Sunday, 12 May 2013

AKU DAN PETANG....



Aku dan petang...
Saling beriringan
Saling bersangkutan
Sendirian
Keseorangan.....

Aku dan petang...
Sayu kurasakan
Bila kesunyian
Siapa yang sudi
Menjadi teman....

Aku dan petang...
Lelah melayan perasaan
Ada kegembiraan...
Ada ksedihan...
Ada kesyahduan...
Ada pertanyaan....
Ada segala kemungkinan...

Aku dan petang...
Gerimis datang bertandang
Bagai hatiku yang walang
Tangis hatiku berdendang
Bilakah ianya kan hilang...

Aku dan petang...
Sentiasa kan berulang
Pasrahku pada ketentuan
Moga aku dengannya
Allah ketemukan
Mengubati hatiku 
yang sering kesepian
Menjadi peneman setia
Di masa hadapan...
Oh di manakah gerangan...

Ikhlas buat seorang teman yang sedang dalam pencarian..
- Disti -




Friday, 10 May 2013

BONDA DALAM KENANGAN.....


Bondaku....
Kering sudah air mataku
Yang sering dulu-dulu
menitis laju....
Semenjak aku kehilanganmu
Semenjak kau tiada di sisiku

Bondaku....
Walau bertahun telah berlalu
Tak pernah surut rinduku padamu....
Tak pernah luak kasihku padamu....
Tak pernah padam kenangan bersamamu....
Tak pernah hilang senyumanmu di hatiku....
Tak pernah terhakis kata-kata nasihatmu....
Takkan pernah hilang semuanya itu....
Walau terpisah jasad kau dan aku...

Bondaku...
Pada angin yang menyapa lalu
Aku titipkan salam rinduku
Pada awan yang tinggi di langit biru
Aku bisikkan sayangku padamu
Pada hujan yang datang bertamu
Aku sampaikan salam kasihku.....

Ketahuilah bondaku...
Kutakkan pernah jemu
Menganyam doa mewangi buatmu
Di setiap waktu yang berlalu
Tanda kasihku padamu....


Sayang Tiada batasan...
            -Disti-

Sunday, 5 May 2013

HARI MENGUNDI ( 050513 )



Sejak kebelakangan ini darjah keterujaanku untuk mengundi begitu tinggi...Walaupun ini bukanlah kali pertama aku akan menunaikan kewajipanku untuk mengundi...kalau tak silap ini mungkin kali yang keempat, tapi aku tetap merasakan tahap kerujaanku begitu tinggi. Sepanjang jalan rumahku penuh dengan bendera juga poster aneka warna. Pendek kata kalau nak ambik untuk acara sukan sekolah pasti berbaloi. Jimat sikit belanja...Tak payah beli banyak-banyak kain untuk buat bendera baru... Semangatku berkobar-kobar agar negeri Selangor yang kucintai ini kekal diperintah oleh pemerintah yang ada sekarang. Tegakkan Islam....jauhkan kami dari pemimpin yang tidak amanah.....

Aku memilih waktu tengahari untuk mengundi dengan harapan agar tidak ramai orang mengundi pada waktu ini. Terima kasih suamiku kerana sudi mengantarkan aku ke tempat mengundi iaitu di SK Parit Serong. Kemeriahan dan bahang pilihan raya jelas kelihatan. Banner, papan tanda, poster dan bendera berkibaran dengan megahnya...Begitulah juga dengan hatiku ini yang sudah tidak sabar-sabar untuk mengundi.....



