Bondaku..... 37 tahun kau sentiasa bersamaku. Terlalu banyak kenangan yang kita cipta bersama. Semenjak aku dilahirkan sehinggalah aku berkeluarga sendiri, kaulah teman yang sentiasa ada di sisiku disaat aku memerlukan. Kaulah ibuku...kaulah sahabatku..
Bondaku.... bersyukurnya aku menjadi anakmu. Terima kasih yang tidak terhingga di ats segala jasa dan pengorbananmu yang berjuta kepada kami anak-anakmu yang seramai sembilan orang ini. Tanpa keluh kesah dan tanpa jemu kau malayan kami yang pelbagai kerenah. Ada kalanya hatimu tercalar. Ada kala hatimu tercabar. Namun kau tetap sabar. Kau sentiasa pasrah dan tegar menempuh segalanya.
Bondaku.... setiap tahun kita akan menyambut hari lahirmu serentak dengan hari ibu. Betapa bahagianya aku walaupun ada kalanya kita hanya menyambutnya dengan memotong sebiji kek. Namun yang nyata kasihku padamu amat padu dan tepu...
Bondaku....tanggal 25 Ogos 2010 tidak mungkin dapat aku lupakan. Kau pergi meninggalkan aku tanpa pesan. Kelu lidahku. Gelita kurasakan dunia ini. Terasakan sekejap cuma kita bersama. Kau dipinjamkan kepadaku hanya selama 37 tahun sahaja. Masih banyak perkara yang belum kuhadiahkan buatmu. Namun yang nyata Allah lebih mengasihimu. Kasihku kepadamu tak setanding kasih Allah kepadamu.Lantaran itu Dia mengambilmu disaat umat Islam berpuasa 12 hari. Pemergianmu pada bulan yang Ramadhan yang mulia menyebabkan aku amat redho. Pergilah kasih, pergilah sayang. Moga rohmu di cucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin
Bondaku...tahun ini merupakan tahun pertama kau tiada di sisi, namun kami anak-anakmu tetap kembali ke teratak bonda untuk sama-sama menghadiahimu dengan bacaan yasin. Semoga kami menjadi anak-anakmu yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua orang tuanya.. Tiada lain yang kami doakan agar bonda dan ayahanda diampunkan dosa-dosa kalian. Semoga kalian ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Dan semoga dijadikan kuburan kalian seumpama taman-taman syurga...Amin.
Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah SAW telah bersabda : " Apabila telah matinya anak adam itu, maka terhentilah amalannya melanikan tiga perkara:
1) Sedekah Jariah
2) Ilmu yang berguna dan diamalkan
3) Anak yang soleh yang sentiasa mendoakan baginya
Bondaku.... 8 Mei datang kembali. Walau kau tiada di sisi. Abadi kasihmu selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment