Saturday, 7 April 2012

KERETA....OH ....KERETA..

Masuk minggu ini genap sebulan keretaku rosak....dan tersadai digaraj. Semuanya gara-gara emobilizernya yang rosak dan perlu diganti. Namun apakan daya....bendanya tu bukannya mudah diperolehi dan dibaiki di kedai-kedai kereta yang biasa...
Ianya memerlukan kelengkapan khusus untuk membaikinya. Namun yang sedihnya alat tersebut tidak banyak dan kebetulannya saat ini sedang bermasalah dan tidak boleh digunakan... Mekanikku berjanji akan cuba membaikinya sebelum berakhirnya minggu ini. Namun apa yang pasti, hingga pagi Ahad ini aku tidak dapat menghubunginya untuk meminta penjelasan daripadanya...Nampaknya aku masih perlu bersabar lagi...

Rasa-rasanya, ini adalah waktu-waktu yang agak mencabar bagiku. Bayangkanlah...sudah 4 minggu aktiviti harianku berubah sama sekali...Anak-anak kini suamiku sepenuhnya yang uruskan. Kesian sikembarku, Hazman dan Hazwan yang terpaksa terus ke sekolahnya selepas solat subuh sebab selepas itu suamiku perlu menghantar dua lagi anakku ke SRAI BB Kuala Selangor sebelum dirinya sendiri ke sekolah. Kesian juga aku melihatnya...Namun apakan dayaku...

Paling best, aku kini ke sekolah dengan menaiki motor KRIS MODENAS suamiku. Walaupun motosikal merupakan kenderaan utamaku suatu waktu dulu...namun sebenarnya aku agak kekok sedikit kini. Namun lama kelamaan aku dapati best gak naik motor ni. Cumanya aku berharap sangat agar cuaca tidak hujan agar aku dapat balik dan pergi ke sekolah dengan mudah dan selamat. Dari segi penjimatan tu memang jimat sangat. Kalau dulu dalam sebulan mau dalam RM 250 diperlukan untuk duit minyak kereta. Namun kini rasanya tak sampai RM 30 sebulan....

Cumanya kini langkahku juga tidak panjang. Hanya pergi dan balik sekolah je. Kekadang mengambil anakku yang bersekolah agama petang. Atau kekadang mengambil anak-anak kembarku yang bersekolah di SAM Tg Karang balik dari sekolah andai suamiku ada hal di sekolahnya hingga petang. Kalau difikir-fikirkan, rasanya aku tidak sanggup meredah jalan besar untuk mengambil anak-anakku....namun aku gagahi jua berulang alik dua kali semata-mata kerana kasihankan mereka yang menunggu lama dalam keadaan kelaparan di sekolahnya...Alhamdulillah ya Allah kau telah beri aku kekuatan untuk melaluinya...

Dalam diam-diam ini...aku merasakan Allah sedang menguji diriku dan keluargaku untuk melihat sejauh mana kesabaran kami untuk melalui ujian ini. Insya Allah aku akan terus berdoa agar diberi kekuatan kepada kami sekeluarga agar tetap teguh dan sabar mengharungi cabaran ini dan cabaran-cabaran yang bakal mendatang. Amin

No comments:

Post a Comment