Paling teruja apabila mengundi ini adalah apabila aku dapat berjumpa teman-teman lama juga orang-orang kampung yang jarang-jarang dapat ku temui. Happening betul bila aku terjumpa kawan-kawan lama. Macam-macam cerita yang keluar ...sampai kena tegur dengan orang lain yang sama-sama beratur. Nasib baik dia menegurnya...tegur-tegur manja. Kedua teruja kerana tempat mengundi merupakan sekolah rendahku dahulu dari tahun 1980 - 1985. Banyak kenangan pahit dan manis tercinta di sini. Sekarang ini banyak perubahan yang telah dialami. Rangka sekolah lama pun dah tak ada. Semua dah diganti dengan yang baru. Alhamdulillah...nampaknya dah semakin cantik. Kepada rakan-rakanku...Masdewita, Rabiaton, Jamiah, Helmi, Asri dan Mazhaidi ( yang sempat kutemui di tempat mengundi ) terlalu banyak kenangan indah sewaktu kita sama-sama bersekolah dulu. Kini masing-masing telah terpisah membawa haluan masing-masing. Semoga ukhwah di antara kita kan terus berkekalan walaupun ada antara kita yang tidak sehaluan dari segi fahaman politik. Yang penting persaudaraan di antara kita sesama Islam haruslah dikekalkan...


Yang pasti...hari ini aku telah menunaikan hakku sebagai rakyat MALAYSIA...hak untuk MENGUNDI.
Aku memilih untuk MENGUNDI.......  Undi itu adalah RAHSIA..... Pilihan di tangan kita. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa jua pilihan kita. Semoga tanahairku tercinta, MALAYSIA akan terus aman dan beroleh kesejahteraan selamanya...



Wednesday, 1 May 2013

CUTI HARI PEKERJA

Aku rasa macam setuju je....


Alhamdulillah....syukur sangat sangat sebab dapat nikmat cuti sempena hari pekerja pada hari ini. Lapang sungguh rasa dadaku. Tenang fikiranku walaupun sebenarnya banyak kerja yang menanti untuk disiapkan. Apa-apa pun kalau dah namanya cuti, segala kerja ku tangguhkan dulu....tunggu dulu ya kerja akan kusambung semula esok hari. Fokus utama hanyalah untuk membereskan kerja-kerja di rumah yang tak pernah mau habisnya....

Seawal pagi aku sudah bangun untuk mencuci baju....sambil masak nasi goreng dan menjerang air sementara menunggu suami dan anak-anak balik dari masjid. Kalau diikutkan rasa malas, memamg aku nak pejamkan mata saja tapi bila teringatkan mereka.....kukuburkan sahaja niatku itu. Sepulangnya sahaja mereka semua dari masjid, kami pun terus bersarapan bersama sambil bercerita tentang tazkirah pagi yang disampaikan oleh sahabat sekolahku iaitu Ustaz Nasir.

Selepas itu aku pun terus menyidai pakaian yang banyaknya beberapa bakul (.stok lama yang tak sempat dibasuh ). Kejung jugalah tangan ini dibuatnya. Anak-anak aku tak berani kacau kali ini kerana masih di bawah pengawasan suamiku yang menyuruh mereka membaca buku kerana peperiksaan pertengahan tahun hampir tiba. Tak mengapalah anakku...doakanlah moga ibumu ini kuat dan rajin ya...

Kemuan...acara seterusnya adalah acara melipat kain baju....stok lama juga masih banyak. Adalah dalam dua tiga bakul juga. Maklumlah ahli rumah ini seramai 6 orang. Hanya seorang sahaja perempuannya iaitu akulah ini yang bertugas merangkap isteri...ibu....bibik .....dan serba serbinyalah...Makanya kalau aku ada masa aku akan kerjakan sendiri. Kalau ada rezeki maka anak-anak bujangku akan menolong sekali. Apa pun aku gembira sebenarnya menjalani rutin sebagai suri rumah...Walau memang penat tapi ianya berbaloi...Rumah kemas...kerja beres...hati pun senang...Ku tinggalkan kerja ini walaupun belum siap sepenuhnya.... Melipat  kain baju aku dan suami sambil mengemaskini almari baju juga mengambil masa berejam...Aduyai...bila pulak nak melipat kain baju anak-anakku pula....Tak kisahlah janji bakul masih muat untuk menyumbat baju-baju yang ada....Cari aje ya nak baju dan seluarrmu di dalam bakul itu... Mesti ada punya...

