Wednesday, 17 April 2013

17 APRIL 2013

BISMILLAHIRRAHMANIRROHIM.....


Anak kembarku - Hazman dan Hazwan
1 Muharram 1420 Hijrah bersamaan 17 April 1999 merupakan tarikh keramat yang akan kuingati hingga akhir hayatku nanti... Kelahiran kembar lelakiku yang kuberi nama Muhammad Nur Hazman dan Muhammad Nur Hazwan telah menghadiahkanku dan suamiku serta keluarga kedua belah pihak dengan kegembiraan dan kesyukuran yang tidak mampu kuungkapkan dengan kata-kata. Kebahagiaan dan kegembiraan terpancar di mana-mana......

Pagi Sabtu itu ketenanganku agak terganggu...aku telah mengeluarkan tanda darah... tidak lama kemudian air ketubanku pula pecah. Aku jadi kaget kerana setahuku ini memang tanda-tanda awal untuk bersalin. Ya Allah mana mungkin ini terjadi...kandunganku baru sahaja mencecah 31 minggu. Masih terlalu awal.

Takut terjadi apa-apa pada kandunganku, aku terus mengajak suamiku untuk membuat pemeriksaan di Hospital Tanjong Karang. Doktor mengesahkan aku memang akan bersalin...bayiku memang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat dunia ini....Aku jadi tidak keruan kerana bayiku masih sangat kecil...Doktor menyatakan peluang untuk mereka hidup hanya 50-50 sahaja. Sedih ini hanya aku yang tahu... Ya Allah..selamatkanlah bayiku ini...Aku sanggup berjuang ke mana sahaja dan dengan apa sahaja cara..aku sanggup harungi asalkan bayiku ini bisa bernyawa...

Petang itu juga aku berangkat ke Hospital Klang dengan menaiki ambulan. Aku masih bisa duduk2 sambil bercerita dengan jururawat yang menemaniku.( Kak Ramlah - kebetulan jiran kakakku memang sangat ramah dan menyenangkan ). Terima kasih Kak Ramlah...jasamu kan tetap ku kenang sampai bila-bila.

Sesampainya di Hospital Klang, doktor pakar terus memeriksaku. Seperti yang dinyatakan oleh doktor Hospital Tg Karang...mereka juga menyatakan tiada cara untuk menahan bayiku untuk dilahirkan. Sama ada aku bersedia ataupun tidak...bayiku tetap akan keluar. Lebih memilukan apabila inkubator untuk bayiku yang tidak cukup bulan sudah penuh semuanya di Hospital Klang...Andainya inkubator tiada maka bayiku mungkin tidak dapat diselamatkan.  Doktor cuba sedaya upaya untuk membantu mencarikan hospital berdekatan yang masih mempunyai kekosongan inkubator. Aku hanya mampu berdoa sambil menahan kesakitan yang bertambah setiap masa.....Baru ku tahu..beginilah rasanya sakit bersalin. Patutlah Allah menganugerahi pahala yang sungguh banya buat ibu-ibu yang melahirkan anak. Kesakitannya memang tidak tertanggung rasanya. Terima kasih doktor kerana kalian bersusah payah untuk membantuku......Dan akhirnya aku bersetuju sahaja bilamana doktor menyatakan bahawa hospital terdekat yang masih mempunyai kekosongan inkubator adalah Hospital Seremban. Aduyai jauhnya...Tapi demi keselamatan bayiku...aku sanggup berjuang dan mengharungi semua ini... Kuatkanlah aku ya Allah...

Lebih kurang pukul 9.00 malam....sekali lagi aku menaiki ambulan menuju ke Hospital Seremban. Kali ini aku sudah tidak mampu untuk berkata-kata apalagi untuk bercerita dengan jururawat yang menemaniku. Kesakitan yang kurasai kini semakin tidak dapat kutahan-tahan lagi...Aku hanya mampu berisytifar dan berdoa sebanyak-banyaknya agar aku dan bayiku ini selamat....Ambulan yang bergerak laju itu juga aku rasakan sungguh lambat untuk sampai ke tempat tujuan...

