Friday, 27 April 2012

WARKAH RINDU BUAT BONDAKU...

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Salam kasih, salam sayang jua salam rindu buat bondaku tercinta…. Rasanya, masa berlalu begitu pantas lalu menjadikan aku seorang perindu. Bondaku, betapa anakmu ini ingin kau tahu betapa sayang dan kasihnya aku kepadamu….Tiada batasan sempadan yang mampu memisahkan kita. Tiada jua sukatan yang mampu menyukat kasih dan sayangku padamu…lantaran ianya sangat padu dan tepu… Ketahuilah bonda, aku menulis warkah ini bersama juraian mutiara air mata jua sarat rindu yang tiada taranya…. Maafkan aku bonda… kerana selama ini tidak pernah mengirimkan warkah sebegini buatmu. Maafkanlah anakmu ini. Waktu itu kau masih ada di sisiku.. kau masih boleh berbicara denganku… Namun kini kau telah pergi jauh dariku…jauh ..sungguh jauh …terpisah dunia kita berdua….


Dikesempatan ini bondaku… ingin aku meluahkan segala penghargaanku buatmu bondaku, Hajah Habsah bt Jabar. Walau kau tidak mampu membacanya, walau kau tidak dapat mendengarnya namun aku tetap ingin meluahkan segala rasa ini tanda aku sangat menghargai segala jasa dan pengorbananmu yang berjuta. Takkan mampu terbalas olehku bonda. Jasamu terlalu besar dalam mendidik dan membesarkanku. Dalam kepayahan, dalam serba kekurangan …sebolehnya kau cuba memberikan yang terbaik buatku dan adik beradikku yang lain. Masih ku ingat bondaku segala pengorbananmu itu. Kau gigih melakukan segala pekerjaan demi meringankan bebanan ayahanda. Masih ku ingat..aku pernah menolongmu memetik buah koko ketika cuti sekolah.Tidak kira waktu...saat panas terik atau hujan lebat...kau tetap me Saat aku ternampak pokok getah...segera ingatanku pada kenangan sewaktu kita mengumpulkan ranting-ranting pokok getah menerpa diingatan. Kesusahan hidup...kita masih menggunakan dapur kayu lagi saat itu. Bila aku lalu di hadapan kilang papan di KEM (sekarang sudah tutup), aku juga masih ingat saat kita mencari reja-reja kayu yang dibuang untuk dibuat kayu pembakar.....

Sawah tempat tinggal kita itu juga menyimpan memori yang bukan sedikit. Disitulah aku mengenal lumpur dan selut. Disitulah juga taman permainanku bersama Bang Ngas dan Bang Bawi sewaktu kecil. Palong dan parit besar di depan rumah umpama kolam renang yang mengajarku erti keberanian. Bondaku semenjak aku kecil kau telah berhempas pulas di sawah demi untuk sesuap nasi bagi kita semua. Semua pekerjaan kau lakukan...Menyemai...menanam menggunakan kuku kambing...kemudian merumput dan menyulam anak-anak padi yang mati...mengerat dengan aret...kemudian membanting (menggebuk) kau lakukan  bersama ayahanda. Sekali sekali aku akan ikut serta...Penatnya dapat aku rasakan...Betapa seluruh hidupmu hangus terbakar di bawah terik mentari..Itupun tidak pernah kau hiraukan..Sesungguhnya segala kenangan dan pengalaman  itu adalah harta peninggalan yang sungguh berharga buatku...

Kesusahan hidup, mengajarmu juga aku erti ketabahan…erti sebuah perjuangan..jua erti satu pengorbanan. Tanpa keluh kesah apalagi amarah..kau tetap sabar melayan segala kerenah kami, anak-anakmu. Betapa aku sangat merindui waktu-waktu yang pernah kita lalui bersama… Kau sentiasa ada di sisi di kala aku memerlukan. Kau sentiasa memberikan bahumu disaat aku kesedihan. Kau menghiasi hidupku dengan kata-kata nasihatmu. Kau membahagiakanku dengan tawa ceriamu. Kau sentiasa menaburi haruman doamu di sepanjang perjalanan hidupku…Kau sentiasa berusaha untuk membahagiakan aku… Namun, takdir telah memisahkan kita buat selama-lamanya. Kurasakan pesona dunia dan seluruh isinya ini tidak akan dapat menggantikan dirimu, bondaku… Sehingga saat ini, walau hampir dua tahun kau pergi jauh dariku…Semakin hari, semakin sarat rinduku buatmu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kedua ibu bapaku, serta kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihi aku semenjak aku kecil hingga akhir hayat mereka... Penghujung tinta ini bonda,aku sentiasa mendoakanmu moga kau dan ayahanda ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin


