan orang-orang disekelilingku. Kak Nidah dan aku telah seia sekata untuk mengambil pelan takaful tersebut demi masa depan kami..yesss moga semuanya berjalan dengan lancar hendaknya. Ameen...

Paling saya galakkan adalah tabungan dalam Tabung Haji. Ini merupakan pelaburan akhirat yang hanya Allah sahaja yang akan dapat mengira keuntungannya. Kalau boleh simpanlah RM 1300 di dalam akaun dan teruslah mendaftar untuk menunaikan haji. Itu adalah lebih afdhal bagi kita umat Islam yang mempercayai Rukun Islam yang lima.  Menunaikan Haji jika berkemampuan adalah merupakan Rukun Islam yang kelima. Sebagai penjawat awam...rasanya semua orang berkemampuan untuk melaksanakannya. Tinggal lagi, kita ini memilih sama ada untuk melakukan di waktu kita muda atau kita sudah berusia. Ingatlah pesanan Nabi kita Muhammad S.A.W iaitu rebutlah lima perkara sebelum lima perkara.

  1. Masa muda sebelum tua
  2. Masa lapang sebelum sempit
  3. Masa sihat sebelum sakit
  4. Masa kaya sebelum miskin
  5. Masa hidup sebelum mati

 In sya Allah...jika kita telah melaksanakan kewajipan tersebut, telah lengkaplah rasanya kewajipan kita sebagai orang Islam. Rebutlah masa muda yang Allah pinjamkan kepada kita untuk melaksanakan kewajipan yang disyariatkan . Janganlah kita mempunyai sikap suka menangguh-nangguh untuk melaksanakan perintah Allah. Ayuhlah bersegera untuk menunaikan ibadah haji kerana ganjaran dan pahala bagi yang mendapat haji mabrur adalah tidak lain dan tidak bukan adalah syurga Allah yang indah. MasyaAllah...

Walaupun sebenarnya, menyimpan untuk tujuan menunaikan haji bukanlah mudah. Ianya memerlukan pengorbanan dan juga kesabaran yang bukan sedikit. Namun andainya kita mempunyai niat dan disertai dengan doa dan keazaman yang berterusan, in sya Allah Allah akan murahkan dan melapangkan rezeki kita. Pelaburan ini sebenarnya tiada nilainya kerana hanya Allah yang berhak ke atasnya. Kita sebagai hambanya cuma perlu melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan.... yang selebihnya serahkan sahaja pada penilaian Allah. Apalah gunanya simpanan kita di dalam beberapa akaun yang jumlahnya beribu-ribu atau mungkin beratus ribu atau mungkin juga berjuta-juta, tetapi masih tidak melaksanakan kewajipan kita kepada Allah. Alangkah malunya kita sedangkan yang memberikan kita rezeki yang banyak itu adalah Allah. Dahulukanlah perintah Allah...insya Allah...Allah akan mendahulukan kita dalam setiap perkara dan mempermudahkan segala urusan kita ...

Ini adalah sekadar peringatan dan perkongsian maklumat dari pandangan mata saya, iaitu seorang hamba Allah yang sangat kerdil dan dhaif. Yang baik hanyalah dari Allah dan yang buruk adalah atas kelemahan diri saya sendiri.... Wassalam

Friday, 21 June 2013

21062013 ULANG TAHUN KELAHIRAN AISYAH HUMAIRA'

Kek Chocolate Moist
Alhamdulillah...hari ini, genap 13 tahun umur satu-satunya puteriku tercinta iaitu Siti Aisyah Humaira' bt Fakhrudin. Ini bermakna sudah 13 tahun kau menemani hari-hariku yang seindah pelangi. Kelahiranmu adalah umpama permata yang sentiasa bersinar dan bercahaya di dalam hatiku ini. Aku sangat bersyukur kerana Allah menitipkan hadiah paling istimewa di kala aku sangat berduka dan berdepan pelbagai dugaan kerana terpaksa berjauhan dengan suami tercinta yang sedang menyambung pelajarannya. Apatah lagi doktor telah mengesahkan...kau telah berada di dalam perut ibu sedangkan umur abang kembarmu baru sahaja menginjak 5 bulan...huhuhu... Ya Allah...seakan aku tidak percaya dengan perkhabaran doktor itu..Kaget, sedih dan gembira bersatu menghadiahkan aku satu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Lagipun ayahmu masih belum tamat lagi perjuangnnya...Kuatkah aku Ya Allah untuk melalui semuanya ini...