Sesampainya aku di Hospital Seremban...petugas di bahagian kecemasan sudah siap sedia menungguku dan terus menyorongku ke bilik bersalin. Tiada kata yang mampu kugambarkan akan kesakitanku saat ini...Hanya Allah yang lebih mengetahui... Akhirnya tepat jam 11.33 malam kembarku yang pertama selamat dilahirkan diikuti oleh kembarku yang kedua pada jam 11.36 malam. Alhamdulillah ya Allah....aku bersyukur kepadaMu atas anugerah ini... Bayiku terus diletakkan di dalam inkubator atas tujuan keselamatan sebelum sempat suamiku mengazankan mereka berdua. Aku juga belum sempat memeluk mereka kerana jururawat terus bergegas membawa mereka berdua ke was ICU untuk pengawasan yang lebih sempurna. Sementara aku pula diletakkan di wad bersalin. Sepanjang malam suamiku menemani aku yang terus terlena dek kepenatan yang teramat sangat.

Pagi-paginya aku terus sahaja mandi dan membersihkan diri walau belum kuat sepenuhnya. Aku harus menggagahi jua diriku ini kerana aku ingin menjenguk bayiku yang ditempatkan di wad 6D sedangkan aku kini di wad 2B. Perasaanku ini memang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menjenguk mereka berdua. Namun aku terpaksa bersabar... Sarapan dulu....Tunggu doktor memeriksa dulu...barulah boleh pergi melawat bayiku...

Hanya aku dan suamiku yang dibenarkan melawat bayi kami. Saudara mara dan rakan taulan hanya boleh menjenguk lewat tingkap yang terselak tirainya. Betapa bayiku sungguh kecil dan halus. Sulungku hanya seberat 1.44kg ketika dilahirkan manakala adiknya pula seberat 1.11 kg sahaja. Air mata jadi temanku yang paling setia. Melihat mereka berdua aku sungguh hiba kerana terlalu banyak wayar-wayar yang berselirat di seluruh tubuh mereka... Anakku..semoga kalian berdua dapat bertahan dan kuat mengharungi detik2 ini. Inilah permulaan kepada kehidupan kalian... Ibu akan selalu menemanimu tanpa jemu...

Akhirnya aku berpindah dari wad 2B ke wad 5D...wad untuk ibu-ibu yang anaknya berada di wad 6D iaitu wad ICU untuk bayi. Bermulalah perjuanganku dan perjuangan bayi-bayiku. Tiada sesiapa menemani hanya suamiku sahaja. Alhamdulillah kebetulannya saat ini suami sedang cuti semester..jadinya dapatlah dia menemani aku saat aku berpantang di sini. Tiada jamu...takut bayiku terkena penyakit kuning....tiada urut...semua ku lakukan sendiri seadanya. Kupakai bengkung yang panjang tanpa tunjuk ajar sesiapa. Kuikat di tingkap dan kulilit-lilit asal sahaja ia boleh melilit perut dan punggungku ini. Saban hari kulakukan tanpa jemu. Masih ku ingat pesan emak jangan lupa berbengkung kalau tak ingin badan jadi kembang. Pilis dan yang lain-lain suamiku yang belikan dari kedai berdekatan. Tidurku pula bersandar pada bantal yang kubeli banyak-banyak. Kata mak lagi waktu pantang jangan tidur baring, nanti darah putih masuk ke mata..boleh jadi rabun. Kalau tidur msti pakai stokin dan kaki mesti diikat rapat. Jangan terkangkang-kangkang. Terima kasih mak di atas segala tunjuk ajarmu. Aku memang sangat-sangat menghargainya.   Rutin harianku di sini agak padat...setiap 2-3 jam sekali perlu memerah susu untuk keperluan kembarku. Mereka berdua hanya mengharapkan susu ibu sahaja untuk membesar. Terima kasih ya Allh kerana menganugerahiku air susu yang banyak...cukup untuk kedua-dua bayiku... Cepatlah besar anakku..kerna ibu sudah tidak sabar untuk memeluk dan menciummu...