Time menyediakan makan tengah hari...Sajian ringkas sahaja. Yang penting seimbang. Ada karbohidrat...ada protein dan ada vitamin dan garam galian. Aku masak seadanya sambil menunggu suami dan anak-anak balik dari masjid untuk solat zohor. Selepas siap aku terus menyambung kerja-kerja menyental baju-baju sekolah anak-anakku yang tlah siap sedia kurendam sejak pagi tadi...Buka aku tidak percaya pada mesin basuhku, apakan daya kekotoran yang melekat pada baju dan seluar putih anak-anakku tidak akan hilang kalau tidak disental dengan berus...Bagus juga sebenarnya untuk aku bersenam secara semula jadi. Walaupun penat aku puas hati sebab hasilnya sungguh memuaskan..putih berseri.

Tunggu punya tunggu kelibat suami dan anak-anakku tiada lagi...mana diorang pegi ni. Waktu dah pukul 3.30 petang. Janganlah ada apa-apa yang terjadi. Lapar punya pasal aku pun makan sendirian.....Takut nanti diorang balik lambat tak pasal-pasal gastrikku pulak yang akan datang. Alhamdulillah sewaktu menyidai pakaian untuk kali yang ketiga diorang pun balik. Seperti biasa reporterku...Hazwan terus meluru memberitahu bahawa punca kelewatan mereka adalah kerana tayar kereta suamiku bocor....Kena gantilah pulak. Sebab itulah mereka lambat.

Waktu petang-petang ini kuluangkan masa sekejap untuk melihat-lihat FB dan menulis di blogku ini. Sekurang-kurangnya adalah cerita yang hendak ditulis dan untuk aku merehatkan diri sebentar. Nanti aku perlu menyediakan hidangan untuk makan malam pula . Selepas itu  kena menggosok baju aku dan anak-anakku...Ya Allah kuatkanlah aku ya Allah...Berikanlah aku kesabaran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah ini....

Sesungguhnya CUTI HARI PEKERJA adalah cuti di tempat kerja sahaja. Hakikatnya kami kaum hawa tidak ada cutinya dari menguruskan rumahtangga.... Semoga apa yang aku lakukan selama ini untuk suami dan anak-anakku mendapat pahala di SisiMU ya Allah...Amin.




Friday, 26 April 2013

BUNGA APRIL....

BISMILLAHIRROHMANIRRAHIM.....

Bulan April ini sebenarnya mencatat banyak peristiwa bermakna buat diriku. Namun terkadang aku terlupa dek kekangan masa dan kesibukan yang tiada hentianya. Apakan daya...Aku hanya manusia biasa yang sering alpa dan terleka dek sirna dunia yang serba menggoda ini...

Kenangan terindah sewaktu menunaikan haji tahun 2009
ALKISAH 1....

Masih aku ingat 15 tahun yang lalu...pada tanggal 6 April 1998 bersamaan dengan 9 Zulhijjah 1419H adalah tarikh keramat bagi aku dan suamiku..Kata orang inilah puncak cinta antara Adam dan Hawa bilamana terpateri janji setia diikat mati...kini sah aku milik suamiku yang bernama Fakhrudin bin Mansor. Dengan sekali lafaz aku kini telah bergelar seorang isteri...Rasa debar, cemas, gembira...sedih semuanya bersatu...Tapi yang pasti aku bersyukur kerana majlis pernikahanku berjalan lancar disaksikan saudara mara dan rakan taulan walaupun sebenarnya malam itu adalah malam RAYA HAJI..namun sejujurnya aku sangat menghargai kehadiran kalian ke majlisku ini...Tanpa aku sedari masa berlalu begitu pantas...ada kala aku lupa tarikh keramat ini dan ada kalanya aku teringat...Hakikatnya aku lebih mengingati tarikh hijrahnya kerana ianya selalu hadir pada malam hari RAYA HAJI...Mudahlah bagiku untuk menyambutnya kerana lauk pauk sudah sedia ada ..cuma tinggal beli kek istimewa sahaja.


Aku cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada suamiku tercinta..Fakhrudin bin Mansor kerana sudi menerima aku seadanya. Aku ini hanyalah insan biasa...punya kelemahan dan adakalanya sering melakukan kesalahan. Maafkan aku suamiku..kalau kau merasakan aku ini bukanlah wanita yang terbaik buatmu. Namun aku berjanji akan cuba untuk menjadi isterimu yang terbaik semampu diriku...sedaya upayaku. Walau sentiasa ada badai gelora, walau ada pasang surutnya di sepanjang perkahwinan kita ini.....namun alhamdulillah Allah masih memelihara cinta kita hingga saat ini. Doaku moga kita kan kekal bahagia bersama hingga hujung nyawa. Ameen....