Segunung kasih dan selautan cinta buat bonda tercinta...kerana kau telah menemani dan menjaga aku sambil menghadiahi aku kekuatan serta ketabahan yang bukan sedikit. Dalam serba kepayahan..kau beri aku sokongan dan dorongan agar sentiasa bersabar dan bertawakkal menghadapi semuanya....Tanpamu pastinya aku akan lemah dan rebah..Ku pinjam segala kekuatanmu...ku cedok segala ketabahanmu...ku hirup segala semangatmu...Aku sentiasa berdoa agar aku, kandunganku...serta orang-orang yang kucintai sentiasa dilindungi dan dirahmati Illahi...

Ku masih ingati..motor lama YAMAHA merahku yang amat berjasa. Betapa aku terpaksa menahan rasa kerana terpaksa menojang starter motor walaupun dalam keadaan perutku yang sarat memboyot. Sehinggalah pada suatu hari...telah turun tanda darah yang menunjukkan masa bersalin telah tiba... Masalahnya tiada orang lelaki di rumahku saat ini. Suamiku sedang kuliah. Telefon rumah pula tidak dapat berfungsi dengan baik. Bagaimana caranya untukku menghubungi ibu dan bapa mertuaku.

Bondaku...tiada kata yang mampu untuk aku gambarkan rasa terima kasihku atas segala pengorbananmu dalam membantuku di saat-saat aku memerlukan bantuan. Kau sanggup berlari ke rumah jiran sebelah...semata-mata untuk meminta pertolongannya membawa aku ke Hospital Tanjong Karang. Alhamdulillah..berkat pertolongan Darul dan isterinya aku telah dibawa ke HTK. Dalam perjalanan, aku sempat singgah ke rumah mertuaku uantuk memberitahu mereka bahawa aku dalam perjalanan menuju ke hospital. Sampai di HTK aku terpaksa mendaftar sendiri kerana tiada siapa yang menemani. Betapa sedihnya aku saat itu...hanya Allah yang tahu. Namun demi bayiku ini...aku gagahkan jua langkahku ini sambil tak henti-henti berdoa agar aku dan bayiku ini selamat.

Syukur ya Allah...kau hadiahkan aku sesuatu yang sangat berharga. Seorang puteri yang comel dan gebu aku tatap dan kukucup berulang kali dengan rasa seribu kesyukuran. Benarlah janji Allah....Dalam kepayahan dan kesusahan yang kita lalui pasti Allah akan hadiahkan kebahagiaan dan kegembiraan ...Dan aku namakan puteriku dengan nama yang telah ku pilih sejak dulu-dulu lagi...SITI AISYAH HUMAIRA'

Tanpaku sedar...masa terus berlalu... dan kini engkau telah membesar dengan cepatnya. Ku amat menghargai setiap saat bersamamu. Kau adalah sebahagian kekuatan ibu...Kau juga teman ibu untuk meluahkan rasa. Masih ku ingat, di saat ibu dalam kesedihan yang teramat kerana kehilangan bonda tercinta..kurut sama-sama menangis bersedih. Betapa engkau memahami kesedihan dan kedukaanku...Kau mengerti tentang kasih seorang ibu yang tiada gantinya...

Anakku...betapa ibu ingin kau tahu bahawa kasih dan sayang ibu kepadamu sangat dalam. Tiada sukatan yang mampu menyukatnya. Doa ibu sepanjang waktu..agar dirimu sentiasa dihiasi dengan sifat malu dan peribadi akhlak yang mulia...Menjadi anak yang solehah dan berjaya serta bahagia bukan setakat di dunia tetapi juga di akhirat. Amin

SUKAN TAHUNAN SK DATO MANAN (16-170613)


Hari pertama- Hilman Johan 6X 100 meter
Tahniah kepada SK Dato Manan kerana berjaya menganjurkan acara sukan tahunan selama dua hari yang telah berlangsung pada 16 - 17 Jun yang lalu. Terima kasih kepada warga pendidiknya yang dedikasi tanpa jemu membuat latihan daripada sebelum cuti pertengahan tahun lagi. Sampaikan rupa kedua-dua anakku telah bertukar warna lebih kegelapan...hahaha...

Hilman dan Hanan tentunya sangat teruja kerana ini merupakan pertama kali mereka akan mengikuti acara sukan di sekolah ini. Aduyai..paling pening kerna terpaksa menyediakan baju sukan setiap hari...Dahtu kalau balik rumah je mesti warna baju yang putih dah bertukar warna...Kalau tak disental habis-habisan...alamatlah nanti bekas-bekas kotoran masih jelas kelihatan. Menangislah jawabnya..taknak pakai la bu...Malu sebab baju kotor..Tau pun... Masa pakai tak ingat pun nak jaga elok-elok..