Sedar tak sedar aku sudah berada di wad 5D ini selama 41 hari....Hari yang cukup panjang. hari yang cukup mencabar. Hanya hujung minggu keluarga atau rakan taulan datang berkunjung. Terubatlah juga kesedihanku ini. Bayiku hanya boleh keluar dari inkubator jika berat badannya melebihi 1.65 kg. Penantian memang satu penyeksaan..... hanya kesabaran sahaja yang menjadi sandaran. Alhamdulillah pada hari yang ke41 ini aku benarkan oleh doktor  untuk berpindah ke hospital yang lebih dekat iaitu Hospital Klang. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua doktor di wad 5D dan 6D yang terlalu banyak jasanya kepada kami sekeluarga. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian.

Kini bermula pula perjuangan di Hospital Klang. Allahuakbar...penuhnya wad. Tiada katil yang kosong untuk  bayiku...Aku terpaksa merempat ke sana sini untuk hari pertamanya. Sejuknya semacam di dalam bilik ini sehingga aku dan bayiku jadi demam. Esoknya, alhamdulillah ada seorang hamba Allah yang baik hati kerana  mencarikanku sebuah katil yang kosong. Lega sikit rasanya. Namun sulungku Hazman semacam tidak sihat sahaja pada penglihatanku...makanya kukhabarkan pada doktor pakar yang sedang membuat lawatan. Mereka terus bertindak menyuntik antibiotik kepadanya. Kata doktor kena tunggu seminggu untuk melengkapkan dos antibiotiknya...Alamat terpaksalah tunggu lagi seminggu baru dapat menjejakkan kaki ke rumah semula. Rindunya hanya Allah yang tahu... Bersabarlah kerana Allah ingin menguji keimanan dan ketakwaan kita saat ini... Tak mengapalah anakku....ibu sanggup menunggumu...dan sanggup sama-sama berjuang bersamamu asalkan kalian berdua sihat...

Akhirnya setelah 48 hari bermastautin di hospital...kami dibenarkan pulang. Saat yang memang kutunggu-tunggu...memang sungguh gembira dan lega. Walaupun masih terpaksa membuat rawatan susulan, namun sekurang-kurangnya bayiku sihat...alhamdulillah.

Sesungguhnya Maal Hijrah itu sangat bermakna bagiku kerana....sesungguhnya hijrahku hingga ke Hospital Seremban demi untuk menyelamatkan bayiku....Akan menjadi kenangan paling bermakna dalam hidupku...

" Anakku...kelahiran kalian berdua umpama hadiah dari Allah kepada ibu sekeluarga selepas kehilangan Mbah Khayan pada 28 Jun 1997 dan Wak Mahfoz pada 15 Ogos 1997... Rupa kalian yang mirip arwah Mbah Khayan menyebabkan kalian menjadi cucu kesayangan Mbah Sawah. Sekurang-kurangnya terubat sedikit kesedihannya selepas kehilangan 2 orang lelaki yang dicintai olehnya"

Anakku....doa ibu agar kalian berdua akan menjadi manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah, taat kepada kedua orang tua, mempunyai akhlak dan peribadi mulia, sanggup berjuang di Allah Allah dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara...Ameen

Friday, 22 March 2013

KEM KEPIMPINAN PENGAWAS SMKTJ 2013 ( 08 - 10 Mac )



Peserta Kem Kepimpinan Pengawas SMKTJ 2013 
Alhamdulillah, impian dan cita-citaku untuk membawa barisan AJK Tertinggi Pengawas SMKTJ 2013 dan ahli-ahlinya yang lain untuk mengikuti kursus kepimpinan di luar sekolah tercapai jua akhirnya. Banyak dugaan dan rintangan yang terpaksa kulalui semenjak tahun lepas lagi. Adakala hati berduka dan ada kala syaitan menyapa membuat diri lemah dan hampir kalah. Namun aku bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk meneruskan cita-cita murni ini...

Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba akhirnya. Lebih kurang pukul 3.30 petang waktu tempatan pada tanggal 08 Mac 2013 bersamaan hari Jumaat penghulu hari yang mulia, rombongan kami yang seramai 44 orang murid dan 4 orang guru telah memulakan perjalanan menuju ke Kem Slim Sungai Pauh, Cameron Highland. Terima kasih diucapkan kepada ustaz Nasir kerana sanggup menjadi imam mendoakan agar perjalanan kami ini dirahmati dan beroleh keberkatan dari Illahi. Selamat pergi dan In Sya Allah selamat kembali. Terima kasih buat Kak Nidah dan Baby yang sudi pergi sama rombongan ini. Kepada Kak Jat, berbanyak terima kasih diucapkan di atas segala sokongan juga pertolonganmu selama ini. Tiada kata -kata yang mampu saya ucapkan, namun hanya Allah jua yang mampu membalasnya. Buat Ridzuan, terima kasih sebab sudi jadi bodyguard merangkap pemandu kami.

Tapak perkemahan kami 
Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan perjalanan kami. Lebih kurang pukul 8.30 malam kami sampai di Kem Slim Sungai Pauh, Cameron Highland setelah melalui perjalanan yang penuh berliku. Ada yang pening-pening dan ada juga yang muntah. Setibanya di sana, rupanya ada satu lagi kumpulan daripada SMK Pengkalan Permatang yang mengikuti perkhemahan di tempat yang sama. Para peserta terus dibawa oleh penganjur manakala kami, guru-guru dibawa ke rumah penginapan yang berwarna hijau di atas bukit. Ada 2 bilik yang besar. Satu bilik untuk kami guru-guru perempuan manakala satu bilik lagi untuk guru lelaki. Cuaca memang agak dingin...sejuk sehingga tulang temulang pun terasa kesejukannya. Selepas solat jamak kami pun turun ke bawah untuk makan malam. Hidangan yang sederhana namun kesedapannya sehingga menjilat jari.

Khemah peserta
Hari Pertama

Selepas itu kami melihat acara pertama pada malam itu iaitu sesi perkenalan yang dikelolakan oleh En.Mohd Radzi bin Abdul Samad dan adiknya En. Zaidi. Selepas sesi perkenalan semua peserta dikehendaki untuk memasang khemah mengikut kumpulan masing-masing Oleh kerana panggilan bantal sudah melambai-lambai, kami tinggalkan mereka dan kembali semula ke rumah untuk beradu...


Aduyai....lenaku disapa oleh tangisan dan rengekan anak manja Kak Jat ....Farid. Aku cuba berkali-kali memejamkan mata namun aku tidak berdaya. Kasihan sungguh bila mendengar sedu sedan Farid yang sungguh hiba memanggil-manggil nama ayahnya... Kak Jat yang dalam keletihan sudah tidak mampu menahan kesabaran...Sesungguhnya anak-anak adalah ujian bagi kita semua. Mereka  selalu sahaja akan menduga benteng kesabaran ibu bapa....Maka sabarlah kerana itu ada ubat yang paling mujarap...
Setelah penat menangis...kenyang makan maggi dan nescafe panas...alhamdulillah Farid dapat tidur...Makanya kami semua pun dapat tidur juga walau jam sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Dapatlah juga barang sejam dua kami melelapkan mata...

