Tuesday, 21 June 2011

HUJAN RAHMAT....

Alhamdulillah....hujan yang ditunggu-tunggu telah turun dengan lebatnya saat ini.
Mendung yang sejak dari pagi tadi diiringi angin yang bertiup kencang rupa-rupanya
membawa hujan rahmat yang mencurah-curah...

Alhamdulillah...tanah yang kering kontang dan gersang ketandusan kini kembali subur.
Pokok-pokok yang layu dan kehausan kini begitu segar. Suasana alam sekeliling begitu
redup dan damai sekali.  Ahh...sunggup sejuk dan nyaman kurasakan. Sesungguhnya
hujan itu rahmat....hujan itu nikmat.

Seluruh alam bertafakur dalam diam tanda kesyukuran kepada Tuhan atas nikmat yang
telah diberikan.

PENYUCIAN HATI

Suatu waktu dahulu, aku dan anak-anakku mampir ke Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor untuk bersolat asar. Masjid agak dekat di hati kami anak beranak kerana lokasinya berdekatan dengan sekolah anak-anakku. Jadinya jika waktu solat telah hampir maka kami akan selalu singgah untuk sama-sama solat berjemaah.

Petang itu, seusai solat dan berdoa, Pak Imam memberi sedikit tazkirah. Alunan suaranya lembut tetapi mantap memberikan sedikit santapan rohani untuk hambanya yang sentiasa dahagakan peringatan. Walaupun ringkas namun cukup bermakna.

Tajuk tazkirah Pak Imam ialah Cara-cara Untuk Menyucikan Hati.....
1) Membaca Al Quranul Karim.
    Andainya kita sepi dan ingin menghiburkan hati, apalah salahnya kita mengalunkan lagu-lagu Al Quran    
    tidak kira siang atau malam. Janganlah kita melalak-lalak, menyanyikan lagu-lagu syaitan yang 
    mengasyikkan. Sesungguhnya Al Quran mampu menggilap hati-hati yang berkarat dan nantinya akan  
    memberikan syafaat di hari qiamat.

2) Zikrullah
    Dalam waktu senggang, berzikirlah kepada Allah. Elakkan mengumpat kerna ia hanya mengundang dosa. 
    Sedangkan berzikir akan dapat mengikis kekotoran jiwa dan memberi ketenangan.Basahkanlah bibir kita  
   dengan sentiasa berzikir kerana ia adalah jambatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

3) Qiamullail dan solat-solat sunat
    Qiamullail bukan setakat menyucikan dosa kita, bahkan ia menjadikan kita mulia di dunia dan lebih-lebih   
    lagi di akhirat nanti. Di dalam qiamullail terkumpul dua cahaya iaitu cahaya solat dan cahaya Al Quran.
    Menjaga qiamullail bersama-sama dengan solat Dhuha, Sunat Awwabin, Sunat Tahiyyatul Masjid dan  
    Solat Terawih adalah jalan pintas mendekatkan diri kepada Allah.

4) Al-Istighfar
    Sebenarnya Allah amat menyukai dan gembira dengan mulut hamba-hambanNya yang sentiasa beristighfar 
    serta menyedari seluruh perbuatannya dilihat oleh Allah. Jadikanlah 70 kali atau 100 kali istighfar setiap   
    hari  demi untuk mengikut sunnah Nabi S.A.W. Sesungguhnya istighfar merupakan salah satu cara 
    untuk menyucikan jiwa bahkan kesannya akan lebih meresap ke dalam jiwa.

5)Takutkan Allah dan menangis.
    Menangis bukan sahaja bila hati kita berduka atau rasa kecewa sesama manusia. Namun menangis kerna  
    keinsafan takutkan Allah itu lebih bermakna. Takutkan Allah kerna kita mengenangkan saat kematian yang 
    semakin menghampiri. Juga takutkan Allah tentang pembalasan di hari akhirat nanti. Menangis kerana  
    takutkan Allah boleh menggugurkan dosa hamba seperti gugurnya dedaun yang kering.