Paling sedih bilamana Mbah Idok tidak membenarkan Hannan mengikuti semua acara sukan kerana dikhuatiri bentan dek kerana baru sahaja sembuh dari luka berkhatan. Bukan setakat Hannan, tapi aku juga agak terkilan dibuatnya sebab Hanan begitu bersemangat untuk bersukan. Lagipun banyak acara sukan yang akan disertainya iaitu lari 100m,200m, lompat jauh dan lompat tinggi. Alamak...tentu guru rumah sukannya marah dengan kami. Maaflah ya sebab kami pun tak sangka luka berkhatan ni rupanya lama juga ...lebih kurang 2 minggu...Sabar ya nak..tahun depan boleh ikut lagi...

16 Jun 2013 ( Tahap 1 )

Terkejut aku dibuatnya bila melihat senarai acara yang akan berlangsung hari ni. Mak ai...banyaknya. Ada lebih dari 100 acara. Memang betul-betul hebat. Acara pertama adalah untuk murid-murid pendidikan Khas, kemudian murid-murid prasekolah dan seterusnya darjah 1-3 samada acara individu atau berpasukan. Pelbagai acara yang dipertandingan memperlihatkan kreativiti dan dedikasi guru-guru sekolah rendah yang amat tinggi. Segala peralatan di warna mengikut 4 warna rumah yang berbeza. Terasa begitu meriah suasananya.Kalau dibandingkan dengan acara sukan tahunan di sekolahku, memang agak jauh perbezaannya. 

Gara-gara kepenatan yang teramat sepanjang minggu ini...aku agak malas untuk turun ke padang seperti dulu-dulu...Ngantuknya ya Allah...memang tidak mampu ku tahan. Namun demi janjiku pada Hilman, maka aku gagahkan diri juga untuk melihat cara sukan tersebut. Aku hanya pergi ke padang pada jam 11.30 pagi. Memang agak lewat...Sampai di sana rupa-rupanya aku sudah terlepas acara Hilman. Maafkan ibu ya nak...ibu penat sangat. Kalau tak tentu ibu akan terpacak di tepi padang sedari pagi lagi...Apa pun tahniah ibu ucapkan sebab Iman telah mendapat johan untuk acara 6 X 100 Meter.

Cuaca pada hari ini memang betul-betul panas dan berbahang.. Aku terpaksa menahan diri agar kepalaku tidak pusing akibat kepenatan dan kepanasan. Masa kurasakan terlalu lambat bergerak...Kebosanan telah melanda diriku..Apatah lagi aku hanya bersendirian tanpa teman... Acara tamat lebih kurang pukul 1.40 petang. Akhirnya tamat sudah penantianku ini. Esok hanya untuk tahap 2 sahaja. Ini bermakna hanya Hannan sahaja yang akan bersukan esok hari manakala Hilman akan berehat sahaja di rumah.

Hilman.dengan hadiah 'tipuware'nya...

Hannan-pinjam hadiah

Di hadapan gerai - Panas terik
Malamnya Hanan minta kebenaranku untuk mengikuti acara sukan pada keesokan harinya. Susah juga ya..bukan apa..aku takut mertuaku akan marah jika dia tahu Hannan akan mengikuti acara sukan. Namun setelah ku fikir semasak-masaknya...kuizinkan Hannan untuk bersukan. Hanya doa yang mampu kuiringkan agar disetiap langkahnya Allah lindungi dan berkati ...Amin

17 Jun 2013 ( Tahap 2 )

Terima kasih Imah sebab menumpangkan Hannan untuk ke sekolah. Sekurang-kurangnya takdelah seawal pagi aku terpacak di tepi padang. Bolehlah aku buat kerja lain dulu... Hari ini aku datang awal sedikit berbanding semalam kerana selepas ini aku akan mengunjungi Aisyah di asrama SAMTK. Petangnya aku bercadang untuk berehat-rehat dan bermalas-malasan di rumah sahaja. Hanan..maafkan ibu kerana hanya menjengukmu sebenar. Tak betah rasanya ibu terpaksa menunggu lama-lama dalam cuaca panas berbahang. Nanti balik ikut Cik Imah ya.. 

Petang itu, alhamdulillah Hannan berjaya mendapat naib johan acara 100 meter dan tempat ketiga untuk acara 200 meter. Tahniah dan syabas anakku...walau pun baru sembuh , kau tetap bersemangat untuk membantu rumah "MERAH" untuk menang. Maka bertambah lagilah koleksi 'tipuware' ibu di rumah...