Hari Kedua

Pagi-pagi esoknya kami dikejutkan dengan semboyang nyaring yang menandakan waktu solat subuh hampir tiba. Bangunlah mata...berjagalah dikau demi merebut rahmat Illahi...Maka bermulalah hari kedua yang serba mengujakan... Selepas solat subuh kami pun bersarapan nasi goreng kampung bersama telur + sosej goreng. Sedap + nikmat + bersyukur = kenyang + alhamdulillah. Slot pertama hari ini dimulai  dengan sesi motivasi. Peserta dikehendaki melakukan tugasan secara berkumpulan dalam masa yang singkat. Ini memerlukan mereka sentiasa peka dan bekerjasama di antara satu sama lain. Kami guru-guru hanya mengawasi sahaja. Penat menunggu apalagi aku pun mula membayar hutang tidur malamku yang tidak berapa lena.


Selesai acara makan tengahari dan solat Zohor, slot kedua bermula di mana kali ini peserta didedahkan dengan kemahiran mengenal peribadi seseorang. Kali ini, kami guru-guru pengiring tidak dapat menemani para peserta kerana kami telah  merancang program kami sendiri....seronoknya......

Lepas Zohor...ada acara jalan-jalan pun bermula dengan menggunakan khidmat pemandu pelancong yang tidak dibayar. Terima kasih Ridzuan sebab sudi melayan kerenah kami. KEA FARM tempat tujuan kami kerana aku memang mengidam untuk membeli bunga mawar yang segar. Hujan rintik-rintik mula membasahi bumi... Sesampai di sana kami pun terus sakan membeli belah strawberi + teh Cameranian Valley + Bunga Mawar aneka warna  = Happy sangat........ Perjalanan kembali ke tapak perkhemahan kurang lancar kerana jalan jem... Maaf Ridzuan sebab terpaksa membazir waktu petangmu gara-gara melayan kerenah kami..... Akak tau, dalam hatimu mesti ada rasa geram + terpaksa + malas kan. Tapi demi menghormati kami, kau turut juga kehendak hati kami. Kerana jasa baikmu itu, akak doakan moga engkau akan berjumpa dengan orang yang baik juga yang akan membahagiakanmu di dunia juga akhirat...Amin.

Bunga mawar aneka warna - kenangan indah dari Cameron Highland
Tidak lama selepas kami balik, hujan turun mencurah-curah. Aktiviti outdoor yang sepatutnya dijalankan pada petang ini ditangguhkan ke malam hari. Kami akur kerana hujan memang agak lebat.

Slot ketiga petang ini digantikan dengan aktiviti yang menekankan tentang ciri-ciri seorang pemimpin yang ideal.

Slot Keempat ialah ” Jalan-jalan ke Pasar Malam Berinchang”. Peserta dan guru pengiring dibawa menaiki bas ke Pasar Berincang yang menjual aneka barangan seperti buah-buahan segar dari tanah tinggi, aneka makanan yang sedap juga pakaian yang menarik dengan tawaran harga yang berpatutan. 


Bersama Kak Jat dan Kak Nidah - Menunggu bas untuk ke Pasar Berinchang

Bersedia untuk ke Pasar Berinchang
Rasa nak tercabut kepala lutut bilamana terpaksa menapak jauh gara-gara bas tidak dapat parking dekat dengan kawasan pasar disebabkan keadaan yang penuh sesak dengan kenderaan dan orang ramai...Apa nak buat...sabo ajelah. Lagipun ini sebenarnya baik untuk mengurangkan lemak di badanku ini... 


Slot kelima dan terakhir pada hari ini ialah aktiviti” Solusi”. Peserta diajak untuk bermuhasabah diri disamping mengingatkan mereka tentang amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap peserta kursus sekembalinya mereka nanti ke sekolah.Mereka diingatkan supaya dapat menjalankan amanah sebagai pengawas sekolah dengan penuh dedikasi dan punya daya kepimpinan yang tinggi dan boleh dijadikan idola pelajar lain dalam pelbagai aspek seperti pencapaian akademik, kokurikulum mahupun budi pekerti yang mulia.  Aktiviti yang sepatutnya dijalankan pada waktu ini adalah ’Misi Rahsia” yang tertunda pada petang hari tadi tetapi masih tidak dapat dilaksanakan berikutan hujan masih lagi turun mencurah-curah dan ramai di kalangan peserta yang kurang sihat berikutan cuaca yang amat sejuk.

