|
Saat menunggu check in di KLIA. | |
|
Menunggu di balai berlepas... |
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan ke hadrat Illahi kerna dengan izin-Nya sekali lagi aku dan suamiku dapat menjejaki bumi Madinah yang kucintai. Rasanya terubat sedikit kerinduanku selama ini. Pada tanggal 11 Mac 2011 yang lalu iaitu bersamaan hari Jumaat yang mulia adalah saat keberangkatanku ke sana. Walaupun penerbangan lewat 2 jam akibat beberapa masalah akhirnnya pesawat kami berlepas tepat jam 3.40 petang waktu Malaysia. Kami singgah transit di Karachi selama beberapa minit sebelum menaiki pesawat semula menuju ke Jeddah. Akhirnya tepat jam 9.00 mlm waktu Arab Saudi kami selamat mendarat di Jeddah. Suasana amat sejuk dan dingin sekali. Syahdu sungguh rasa di hati... Terima kasih Ya Allah, kerana menjemputku sekali lagi untuk hadir ke kota sucimu ini.
|
Mana beg ni tak muncul-muncul.. |
Dugaan sewaktu di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah adalah berkenaan proses mengambil bagasi yang agak lama. Kami terpaksa menunggu berjam-jam hanya untuk mengambil beg yang telah bercampur-campur dengan penerbangan lain. Setelah selesai urusan pengambilan beg, kami diuji lagi dengan kelewatan menunggu bas yang akan membawa rombongan kami menuju ke Madinah. Perjalanan kami ke sana mengambil masa kira-kira 6 jam. Jarak di antara Jeddah dan Madinah lebih kurang 470 km.Kami dijangka tiba sebelum solat subuh. Namun sehingga jam 1 pagi rombongan kami masih belum berangkat. Hati sungguh gusar mengenangkan akan terlewat untuk sama-sama bersolat subuh di masjid Nabawi. Astaghfirullah....sabarlah hati jika ini permulaan dari ujian-Nya. Sewaktu bas memulakan perjalanan jam ditanganku menunjukkan angka 1.30 pagi waktu tempatan. Perutku mula berkeroncong dan terasa agak pedih. Maklumlah kali terakhir aku menjamah hidangan, lebih kurang pukul 7 mlm iaitu sewaktu dalam pesawat menuju ke Jeddah. Pedihnya....Nasib baik ada bam pala yang mak mertua aku bekalkan. Dapatlah kuusap-usap perutku ini. Agak lega sedikit. Terima kasih mak...Mata pun mula layu...
|
Segelas teh dan sekeping roti.. |
|
Alhamdulillah....sedapnya. |
Sedar-sedar bas telah berhenti di sebuah kawasan rehat berdekatan dengan Madinah.Udara dan angin di sini memang amat dingin dan kuat sekali. Aku menggigil kesejukan sewaktu mengambil wudhuk. Ya Allah...sejuknya. Nampaknya kami tiada rezeki untuk bersolat subuh di Masjid Nabawi hari ini. Tidak mengapalah, esok masih ada lagi. Selepas bersolat, kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil hidangan sarapan yang sungguh istimewa. Teh lipton yang sungguh lazat dijodohkan dengan sejenis roti yang enak. Dinikmati secara bersila ala arab. Rasanya sungguh menyelerakan...amat-amat...mungkin disebabkan tahap kelaparanku saat itu amat dalam..Alhamdulillah kenyang sungguh aku dibuatnya.