Terima Kasih ya Allah kerna mengurniakan aku suami yang mampu memimpin aku untuk lebih dekat denganmu. Alhamdulillah...aku sungguh bersyukur ya Allah kerana mengurniakan aku anak-anak yang comel  kepada kami...4 orang hero yang kacak, bergaya, mutu dan keunggulan....cewah2 macam iklanlah pulak. Hazman...Hazwan...Hannan dan Hilman...kalian adalah sumber kebahagian dan kekuatan ibu dan ayah. Puteriku satu-satunya...Aisyah Humaira'....kau memang bunga yang harum menyeri kehidupan kami berdua. Anak-anakku...tiada kata mampu aku gambarkan betapa bahagianya ibu kerana memiliki kamu. Kalian adalah kebahagiaan...kekuatan...kecintaan ayah dan ibu. Moga kalian akan membesar dan menjadi khalifah sejati di muka bumi ini. Jadilah nak yang beriman, bertakwa dan hormat kedua orang tuamu. In sya Allah hidup kalian akan bahagia dunia dan akhirat...

Keluargaku tercinta

ALKISAH 2....

Tarikh 17 April 2013 genap anak sulungku yang kembar berusia 14 tahun atau tingkatan 2. Kehadiran kalian berdua walau penuh dengan cabaran namun aku bersyukur kerana dapat melihat kalian membesar di hadapan mataku sehingga kini...Kalian menghadiahkanku gelaran ibu...gelaran yang cukup aku tunggu-tunggu dan betapa bahagianya aku bila mendengar untuk pertama kali saat kalian memanggilku ibu...

Hazman dan Hazwan


Anak-anakku…
Kala hadirmu bertamu
Aku bergelar ibu
Betapa bahagianya aku..
Menatap sepasang mata beningmu…

Anak-anakku..…
Betapa setiap saat yang berlalu
Aku sentiasa berdoa untukmu
Semoga kalian diberkati
Semoga kalian dirahmati
Sentiasa dalam redho Illahi..

Anak-anakku….
Betapa bertuahnya ibu
Kerna memiliki kalian
Menjadi hiburan dikala kedukaan
Menjadi teman dikala ku kesepian
Menjadi penawar dikala kesakitan
Kalian sentiasa di sisi menemani
Tanpa jemu dan rasa benci
Dengan gelak tawa ria
Senda gurau yang manja

Anak-anakku….
Tidak terkira rasanya
Bahagia di dalam dada
Melihat kalian membesar di depan mata

Doaku
Kalian kan berjaya
Bukan hanya  di dunia
Malah di akhirat juga
Jangan lupa ibu dan bapa
Yang banyak berjasa
Dan berkorban segala
Demi amanah Tuhan
Cuba kamu  laksanakan.


Anak-anakku...
Kalian adalah
Hadiah terindah dalam hidupku...


ALKISAH 3.....

Muhammad Nur Hannan....Nama yang kupilih ini memang sungguh lembut bunyinya kerana ia bermaksud "kesayanganku" ....bila memanggilnya sahaja hati jadi syahdu. Kau adalah anak keempat ibu. Ku panggil dirimu "Nje-nje" yang bermaksud manja. Kau memang amat menyenangi panggilan itu kerana kau memang anak yang keletah dan manja.

Hannan dan Ibu

Anakku..kau dilahirkan pada tanggal 20 April 2002 tepat jam 8.30 malam. Kesakitan ibu terubat sebaik sahaja menatap tulus wajahmu yang sungguh comel. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan anak yang sempurna fizikalnya kepadaku...Ku sambut kehadiranmu dengan penuh kesyukuran.