Pada malam ini semua peserta tidak dapat tidur di khemah masing-masing berikutan khemah mereka telah dimasuki air. Peserta lelaki tidur di dalam bilik manakala peserta perempuan tidur di ruang tamu. Cuaca pula bertambah sejuk berikutan hujan yang berlarutan sejak petang tadi....Ya Allah kuatkanlah aku dan semua anak-anak didikkku ini. Sihatkanlah dan selamatkanlah kami Ya Allah...Mudahkanlah segala urusan kami Ya Allah.... Malam ini tidurku agak lena kerana Farid kurang meragam...

Hari Ketiga

Pagi yang mulia dimulai dengan solat subuh berjemaah dan kuliah subuh.
Slot terakhir pada hari ini ialah aktiviti rekreasi iaitu ’ Flying Fox”. Semua peserta dan guru pengiring begitu teruja kerana telah dapat melaksanakan aktiviti ini dengan jayanya.

Menunggu fasilitator  memasang tali keselamatan

Peserta perempuan teruja untuk mencuba Flying Fox

Menunggu acara Flying Fox

Bersama Hazman dan Hazwan 

Izzuan, Fisal, Hazman, Syukri dan Hazwan

Acara terakhir ialah mengemaskan khemah dan kawasan sekitarnya sebelum acara penutupan program yang telah disempurnakan oleh En. Azman selaku wakil dari Waja Diri Adventure Team. Selepas acara bergambar beramai-ramai dan makan tengah hari peserta berangkat pulang ke SMK. Tiram Jaya dengan semangat dan keyakinan diri yang semakin tinggi di dalam diri masing-masing.

Acara Penutupan Program
Peserta lelaki - 10 orang sahaja

Hakimah - wakil peserta menerima sijil penyertaan dari En. Azman
Semoga dengan adanya program seumpama ini para pengawas dapat menjadi seorang insan yang lebih berkualiti. Di samping itu mereka juga harus sedar tentang tugas-tugas mereka agar tiada percanggahan dengan aktiviti sekolah dan harian mereka.

Pihak sekolah juga berharap agar dari kursus ini sedikit sebanyak dapat membantu pengawas dalam menghadapi cabaran hidup dan bersedia menghadapi liku-liku kehidupan agar beroleh kejayaan yang cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Akhir kata semoga berjaya dan selamat menjalankan tugas.





Sunday, 17 March 2013

KASIH SEORANG GURU...

Kasih seorang guru....
Mengajar murid dengan ikhlas
Segala budi tak minta dibalas
walau sedikit terasa puas

Kasih seorang guru....
Menitipkan ilmu tanpa jemu
Sanggup berkorban tak kira waktu
Susah dan senang sedia membantu

Kasih seorang guru.....
Memberi contoh melalui tauladan
Mana yang baik jadi ikutan
Mana yang buruk jadikan sempadan

Kasih seorang guru.....
Senyuman manis sentiasa terukir
Kata nasihat tak lekang di bibir
Walau terluka tak pernah di pamer

Kasih seorang guru.....
Mendidik mengajar  tiada hentinya
Sanggup memberi tanpa dipinta
Berkorban masa juga tenaga
Bersama harapan berbunga-bunga
Murid cemerlang dalam periksa

Kasih seorang guru.....
Cekal hati sentiasa ada
Murid nakal tak mendengar kata
Bersabar dan terus berusaha
Sehingga murid celik minda
Memimpin mereka hingga berjaya

Kasih seorang guru.....
Semangat berjuang sentiasa ada
Mendidik anak bangsa
Mentarbiyah sambil berdoa
Agar mereka menjadi manusia berguna
Pada agama, bangsa dan negara...