 Bondaku...
Sepi hati kurasa kini
Rindu hati tidak terperi
Setelah dikau pergi
Terpisah jasad dibatasi bumi

Bondaku...
Tiada lagi erat pelukanmu
Tiada lagi gurau sendamu
Tiada lagi tangis pilumu
Tiada lagi tawa mesramu
Tiada lagi kata-kata mutiaramu
Tiada lagi bicara lembutmu

Aku rindu...
Aku rindu bondaku...
Aku rindu saat-saat aku bersamamu
Aku masih sangat rindu
Rindu yang selalu mengheret aku
Ke lembah pilu
Dan kesepian...
Yang selalu datang bertamu
Lalu menjadikan aku seorang perindu....

Sepi seorang perindu....
 - DISTI -

Wednesday, 11 April 2012

SALAM RINDU

Wahai angin yang bertamu Sampaikan salam rinduku Rinduku yang sungguh tepu... Rinduku pada daerah itu.. Sesungguhnya aku sungguh rindu Rindu pada suara-suara itu Rindu pada laungan itu Rindu pada manusia itu Rindu pada bisikan itu Rindu suasana itu Rindu pada rutin itu Rindu pada rintihan itu Rindu pada saat aku begitu hampir denganMu... Wahai awan yang berlalu Sampaikan salam rinduku Rinduku yang tak pernah jemu Rinduku pada kota suci itu Aku masih rindu... Rindu untuk ke RaudahMu Rindu pada MasjidMu Rindu pada kedinginan MalamMU Rindu pada bumi syuhadaMu Rindu pada semua yang ada di situ...

Monday, 9 April 2012

AMALI MASAKAN...

Waktu ini memang perutku sungguh penuh...kekenyangan gara-gara merasa semua masakan yang dimasak oleh anak-anak didikku dari kelas 5 Zamrud dan 5 Jed. Hari ini merupakan amali masakan bagi mereka mendapatkan markah untuk kerja kursus ERT. Mereka terbahagi kepada 3 kumpulan...ahli-ahli ikut geng-geng kesukaan masing-masing. Kalau masak tak sama-sama satu geng, takutnya nanti gaduh pulak...paling haru masakan jadi hangit pulak. Kumpulan 1 diketuai oleh Fazira. Mereka terdiri daripada Fazli, Suaidi Syafik, Hidayah dan Asmira. Tema grup diorang ni ialah sajian untuk majlis hari jadi.
Sedari semalam mereka telah berbincang dan menyediakan peralatan yang akan digunakan hari ini. Menu mereka terdiri daripada mee kari, nugget, agar-agar laici, kek harijadi dan air bersoga...tak lupa gula-gula dan jajan lainnya...mantap betul kumpulan diorang ni.
Kumpulan kedua pulak diketuai oleh Sofea dan geng-geng lainnya terdiri daripada Norhidayu, Fikri dan Radzi. Tema kumpulan mereka ialah sajian perayaan-hari raya. Masakan diorang ni walaupun simple je tapi sedap walaupun agak masin sikit. Walaupun lelaki pandai gak anak muridku memasak ya. Menu diorang ni ialah nasi impit, kuah lodeh, ayam goreng berempah, rendang kerang, puding laici dan air sirap...meletup betul rasa masakan diorang ni...
Rasa bangga gak tengok anak didikku yang lelaki rajin memasak dan tidak kekok kat dapur. Sekurang-kurangnya nanti, kalau berjauhan dari mak bapak diorang taklah nanti kebulur pulak dibuatnya.
Kumpulan ketiga pulak diketuai oleh Siti Rohani. Grup lain terdiri daripada Aishah, Zubaidah, Syafikah, Saralah, Pua Suat Yong dan Tee Yee Shian. Kiranya grup diorang ni berbilang bangsa. Alhamdulillah diorang boleh ngam.
Masak-masak pun diorang sempat lagi bergaya depan kamera...cayalah.
Diorang punya menu ialah laksa, nugget, kek pelangi dan air laici. Simple je tapi laksanya memang kaw-kaw. Sesuailah dengan tema grup diorang iaitu sajian untuk hari ulangtahun perkahwinan ibu bapa.
Nampaknya semua kumpulan dapat menyediakan sajian mengikut tema yang telah ditetapkan. Sedap pun sedap. Pendek kata bolehlah kalau nak jadi chef junior kat rumah sendiri. Yang pasti aku sungguh berpuas hati...Tak sangka mereka sebenarnya sungguh berbakat dan kreatif.