Takkan mungkin ku lupa suatu kisah di mana kau mengalami demam panas dan  diserang sawan sebanyak 4 kali dalam satu malam ketika umurmu 9 bulan...Anakku aku sungguh bersyukur kerna kau tidak mengalami kecacatan kesan dari serangan sawan itu. Mbah Mut (arwah) yang mengubatimu menyatakan bahawa demam panas ini terbahagi 2 iaitu demam yang panas seluruh badan. Hati-hati kerana ini boleh menyebabkan kecacatan seumur hidup. Manakala yang satu lagi ialah demam panas tetapi ada bahagian tertentu yang masih sejuk contohnya di telinga dan hidung. Ini in sya Allh masih boleh diubati. Mujur anakku... demam panasmu adalah yang kategori kedua. Hingga kini kau membesar dengan baik tanpa ada gangguan....Maha suci Allah yang masih memelihara dan mengasihani anakku...Terima kasih ya Allah.

Hannan - Kesayangan
Anakku, ibu hanya mendoakan yang terbaik buatmu. Jadilah anak yang soleh, beriman dan bertakwa kepada Allah....berbakti kepada kedua orang tua dan berani berjuang di jalan Allah. Amin

Wednesday, 17 April 2013

17 APRIL 2013

BISMILLAHIRRAHMANIRROHIM.....


Anak kembarku - Hazman dan Hazwan
1 Muharram 1420 Hijrah bersamaan 17 April 1999 merupakan tarikh keramat yang akan kuingati hingga akhir hayatku nanti... Kelahiran kembar lelakiku yang kuberi nama Muhammad Nur Hazman dan Muhammad Nur Hazwan telah menghadiahkanku dan suamiku serta keluarga kedua belah pihak dengan kegembiraan dan kesyukuran yang tidak mampu kuungkapkan dengan kata-kata. Kebahagiaan dan kegembiraan terpancar di mana-mana......

Pagi Sabtu itu ketenanganku agak terganggu...aku telah mengeluarkan tanda darah... tidak lama kemudian air ketubanku pula pecah. Aku jadi kaget kerana setahuku ini memang tanda-tanda awal untuk bersalin. Ya Allah mana mungkin ini terjadi...kandunganku baru sahaja mencecah 31 minggu. Masih terlalu awal.

Takut terjadi apa-apa pada kandunganku, aku terus mengajak suamiku untuk membuat pemeriksaan di Hospital Tanjong Karang. Doktor mengesahkan aku memang akan bersalin...bayiku memang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melihat dunia ini....Aku jadi tidak keruan kerana bayiku masih sangat kecil...Doktor menyatakan peluang untuk mereka hidup hanya 50-50 sahaja. Sedih ini hanya aku yang tahu... Ya Allah..selamatkanlah bayiku ini...Aku sanggup berjuang ke mana sahaja dan dengan apa sahaja cara..aku sanggup harungi asalkan bayiku ini bisa bernyawa...

Petang itu juga aku berangkat ke Hospital Klang dengan menaiki ambulan. Aku masih bisa duduk2 sambil bercerita dengan jururawat yang menemaniku.( Kak Ramlah - kebetulan jiran kakakku memang sangat ramah dan menyenangkan ). Terima kasih Kak Ramlah...jasamu kan tetap ku kenang sampai bila-bila.

Sesampainya di Hospital Klang, doktor pakar terus memeriksaku. Seperti yang dinyatakan oleh doktor Hospital Tg Karang...mereka juga menyatakan tiada cara untuk menahan bayiku untuk dilahirkan. Sama ada aku bersedia ataupun tidak...bayiku tetap akan keluar. Lebih memilukan apabila inkubator untuk bayiku yang tidak cukup bulan sudah penuh semuanya di Hospital Klang...Andainya inkubator tiada maka bayiku mungkin tidak dapat diselamatkan.  Doktor cuba sedaya upaya untuk membantu mencarikan hospital berdekatan yang masih mempunyai kekosongan inkubator. Aku hanya mampu berdoa sambil menahan kesakitan yang bertambah setiap masa.....Baru ku tahu..beginilah rasanya sakit bersalin. Patutlah Allah menganugerahi pahala yang sungguh banya buat ibu-ibu yang melahirkan anak. Kesakitannya memang tidak tertanggung rasanya. Terima kasih doktor kerana kalian bersusah payah untuk membantuku......Dan akhirnya aku bersetuju sahaja bilamana doktor menyatakan bahawa hospital terdekat yang masih mempunyai kekosongan inkubator adalah Hospital Seremban. Aduyai jauhnya...Tapi demi keselamatan bayiku...aku sanggup berjuang dan mengharungi semua ini... Kuatkanlah aku ya Allah...