DISTI
17 Mac 2013

Tuesday, 5 March 2013

Hidup Adalah BELAJAR...



Belajar Bersyukur Meski Tak Cukup,

Belajar Ikhlas Meski Tak Rela,

Belajar Memberi Meski Tak Seberapa,

Belajar Memahami Meski Tak Sehati,

Belajar Taat Meski Berat,

Belajar Sabar Meskipun Sukar,

Belajar Setia Meski Tergoda,

Belajar Mengasihi Meski Disakiti,

Belajar Tenang Meski Gelisah,

Belajar Percaya Meski Susah.



GURU OH GURU...


Terima kasih kepada Tuan Shahshim Shah bin Harun iaitu Timbalan PPD Kuala Selangor yang telah menitipkan bicara indah melalui ceramah LADAP yang bertajuk ETIKA PENJAWAT AWAM di sekolah pada tanggal 23 Feb 2013 (Sabtu) yang lalu. Ianya sedikit sebanyak telah membuka mindaku dan mnyuntik semangat baru agar aku mampu untuk bermuhasabah tentang diri sendiri....

Mengambil kata-kata yang molek untuk dijadikan pedoman. Kerna aku seorang guru, makanya ini peringatan baik buat diri yang sering terlupa dan lalai dalam menggalas amanah yang telah diberikan.
Berikanlah aku petunjuk dan hidayahMu, Ya Allah agar aku sentiasa berada dalam landasan yang benar...

Kalau guru banyak bercakap, murid belajar tercungap-cungap
Kalau gurubanyak masalah, murid diajar rasa gelisah
Kalau guru tak tentu arah, murid diajar jadi parah
Kalau mengajar tanpa panduan, murid belajar tiada pedoman
Kalau guru banyak memberi, tiba peperiksaan murid tercari-cari
Kalau guru rajin mengajar, murid hormat tak kurang ajar
Kalau guru sanggup berkorban, kerenah murid tak jadi beban
Kalau mengajar banyak berceloteh, murid mendngar terasa letih
Kalau guru umpama pendita, murid di kelas mendengar kata

Bila guru berpilih kasih, murid diajar rasa tersisih
Kalau guru kaya pekerti, pasti muridnya tinggi budi
Kalau mengajar sambil duduk, murid belajar tersengguk-sengguk
Kalau mengajar sambil berlakon, murid belajar dengan tekun
Kalau mengajar tanpa alat, murid diajar terasa ralat
Kalau guru pemudah cara, ramai murid pandai bicara
Kalau guru mengajar tanpa menilai, ada murid bodoh dan pandai

Bila mengajar banyak temberang, murid belajar lintang pukang
Bila mengajar berpesan- pesan,murid diajar nampak berkesan
Bila guru kencing berdiri, murid dikata kencing berlari
Kalau guru tak hormatkan diri, murid gagal kenal diri
Kalau dah guru bercakap sendiri, murid sasau tak sedar diri
Bila guru senyum sentiasa, murid belajar rasa selesa
Kalay guru berbudi bahasa, dikenang murid sepanjang masa
Bila guru sentiasa ceria, di wajah murid nampak bahagia
Bila semua seia sekata, perjalanan hidup menjadi sempurna

Saturday, 16 February 2013

JIKA KAU BERTANYA...

Jika kau bertanya....
Sudah hilangkah kesedihanku,
Yang sering datang bertamu,
Tanpa mengira waktu....

Jika kau bertanya....
Masih adakah sisa air mataku,
Yang sering menitis laju,
Di atas pipiku yang gebu....

Jika kau bertanya....
Masihkah ada senduku,
Yang selalu berlagu pilu
Di dalam hatiku...

Tak perlu kau tanya lagi...
Tentang semua ini....