Saturday, 7 April 2012

KERETA....OH ....KERETA..

Masuk minggu ini genap sebulan keretaku rosak....dan tersadai digaraj. Semuanya gara-gara emobilizernya yang rosak dan perlu diganti. Namun apakan daya....bendanya tu bukannya mudah diperolehi dan dibaiki di kedai-kedai kereta yang biasa...
Ianya memerlukan kelengkapan khusus untuk membaikinya. Namun yang sedihnya alat tersebut tidak banyak dan kebetulannya saat ini sedang bermasalah dan tidak boleh digunakan... Mekanikku berjanji akan cuba membaikinya sebelum berakhirnya minggu ini. Namun apa yang pasti, hingga pagi Ahad ini aku tidak dapat menghubunginya untuk meminta penjelasan daripadanya...Nampaknya aku masih perlu bersabar lagi...

Rasa-rasanya, ini adalah waktu-waktu yang agak mencabar bagiku. Bayangkanlah...sudah 4 minggu aktiviti harianku berubah sama sekali...Anak-anak kini suamiku sepenuhnya yang uruskan. Kesian sikembarku, Hazman dan Hazwan yang terpaksa terus ke sekolahnya selepas solat subuh sebab selepas itu suamiku perlu menghantar dua lagi anakku ke SRAI BB Kuala Selangor sebelum dirinya sendiri ke sekolah. Kesian juga aku melihatnya...Namun apakan dayaku...

Paling best, aku kini ke sekolah dengan menaiki motor KRIS MODENAS suamiku. Walaupun motosikal merupakan kenderaan utamaku suatu waktu dulu...namun sebenarnya aku agak kekok sedikit kini. Namun lama kelamaan aku dapati best gak naik motor ni. Cumanya aku berharap sangat agar cuaca tidak hujan agar aku dapat balik dan pergi ke sekolah dengan mudah dan selamat. Dari segi penjimatan tu memang jimat sangat. Kalau dulu dalam sebulan mau dalam RM 250 diperlukan untuk duit minyak kereta. Namun kini rasanya tak sampai RM 30 sebulan....

Cumanya kini langkahku juga tidak panjang. Hanya pergi dan balik sekolah je. Kekadang mengambil anakku yang bersekolah agama petang. Atau kekadang mengambil anak-anak kembarku yang bersekolah di SAM Tg Karang balik dari sekolah andai suamiku ada hal di sekolahnya hingga petang. Kalau difikir-fikirkan, rasanya aku tidak sanggup meredah jalan besar untuk mengambil anak-anakku....namun aku gagahi jua berulang alik dua kali semata-mata kerana kasihankan mereka yang menunggu lama dalam keadaan kelaparan di sekolahnya...Alhamdulillah ya Allah kau telah beri aku kekuatan untuk melaluinya...

Dalam diam-diam ini...aku merasakan Allah sedang menguji diriku dan keluargaku untuk melihat sejauh mana kesabaran kami untuk melalui ujian ini. Insya Allah aku akan terus berdoa agar diberi kekuatan kepada kami sekeluarga agar tetap teguh dan sabar mengharungi cabaran ini dan cabaran-cabaran yang bakal mendatang. Amin

Tuesday, 3 April 2012

BOLA...BOLA...BOLA...

Kejohanan bolasepak MSSD Kuala Selangor telah bermula pada 2 April sehingga 6 April 2012. Sekolahku, iaitu SMKTJ telah terpilih menjadi tuan rumah bagi kategori Bawah 15 dan 18 tahun.