6) Berdoa
    Doa merupakan senjata orang mukmin. Sesungguhnya Allah itu sentiasa dekat dan akan mengabulkan  
    doa hamba-hambaNya. Dengan berdoa hati akan menjadi tenang dan lapang.

Kesimpulannya, sekiranya Al Quran dibaca dengan rohnya, hati dan bibir tidak pernah kering dengan mengingati Allah, Qiamullail di tengah malam yang hening dan murahnya air mata kerana takutkan Allah, sentiasa beristighfar serta sentiasa menghulurkan tangan untuk berdoa kepada Allah, Insya-Allah hati akan sentiasa tenang dan redha  dengan setiap ketentuan yang telah ditetapka olehNya.

Sekadar renungan buat diriku yang serba kekurangan.


5)





Monday, 20 June 2011

PERJALANAN SUCI ( kENANGAN HAJI 1430 HIJRAH )

Berlatarbelakangkan Masjidil Haram
Perjalanan ini
Adalah perjalanan yang suci
Menuju redho Illahi
Perjalanan yang sentiasa kuimpi
Perjalanan yang kunanti-nanti
Seumur hidupku ini... 

Perjalanan ini...
Menuntut pengorbanan yang tinggi
Kesabaran yang sentiasa diuji
Keikhlasan yang tidak berbelah bagi
Persaudaraan yang tulus suci
Jua persahabatan yang sejati...


Hadirku di sini...
Di bumi ambia yang kucintai...
Adalah untuk mengabdikan diri
Mensucikan hati
Jabal Rahmah
Memohon rahmat Illahi... 
Moga kekhilafan diri
Hamba yang hina ini
Dapat Kau ampuni...


Di sini
Ku jejaki sirah para nabi
Ku terokai bumi yang gersang ini
Ku bayangkan sejarah Islam yang suci
Kukagumi para syuhada yang berani
 
Sanggup berkorban
Jiwa dan raga
Jua seluruh harta benda
Demi Islam tercinta
Demi kasih kepada nabinya
Muhammad, nabi junjungan mulia...

Kusyukuri nikmatmu Ya Rabb..
Memberiku suatu kesempatan
Kaabah
Menganugerahiku suatu penghormatan
Hadir dibumiMu yang amat barokah
Mensucikan diri dan beramal ibadah...


Ya Rabb...
Jemputlah aku lagi
Untuk hadir di bumi yang suci
Kerna rindu ini
Sentiasa bersemi
Dan cintaku ini
Tak mampu dipisahkan lagi...


Moga nanti....
Keredhoaan yang kuingini
Dapat kumiliki
Berkat rahmatMu ya Illahi....

Saturday, 7 May 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI IBU....

    Bondaku..... 37 tahun kau sentiasa bersamaku. Terlalu banyak kenangan yang kita cipta bersama. Semenjak aku dilahirkan sehinggalah aku berkeluarga sendiri, kaulah teman yang sentiasa ada di sisiku disaat aku memerlukan. Kaulah ibuku...kaulah sahabatku..

    Bondaku.... bersyukurnya aku menjadi anakmu. Terima kasih yang tidak terhingga di ats segala jasa dan pengorbananmu yang berjuta kepada kami anak-anakmu yang seramai sembilan orang ini. Tanpa keluh kesah dan tanpa jemu kau malayan kami yang pelbagai kerenah. Ada kalanya hatimu tercalar. Ada kala hatimu tercabar. Namun kau tetap sabar. Kau sentiasa pasrah dan tegar menempuh segalanya.

    Bondaku.... setiap tahun kita akan menyambut hari lahirmu serentak dengan hari ibu. Betapa bahagianya aku walaupun ada kalanya kita hanya menyambutnya dengan memotong sebiji kek. Namun yang nyata kasihku padamu amat padu dan tepu...