Lebih kurang pukul 9.00 malam....sekali lagi aku menaiki ambulan menuju ke Hospital Seremban. Kali ini aku sudah tidak mampu untuk berkata-kata apalagi untuk bercerita dengan jururawat yang menemaniku. Kesakitan yang kurasai kini semakin tidak dapat kutahan-tahan lagi...Aku hanya mampu berisytifar dan berdoa sebanyak-banyaknya agar aku dan bayiku ini selamat....Ambulan yang bergerak laju itu juga aku rasakan sungguh lambat untuk sampai ke tempat tujuan...

Sesampainya aku di Hospital Seremban...petugas di bahagian kecemasan sudah siap sedia menungguku dan terus menyorongku ke bilik bersalin. Tiada kata yang mampu kugambarkan akan kesakitanku saat ini...Hanya Allah yang lebih mengetahui... Akhirnya tepat jam 11.33 malam kembarku yang pertama selamat dilahirkan diikuti oleh kembarku yang kedua pada jam 11.36 malam. Alhamdulillah ya Allah....aku bersyukur kepadaMu atas anugerah ini... Bayiku terus diletakkan di dalam inkubator atas tujuan keselamatan sebelum sempat suamiku mengazankan mereka berdua. Aku juga belum sempat memeluk mereka kerana jururawat terus bergegas membawa mereka berdua ke was ICU untuk pengawasan yang lebih sempurna. Sementara aku pula diletakkan di wad bersalin. Sepanjang malam suamiku menemani aku yang terus terlena dek kepenatan yang teramat sangat.

Pagi-paginya aku terus sahaja mandi dan membersihkan diri walau belum kuat sepenuhnya. Aku harus menggagahi jua diriku ini kerana aku ingin menjenguk bayiku yang ditempatkan di wad 6D sedangkan aku kini di wad 2B. Perasaanku ini memang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menjenguk mereka berdua. Namun aku terpaksa bersabar... Sarapan dulu....Tunggu doktor memeriksa dulu...barulah boleh pergi melawat bayiku...

Hanya aku dan suamiku yang dibenarkan melawat bayi kami. Saudara mara dan rakan taulan hanya boleh menjenguk lewat tingkap yang terselak tirainya. Betapa bayiku sungguh kecil dan halus. Sulungku hanya seberat 1.44kg ketika dilahirkan manakala adiknya pula seberat 1.11 kg sahaja. Air mata jadi temanku yang paling setia. Melihat mereka berdua aku sungguh hiba kerana terlalu banyak wayar-wayar yang berselirat di seluruh tubuh mereka... Anakku..semoga kalian berdua dapat bertahan dan kuat mengharungi detik2 ini. Inilah permulaan kepada kehidupan kalian... Ibu akan selalu menemanimu tanpa jemu...