Seperti biasa, aku dan Kak Nidah pastinya menjadi geng jamuan. Paling kelakar kami ingatkan tugas kami hanyalah menyediakan jamuan untuk VIP semasa acara perasmian penutup yang akan berlangsung pada petang Jumaat. Rupa-rupanya semalam kami berdua baru tahu sebenarnya kami dikehendaki untuk menguruskan makanan untuk pengadil, JPAm dan petugas-petugas yang terdiri daripada guru dan murid yang membantu menjayakan kejohanan ini. Terkejut beruk aku dibuatnya.... Rupa-rupanya SU kejohanan yang tolong menguruskannya...alahai malunya rasa...

Hari ini...seawal pagi aku teelah meminta beberapa orang anak muridku untuk menyediakan sarapan.... menunya ialah kuetiaw goreng dan teh 'O'....semuanya bungkus. Senang sikit nak kemas. Paling aku susah hati sebab acara ini adalah acara bola sepak...tentulah ramai cikgu dan murid lelaki...itu yang buat aku lemah semangat + lemah lutut... Namun demi amanah yang diberi akau gagahkan diri jua...

Naik darahku dibuatnya....bilamana kak Nida, pengusaha kantinku lambat menyediakan sajian untuk makan tengahari yang sepatutnya siap pukul 12.30 tengah hari...Waktu aku pergi pukul 11.45 pagi....Kak Nida masih belum pulang dari pasar untuk membeli bahan-bahan yang akan dimasak...Aduyai....gimana ni....Ya Allah sabarkanlah aku.
Walaupun marah...aku tahankan jua kerana aku hormatkannya...Akhirnya sajian ku siap jua menjelang pukul 1.20 petang. Pasti diorang tu kelaparan...Sabar jelah...

Petang ini akupun tak pasti menu untuk sajian minum petang. Apa yang pasti, aku perlu menyediakannya awal supaya mereka tidak kelaparan... Nasib baik anak murid 3 Intanku yang setia membantu.... Tq very much..Fatin Nazwa, Azreen, Hajar dan Sayang. Sesungguhnya cikgu amat menghargai pertolongan kalian...

Sunday, 1 April 2012

LAW KANA BAINANA EL HABEEB....

LAW KAANA BAINANAA EL HABEEB.... Aku baru saja jatuh cinta bila mendengarnya untuk kesekian kalinya...Bait-bait lagunya yang puitis bisa meruntun hati sesiapa sahaja yang mendengarnya....
Tanpa kusedari aku semakin merindui lagi tanah kelahiran nabi...bumi Makkatul Mukarramah dan bumi Madinatul Munawarah. Serasa aku masih terasa malam-malamnya yang begitu dingin...
Siangnya yang terik membahang...Ada ketikanya turun hujan rahmatMu membasahi bumiMu yang gersang. Akulah ini hambaMu yang kerdil....sangat bersyukur dengan kurniaanMu yang begitu agung ya Rabb..Semua pengalaman itu seakan silih berganti terakam indah dalam kotak memoriku ini. Takkan mungkin aku dapat melupakannya...

Andai Kekasih Mu
masih berada bersama kami,

yang jauh dan dekat akan hampir padanya

mengharapkan kebaikan (dan haruman) Baginda,
sebelum hilangnya (rasa yang meronta-ronta itu)

agar dapat mendampingi Kekasih Mu.

Berada berhampiran Baginda
jiwa turut menjadi tenang

Dan apa jua yang kalian doakan kepada
ALLAH akan diperkenankan

Cahaya Nabi Muhammad (saw) tidak pernah hilang

Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda (saw),
Ya Mujiib (Wahai Tuhan Yang Maha Memperkenankan doa hamba)

Hidayah Mu kepada alam merata meluas

Tanda hampirnya kasih sayang
Tuhan Pemberi hidayah

Hadis-hadis (bicara mu) ibarat sungai mengalir jernih

Berada disisi mu bagaikan dahan
yang tumbuh segar dan basah

Kutebus diriku dengan dirimu
wahai kekasihku

Nabi Muhammad (saw) yang memuliakan
yang gharib (semua makhluk, yang jauh dan asing)

Berada berhampiran mu, jiwa jadi harum

Wahai yang diutuskan pembawa Rahmat
(tanda kasih sayang Tuhan) untuk seluruh alam

...Ya Habibi Ya Muhammad
(Wahai kekasihku Wahai Muhammad saw)

Ya Tobibi Ya Mumajjad
(Wahai penawar hatiku, Wahai yang terpuji)

Dirimu memiliki kelebihan yang diperakui
dan tiada sangsi

Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu...

... ulang 3 kali ...