   Bondaku....tanggal 25 Ogos 2010 tidak mungkin dapat aku lupakan. Kau pergi meninggalkan aku tanpa pesan. Kelu lidahku. Gelita kurasakan dunia ini. Terasakan sekejap cuma kita bersama. Kau dipinjamkan kepadaku hanya selama 37 tahun sahaja. Masih banyak perkara yang belum kuhadiahkan buatmu. Namun yang nyata Allah lebih mengasihimu. Kasihku kepadamu tak setanding kasih Allah kepadamu.Lantaran itu Dia mengambilmu disaat umat Islam berpuasa 12 hari. Pemergianmu pada bulan yang Ramadhan yang mulia menyebabkan aku amat redho. Pergilah kasih, pergilah sayang. Moga rohmu di cucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin

   Bondaku...tahun ini merupakan tahun pertama kau tiada di sisi, namun kami anak-anakmu tetap kembali ke  teratak bonda untuk sama-sama menghadiahimu dengan bacaan yasin. Semoga kami menjadi anak-anakmu yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua orang tuanya.. Tiada lain yang kami doakan agar bonda dan ayahanda diampunkan dosa-dosa kalian. Semoga kalian ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Dan semoga dijadikan kuburan kalian seumpama taman-taman syurga...Amin.
    
Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah SAW telah bersabda : " Apabila telah matinya anak adam itu, maka terhentilah amalannya melanikan tiga perkara:
 1) Sedekah Jariah
2) Ilmu yang berguna dan diamalkan
3) Anak yang soleh yang sentiasa mendoakan baginya
   Bondaku.... 8 Mei datang kembali. Walau kau tiada di sisi. Abadi kasihmu selama-lamanya.





Friday, 6 May 2011

Kembara Cinta Slideshow

Kembara Cinta Slideshow: "TripAdvisor™ TripWow ★ Kembara Cinta Slideshow ★ to Medina, Mecca and Karachi. Stunning free travel slideshows on TripAdvisor"

Monday, 11 April 2011

* KEMBARA CINTA MADINAH 1 *

Saat menunggu check in di KLIA.
Menunggu di balai berlepas...
 Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan ke hadrat Illahi kerna dengan izin-Nya sekali lagi aku dan suamiku dapat menjejaki bumi Madinah yang kucintai. Rasanya terubat sedikit kerinduanku selama ini. Pada tanggal 11 Mac 2011 yang lalu iaitu bersamaan hari Jumaat yang mulia adalah saat keberangkatanku ke sana. Walaupun penerbangan lewat 2 jam akibat beberapa masalah akhirnnya pesawat kami berlepas tepat jam 3.40 petang waktu Malaysia. Kami singgah transit di Karachi selama beberapa minit sebelum menaiki pesawat semula menuju ke Jeddah. Akhirnya tepat jam 9.00 mlm waktu Arab Saudi kami selamat mendarat di Jeddah. Suasana amat sejuk dan dingin sekali. Syahdu sungguh rasa di hati... Terima kasih Ya Allah, kerana menjemputku sekali lagi untuk hadir ke kota sucimu ini.
Mana beg ni tak muncul-muncul..
Dugaan sewaktu di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah adalah berkenaan proses mengambil bagasi yang agak lama. Kami terpaksa menunggu berjam-jam hanya untuk mengambil beg yang telah bercampur-campur dengan penerbangan lain. Setelah selesai urusan pengambilan beg, kami diuji lagi dengan kelewatan menunggu bas yang akan membawa rombongan kami menuju ke Madinah. Perjalanan kami ke sana mengambil masa kira-kira 6 jam. Jarak di antara Jeddah dan Madinah lebih kurang 470 km.Kami dijangka tiba sebelum solat subuh. Namun sehingga jam 1 pagi rombongan kami masih belum berangkat. Hati sungguh gusar mengenangkan akan terlewat untuk sama-sama bersolat subuh di masjid Nabawi. Astaghfirullah....sabarlah hati jika ini permulaan dari ujian-Nya. Sewaktu bas memulakan perjalanan jam ditanganku menunjukkan angka 1.30 pagi waktu tempatan. Perutku mula berkeroncong dan terasa agak pedih. Maklumlah kali terakhir aku menjamah hidangan, lebih kurang pukul 7 mlm iaitu sewaktu dalam pesawat menuju ke Jeddah. Pedihnya....Nasib baik ada bam pala yang mak mertua aku bekalkan. Dapatlah kuusap-usap perutku ini. Agak lega sedikit. Terima kasih mak...Mata pun mula layu...