Akhirnya aku berpindah dari wad 2B ke wad 5D...wad untuk ibu-ibu yang anaknya berada di wad 6D iaitu wad ICU untuk bayi. Bermulalah perjuanganku dan perjuangan bayi-bayiku. Tiada sesiapa menemani hanya suamiku sahaja. Alhamdulillah kebetulannya saat ini suami sedang cuti semester..jadinya dapatlah dia menemani aku saat aku berpantang di sini. Tiada jamu...takut bayiku terkena penyakit kuning....tiada urut...semua ku lakukan sendiri seadanya. Kupakai bengkung yang panjang tanpa tunjuk ajar sesiapa. Kuikat di tingkap dan kulilit-lilit asal sahaja ia boleh melilit perut dan punggungku ini. Saban hari kulakukan tanpa jemu. Masih ku ingat pesan emak jangan lupa berbengkung kalau tak ingin badan jadi kembang. Pilis dan yang lain-lain suamiku yang belikan dari kedai berdekatan. Tidurku pula bersandar pada bantal yang kubeli banyak-banyak. Kata mak lagi waktu pantang jangan tidur baring, nanti darah putih masuk ke mata..boleh jadi rabun. Kalau tidur msti pakai stokin dan kaki mesti diikat rapat. Jangan terkangkang-kangkang. Terima kasih mak di atas segala tunjuk ajarmu. Aku memang sangat-sangat menghargainya.   Rutin harianku di sini agak padat...setiap 2-3 jam sekali perlu memerah susu untuk keperluan kembarku. Mereka berdua hanya mengharapkan susu ibu sahaja untuk membesar. Terima kasih ya Allh kerana menganugerahiku air susu yang banyak...cukup untuk kedua-dua bayiku... Cepatlah besar anakku..kerna ibu sudah tidak sabar untuk memeluk dan menciummu...

Sedar tak sedar aku sudah berada di wad 5D ini selama 41 hari....Hari yang cukup panjang. hari yang cukup mencabar. Hanya hujung minggu keluarga atau rakan taulan datang berkunjung. Terubatlah juga kesedihanku ini. Bayiku hanya boleh keluar dari inkubator jika berat badannya melebihi 1.65 kg. Penantian memang satu penyeksaan..... hanya kesabaran sahaja yang menjadi sandaran. Alhamdulillah pada hari yang ke41 ini aku benarkan oleh doktor  untuk berpindah ke hospital yang lebih dekat iaitu Hospital Klang. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua doktor di wad 5D dan 6D yang terlalu banyak jasanya kepada kami sekeluarga. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian.

Kini bermula pula perjuangan di Hospital Klang. Allahuakbar...penuhnya wad. Tiada katil yang kosong untuk  bayiku...Aku terpaksa merempat ke sana sini untuk hari pertamanya. Sejuknya semacam di dalam bilik ini sehingga aku dan bayiku jadi demam. Esoknya, alhamdulillah ada seorang hamba Allah yang baik hati kerana  mencarikanku sebuah katil yang kosong. Lega sikit rasanya. Namun sulungku Hazman semacam tidak sihat sahaja pada penglihatanku...makanya kukhabarkan pada doktor pakar yang sedang membuat lawatan. Mereka terus bertindak menyuntik antibiotik kepadanya. Kata doktor kena tunggu seminggu untuk melengkapkan dos antibiotiknya...Alamat terpaksalah tunggu lagi seminggu baru dapat menjejakkan kaki ke rumah semula. Rindunya hanya Allah yang tahu... Bersabarlah kerana Allah ingin menguji keimanan dan ketakwaan kita saat ini... Tak mengapalah anakku....ibu sanggup menunggumu...dan sanggup sama-sama berjuang bersamamu asalkan kalian berdua sihat...

Akhirnya setelah 48 hari bermastautin di hospital...kami dibenarkan pulang. Saat yang memang kutunggu-tunggu...memang sungguh gembira dan lega. Walaupun masih terpaksa membuat rawatan susulan, namun sekurang-kurangnya bayiku sihat...alhamdulillah.

Sesungguhnya Maal Hijrah itu sangat bermakna bagiku kerana....sesungguhnya hijrahku hingga ke Hospital Seremban demi untuk menyelamatkan bayiku....Akan menjadi kenangan paling bermakna dalam hidupku...

" Anakku...kelahiran kalian berdua umpama hadiah dari Allah kepada ibu sekeluarga selepas kehilangan Mbah Khayan pada 28 Jun 1997 dan Wak Mahfoz pada 15 Ogos 1997... Rupa kalian yang mirip arwah Mbah Khayan menyebabkan kalian menjadi cucu kesayangan Mbah Sawah. Sekurang-kurangnya terubat sedikit kesedihannya selepas kehilangan 2 orang lelaki yang dicintai olehnya"

Anakku....doa ibu agar kalian berdua akan menjadi manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah, taat kepada kedua orang tua, mempunyai akhlak dan peribadi mulia, sanggup berjuang di Allah Allah dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara...Ameen