InsyaAllah...
Semuanya kan sembuh sendiri...
Semuanya kan berlalu pergi...
Seiring waktu yang terus berlari...
Seiring tahun yang terus berganti...

Namun yang pasti...
Kenangan itu kan tetap terpahat di hati....
Kenangan itu kan subur dalam memori...
Kenangan itu kan terus harum mewangi...
Hingga akhir hayatku nanti....


- DISTI -



RINDU BONDAKU...

ASSALAMUALAIKUM.... Pagi Rabu (13 Feb 13) yang lalu aku dikejutkan dengan berita kematian makcikku yang ku panggil Bik Mi...Alfatehah untuk beliau. Pemergiannya menjadikan anak2nya yatim piatu kerana Paman Muhammad telah kembali ke rahmatullah lebih kurang 10 tahun yang lalu. Walaupun yatim piatu di usia yang dewasa namun kesannya amat mendalam. Aku amat memahami perasaan mereka kerana aku telah melalui saat-saat itu. Kehilangan insan tersayang lebih-lebih lagi bonda yang tercinta rasanya merenggut sebahagian dari kebahagiaan hidup ini. Kesedihannya amat dalam. Walau telah hampir 3 tahun berlalu bondaku pergi...namun rindu ini tidak pernah surut... Namun walau bagaimana pun kesedihan ini, kehidupan mesti diteruskan dengan penuh ketabahan....

SAAT MANIS BERSAMA BONDAKU
 

 Sejak bondaku pergi...rasanya telah kering airmataku...dek kerana kesedihan yang berpanjangan. Hingga kini aku tidak mampu mengalirkan air mata walau siapa pun ahli keluargaku yang pergi dijemput Illahi. Sedangkan dulu air mataku begitu murah apabila dikhabarkan tentang kematian... Segala-galanya berubah sejak bondaku pergi... Serasa kesedihanku ini semuanya telah dibawa pergi oleh bondaku... Semoga aku kau berikan kekuatan ya Allah untuk menangani rasa kesedihan ini dan seterusnya mampu mengharungi hari-hari mendatang dengan penuh rasa kebahagiaan dan ketabahan...

BONDAKU TERCINTA..
   

Petang selasa yang lalu, kami adik beradik telah berkumpul untuk mengadakan majlis tahlil khusus untuk kedua ayahanda dan bonda tercinta...Sudah hampir 5 bulan sebenarnya kami tidak dapat berkumpul bersama-sama di TERATAK BONDA oleh kerana kekangan masa dan urusan dunia yang tiada hentinya...Maafkan kami bonda...bukan niat kami untuk melupakan daerah kelahiran dan kecintaan itu...tapi aku sebenarnya masih tidak mampu untuk hadir ke sana sendirian tanpa adik beradik yang lain kerana ianya hanya akan mengundang kesedihan yang berpanjangan....Andainya kerinduan melanda, aku hanya bisa melewati TERATAK BONDA yang kelihatan sepi dan sunyi..,


TERATAK BONDAKU..
SAWAH PADI YANG SUBUR MENGHIJAU
ANAK-ANAK ADALAH INSAN YANG PALING GEMBIRA BERMAIN DI SAWAH...
MEMANCING ADALAH HOBI YANG AMAT MENGASYIKKAN.....
BERLARIAN DI SAWAH  ADALAH SAAT YANG SUNGGUH INDAH...  
IKAN PUYU...SATU-SATUNYA YANG BERJAYA DITANGKAP....
Sawah itu...daerah kelahiran yang amat kucintai...Tempat aku dilahirkan dan dibesarkan....Tempat ayah dan bondaku menumpahkan berjuta keringat membanting tulang tanpa rasa lelah apalagi keluh kesah demi untuk membesarkan kami 9 beradik. Sesungguhnya jasa kalian takkan mampu kami membalasnya...Ya Allah ampunilah dosa kedua orang tua kami dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani kami semenjak kami kecil hinggalah kini...Amin ya Rabbal Alamin..