Segelas teh dan sekeping roti..
Alhamdulillah....sedapnya.
Sedar-sedar bas telah berhenti di sebuah kawasan rehat berdekatan dengan Madinah.Udara dan angin di sini memang amat dingin dan kuat sekali. Aku menggigil kesejukan sewaktu mengambil wudhuk. Ya Allah...sejuknya. Nampaknya kami tiada rezeki untuk bersolat subuh di Masjid Nabawi hari ini. Tidak mengapalah, esok masih ada lagi. Selepas bersolat, kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil hidangan sarapan yang sungguh istimewa. Teh lipton yang sungguh lazat dijodohkan dengan sejenis roti yang enak. Dinikmati secara bersila ala arab. Rasanya sungguh menyelerakan...amat-amat...mungkin disebabkan tahap kelaparanku saat itu amat dalam..Alhamdulillah kenyang sungguh aku dibuatnya.

Thursday, 3 March 2011

DOA BUAT ANAK-ANAKKU...

     Kiranya saat ini aku harus berkorban segalanya demi untuk kejayaan anakku yang akan menghadapi peperiksaan UPSR dan PSRA pada tahun ini. Ini merupakan pengalaman pertamaku untuk menghadapi anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan. Hati ini sentiasa gundah gulana dan risau setiap kali memikirkan kalian berdua. Ibu sangat risau mengenangkan anak ibu yang sangat aktif bermain tetapi sangat kurang mengulangkaji pelajaran. Dan kini jadual harianmu sangat padat dengan kelas tambahan pada pertang hari dan sebelah malammnya. Dan di waktu senggang atau hari cuti tidak lupa kalian mesti membuat latihan melalui program SCORE A. Bukan niat ibu ingin membebankan atau mendera kalian, tapi andai tidak bersungguh-sungguh bagaimana nantinya kita akan berjaya Memang benar setiap kejayaan pasti perlu pengorbanan. Ayuhlah anakku, bersabarlah dan bertahanlah dengan setiap cabaran yang terpaksa kau lalui saat ini kerana ibu dan ayah hanya ingin memberikan yang terbaik buat dirimu.

     Kalian merupakan anak-anak sulung ibu. Kalian akan menjadi idola dan ikutan adik-adik yang lain. Maka dengan itu, berusahalah sekuat hati dan buktikan kepada kami yang kalian boleh melakukan yang terbaik demi untuk masa depan kalian.Tiada lain yang ibu doakan agar kalian berdua akan bersungguh-sungguh belajar dan berusaha dengan gigih tanpa rasa jemu untuk mengejar kejayaan yang kalian dambakan. Bak kata orang, Tiada Jalan Pintas Untuk Menuju Kejayaan. Dan sesungguhnya kejayaan itu hanyalah milik mereka yang berusaha. Doa ibu dan ayah akan sentiasa mengiringi kalian. Semoga kalian berdua akan berjaya di dunia juga di akhirat.


Anak-anakku.....
Bakal menjelang
Detik penentuan
Yang akan mencorakkan 
Kehidupan masa depan
Jua terlaksananya 
Sebuah impian.....

Anak-anakku....
Kiranya kau tahu
Betapa ilmu itu
Amat bernilai dan berharga
Mengangkat martabat manusia
Lebih tinggi darjatnya
Menjadi lebih mulia
Di sisi yang Esa
Pasti kau akan berlumba-lumba
Untuk mendapatkannya....

Anak-anakku...
Kejayaan itu
Menuntut pengorbanan yang jitu
Usaha yang tidak kenal jemu
Juga keazaman yang padu....


Lantaran itu...
Teruskanlah usahamu
Genggam erat tanganku
Bulatkan seluruh hatimu
Majulah dan terus maju....

Anak-anakku...
Tiada hadiah paling 
Berharga buat diriku
Selain dari kejayaanmu....